Showing posts with label bahasa. Show all posts
Showing posts with label bahasa. Show all posts

12 Nov 2014

Prof Emeritus Datuk Dr Nik Safiah Karim


Wanita Cemerlang BH: Idola bidang linguistik
Oleh Shaidah Shafie Cetak Emel Kawan
14 Januari 2013


Minat Nik Safiah dalam bidang bahasa dan sastera tidak pernah padam

Minat dan sumbangan penerima Anugerah Cemerlang Tan Sri Fatimah-Avon sebagai ibu ilmuan, Prof Emeritus Datuk Dr Nik Safiah Karim, tidak pernah padam. Semangat itu bersarang dan berkobar-kobar dalam dirinya untuk terus memperjuang mendaulatkan bahasa serta sastera meskipun sudah menginjak usia emas.

Tidak terhenti di situ, komitmen yang begitu tinggi selayaknya beliau diberi pelbagai pengiktirafan antaranya, Tokoh Ilmuwan Bahasa dan Pingat Emas Tun Fatimah (2001), Wanita Cemerlang sempena perayaan 50 Tahun Maktab Perempuan Melayu/Kolej Tunku Kurshiah (1997) dan pelbagai lagi.

Saya memilih melakukan sesuatu yang saya minat dan gemari, jadi saya akan lakukannya dengan bersungguh-sungguh. Saya tidak akan melakukan perkara yang saya tidak suka atau tidak tahu" Dr Nik Safiah Karim, Tokoh Bahasa/Ketua 1 PERTIWI

Bagi pakar bahasa berasal dari negeri Cik Siti Wan Kembang ini, ketokohannya dalam bidang berkenaan amat menyerlah dan sehingga ini tidak keterlaluan jika dikatakan klon Nik Safiah, belum ditemui.

Dalam usia menginjak 73 tahun beliau masih bersemangat membabitkan diri dalam bidang ilmuan kebahasaan dan berpersatuan demi berkongsi manfaat untuk dirinya, masyarakat dan negara.

Peluang FAMILI bersua dengan tokoh bahasa dan masyarakat ini, ada banyak kisah yang boleh dijadikan inspirasi hidup bagi generasi muda yang menghargai masa dan usia kerana beliau adalah insan yang amat menghargai masa dan usia dimiliki.

Kini bertugas sebagai Karyawan Tamu di Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya (UM), Prof Nik Safiah masih aktif menerajui dan menjalankan tugas sebagai Ketua 1 Pertubuhan Tindakan Wanita Islam Malaysia (PERTIWI).
“Saya begitu meminati bidang bahasa, sehingga kini saya masih menyediakan kertas kerja berkenaan bahasa, menjalankan tugas pemantauan terhadap pelajar peringkat ijazah sarjana dan falsafah malah saya masih dijemput memberi ceramah dan bercakap mengenai bahasa.

“Saya masih meneruskan penyelidikan dan menyambung kerja dalam bidang bahasa kerana itu adalah keutamaan saya. Saya tidak pernah menolak memberi ceramah kerana pengendali mengetahui juga bahasa adalah bidang saya,” katanya yang juga pengasas Persatuan Linguistik Malaysia dan pernah menjadi presiden selama 18 tahun.

Masa terluang beliau digunakan untuk kegiatan berpersatuan disebabkan itu juga minatnya yang mula didedahkan seawal usia belasan tahun apabila mengikut kakak, Nik Fatimah, menghadiri pertubuhan bersifat kewanitaan pada ketika itu, di Kota Bharu.

“Kebetulannya tidak ada banyak persatuan untuk wanita dalam masyarakat, jadi kami agak aktif membuat kelas masakan dan memberi bimbingan kepada kumpulan wanita tempatan. Kalau adapun pertubuhan UMNO dan wanita Islam,” katanya ketika ditemui di UM, baru-baru ini.

Bahasa bidang keutamaan

Lantaran kerap mengikut kakak, timbul minat dalam diri beliau untuk membabitkan diri dalam persatuan dan kegiatan berkenaan berterusan sehingga beliau melanjutkan pelajaran ke universiti walaupun ketika itu sudah berkeluarga.

“Saya mengambil bidang bahasa ketika di universiti. Selesai membuat Ijazah Lanjutan, saya masih tidak boleh berehat kerana panggilan serta kehendak untuk belajar masih menebal dalam diri. Walaupun sudah mempunyai anak, saya masih ingin menuntut ilmu dan suami juga menyokong saya.

“Saya kemudian melanjutkan pelajaran ke peringkat falsafah ke luar negara selama tiga tahun. Tempohnya agak cepat berbanding penuntut lain kerana saya tidak tahan berjauhan dengan anak,” katanya.

Setiap hari beliau terkenang akan anak dan suami yang berada di tanah air dan kerinduan berkenaan disalurkan sebagai pemangkin untuk beliau lebih tekun mengejar ilmu dengan pegangan lebih cepat selesai lebih cepat boleh pulang ke luar negara.

Pulang ke tanah air, beliau kembali aktif dalam berpersatuan dan pada masa sama tidak pernah mengenepikan bidang ilmuan akademik kerana disiplin berkenaan menjadi minat beliau sejak dulu.

Dapat sokongan keluarga

Sebagai ibu berkerjaya dan berpersatuan, beliau mengakui pengurusan masa agak rumit, namun dengan sokongan padu suami dan anak yang memahami akan minat dan tugas, Nik Safiah dapat melakukan yang terbaik untuk diri dan keluarga.

“Saya tidak mengabaikan keluarga dan pada masa sama, masih dapat memenuhi tuntutan diri yang ingin memberi tumpuan kepada kerjaya.

“Dalam keadaan itu, saya memilih melakukan sesuatu yang saya minat dan saya gemari, jadi saya akan lakukannya dengan bersungguh-sungguh. Saya tidak akan melakukan perkara yang saya tidak suka atau tidak tahu,” katanya yang gemar meraikan tetamu walaupun tidak mahir memasak.

Baginya, kehidupan perlu ada keseimbangan untuk mendapatkan kesempurnaan dan pada ketika tertentu perlu ada sesuatu yang dilepaskan untuk memberi peluang kepada yang lain. Beliau merujuk kepada dirinya yang tidak mahir memasak, namun tetap berminat mengendalikan tetamu dalam jumlah yang ramai.

“Saya boleh mengendalikan tetamu dalam jumlah yang ramai walaupun tidak mahir memasak kecuali menu kegemaran keluarga. Jadi saya mengupah tukang masak untuk membantu saya. Begitu juga dengan berkebun, saya tidak serasi menanam pokok kerana pokok tidak akan hidup, jadi saya mendapatkan khidmat tukang kebun.

“Dengan adanya timbal balas begitu, perjalanan hidup lebih teratur. Saya memperuntukkan masa sepenuhnya untuk anak dan suami. Lazimnya saya akan mencadangkan tajuk buku yang sesuai untuk mereka baca,” katanya.

Prinsip hidup mudah, iaitu lakukan apa yang disukai kerana ia akan menjadikan kita lebih bersemangat untuk menghasilkan yang terbaik dan tidak melakukan tugas dengan bidang yang tidak mahir.

“Pada masa sama, jangan mengabaikan kesihatan. Kalau kita hidup sampai lanjut usia dan menyusahkan orang sekeliling dengan penyakit yang dihidapi pun tidak seronok juga. Jadi, lakukan juga pemeriksaan kesihatan serta meneruskan rutin hidup seperti biasa,” katanya.

Baginya, cabaran menjadi wanita tidak semudah yang disangka kerana wanita mempunyai lebih banyak cabaran. Selain memiliki kerjaya, wanita juga adalah suri rumah dan perlu sentiasa melengkapkan diri dengan ilmu kehidupan yang sentiasa menimbulkan cabaran semasa.

INFO: Nik Safiah Karim
Lahir: 17 Disember 1939
Asal: Kampong Banggol, Kota Bharu, Kelantan.
Pendidikan: Ijazah Doktor Falsafah (Linguistik), Ohio University, Amerika Syarikat.
Jawatan: bekas Timbalan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP)
: Dekan Fakulti Sastera dan Sains Sosial sebanyak dua kali iaitu di antara 1982
: Ketua Jabatan Pengajian Melayu, UM
: Pengarah pertama Akademi Pengajian Melayu, UM
: Pernah bertugas di Kementerian Pelajaran Singapura dan Kementerian Pelajaran Brunei Darussalam.
Pengasas : PERTIWI dan Persatuan Siswazah Wanita Malaysia
Anugerah: Tokoh Ilmuwan Bahasa dan Pingat Emas Tun Fatimah (2001)
: Diiktirafkan pihak Universiti dengan anugerah Ijazah Kehormat Doktor Persuratan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (2003).
: Dikurniakan pingat Kesatria Mangku Negara (KMN)
: Dikurniakan Johan Mangku Negara (JMN)
Sumbangan: Menulis buku dan makalah mengenai isu bahasa dan isu wanita.

berita harian online


Nik Safiah aktif berpersatuan

Oleh ADHAM SHADAN


Pejuang bahasa Melayu, Prof. Emeritus Datuk Dr. Nik Safiah Karim sebenarnya seorang ahli akademik yang berpendidikan Inggeris dan aktif pada zaman sekolahnya.


NIK SAFIAH (duduk paling kanan) bersama ahli-ahli kelab renang sekolah.

SEJARAH hidup tokoh bahasa, Prof. Emeritus Datuk Dr. Nik Safiah Karim wajar dijadikan contoh buat para remaja hari ini. Biarpun beliau berpendidikan Inggeris, namun cintanya pada bahasa Melayu tidak pernah pudar.

Barangkali ramai yang menyangka kecintaannya pada bahasa Melayu bertunjangkan pendidikan sekolah Melayu, namun ia bukan telahan yang tepat.

Nik Safiah, 70, mula jatuh hati dengan bahasa Melayu dan tulisan jawi sejak sebelum memasuki darjah satu lagi. Banyak buku berbahasa Melayu dan bertulisan jawi koleksi bapanya dibacanya sehingga habis.

Bergelumang dengan kutub khanah pada awal usianya, Nik Safiah terdidik menjadi seorang yang mencintai bahasa Melayu.

Biarpun berasal dari Kota Bharu, Kelantan, negeri yang begitu sarat dengan nilai keagamaan, Nik Safiah disekolahkan di Sekolah Inggeris Rendah Perempuan. Pada masa itu, Sekolah Inggeris menjadi satu tabu dalam kalangan masyarakat Kelantan.

"Ketika itu, persepsi negatif berlegar tentang sekolah Inggeris. Banyak ibu bapa tidak mahu hantar anak ke sekolah Inggeris. Saya tabik kepada bapa saya yang berpandangan jauh. Bapa saya seorang imam dan anak kepada alim ulamak, tapi bila tiba soal pendidikan, beliau bukan sahaja mahu anak-anaknya memperoleh pendidikan agama, bahkan juga pendidikan moden," kata Nik Safiah ketika ditemui di kediamannya di Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur baru-baru ini.


BERSAMA suami dan empat anaknya.

Hidup ibu kepada kepada empat anak itu cenderung dikelilingi persekitaran Inggeris. Di sekolah, pengajian dilakukan dalam bahasa Inggeris dan para pelajar bertutur dalam bahasa Inggeris.

Sejak Nik Safiah berusia 13 tahun, bapanya memberi kepercayaan melepaskannya mencari ilmu di negeri orang. Dia telah meninggalkan Kelantan untuk menuntut di sekolah berasrama penuh di Malay Girls College, Jalan Damansara, Kuala Lumpur.

"Pada masa itu, adalah sesuatu yang amat aneh bagi seorang anak perempuan dilepaskan untuk ke luar negeri bagi menyambung pelajaran. Dari Kelantan pula. Nak pergi Kuala Lumpur sahaja dah macam hendak pergi ke Mekah. Naik sampai 11 buah feri," kata juri rancangan realiti TV, Gadis Melayu itu. Nik Safiah memberitahu, sekolah Malay Girls College ialah sekolah asal Kolej Tunku Kurshiah, Seremban.

Ceritanya, semasa di sekolah menengah, minatnya kepada bidang bahasa semakin berbunga apabila beliau tertarik dengan pengajaran sastera Inggeris.

Selepas tamat tingkatan lima, Nik Safiah menyambung pelajaran ke tingkatan enam di St. Francis Institution, Melaka. Ketika itu, dia tekad untuk menuntut ilmu sehingga ke menara gading.


BERSAMA suami, Muhammad Zain Omar.

"Sudah habis pengajian menengah di Kuala Lumpur, saya ingat bolehlah saya kembali ke Kelantan dan belajar di tingkatan enam di sana. Tapi, malangnya tidak ada pengajian tingkatan enam di sana, bahkan seluruh Pantai Timur tidak ada sekolah yang menawarkan kelas tingkatan enam. Akhirnya saya memilih ke Melaka kerana saya ada saudara di sana," katanya sambil menjelaskan ketika itu hanya dengan lulus tingkatan enam seseorang boleh melanjutkan pengajian ke universiti.

Bercerita tentang zaman sekolahnya, Nik Safiah berkata, dia ialah seorang yang amat aktif berpersatuan. Siapa sangka dia merupakan kapten bagi pasukan renang di sekolah menengah.

"Saya boleh berenang. Ia mungkin disebabkan masa saya kecil dahulu, rumah saya dekat dengan sungai. Balik sekolah sahaja saya terus terjun sungai. Jadi, bolehlah saya berenang.

"Masih terngiang dalam fikiran saya, bapa saya tengah membakar sampah dan saya sibuk mandi di sungai. Tapi sebelum Maghrib saya mesti sudah balik ke rumah," kata anak bongsu daripada lima beradik itu.

"Masa di sekolah menengah di Kuala Lumpur dahulu, tidak ramai yang boleh berenang, jadi nak cari orang yang pandai berenang memang susah. Maklumlah, kebanyakannya orang bandar rumah mereka jauh dengan sungai," katanya sambil memberitahu untuk menemui kolam renang pun susah pada masa itu. Beliau dan kawan-kawannya terpaksa berlatih renang di Victoria Institution.

Ketika berada di tingkatan enam, dia turut berjaya memenangi pertandingan pidato Bahasa Inggeris.

Sekian lama 'meninggalkan' Bahasa Melayu, namun apabila melanjutkan pelajaran ke Universiti Malaya (UM) Kuala Lumpur, dia akhirnya memilih pengajian linguistik, sastera dan budaya Melayu di Jabatan Pengajian Melayu.


KEMENTERIAN Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KEKKWA) turut mengeluarkan buku kisah hidup Nik Safiah berjudul Nik Safiah Karim – Meniti Dua Zaman.

"Jati diri Melayu saya sangat kuat. Ia terbina daripada asas agama keluarga saya. Nilai ketimuran akrab dengan jiwa kami.

"Masa saya ke universiti merupakan zaman peralihan bahasa Inggeris ke bahasa Melayu," katanya yang kemudian melanjutkan pengajian sehingga ke tahap ijazah doktor falsafah di Universiti Ohio, Amerika Syarikat.

Apabila bercakap tentang bahasa Melayu, keterujaan Nik Safiah amat terserlah.

"Kalau setiap orang daripada kita memahami unsur teknikal dalam bahasa Melayu kita akan melihat bahasa itu sebagai amat indah.

"Bersesuaian dengan dunia yang kian kompleks, macam-macam bidang baru muncul sehinggakan tidak ada istilahnya dalam bahasa Melayu. Kita jangan sewenang-wenangnya meminjam bahasa asing sebaliknya ada cara tertentu untuk kita menterjemahkannya ke dalam bahasa Melayu. Pinjaman ialah jalan terakhir.

"Misalnya, kita lihat bagaimana penggandaan separa digunakan untuk istilah sains. Sebelum ini, kita cuma tahu penggandaan separa, daun-daun jadi dedaun, langit-langit jadi lelangit. Tapi, menerusi teknik bahasa dalam pengistilahan baru, banyak unsur penggandaan separa diterapkan.

"Contoh istilah dalam teknologi dan sains yang menggunakan penggandaan separa ialah mouse. Ia bermakna tikus tapi kita jadikan tetikus. Begitu juga dengan liquid yang bermakna cair dan kita jadikan cecair serta solid yang bermakna pejal dan kita jadikannya pepejal. Memahami aspek teknikal bahasa memang menarik," katanya yang juga menganggotai sebuah jawatankuasa istilah linguistik.

Beliau merupakan bekas pensyarah dan profesor di Akademi Pengajian Melayu dan pernah menjadi dekan Fakulti Sastera dan Sains Sosial UM.

Nik Safiah menegur anak-anak muda hari ini yang tidak lagi rasa sayang kepada bahasa mereka sendiri sebaliknya terlalu mengagung-agungkan bahasa Inggeris.

"Sedih bila mengenangkan sesetengah anak muda yang sudah tidak lagi bangga dengan bahasa Melayu terutama mereka yang terdidik di luar negara. Ada juga yang melihat mereka tidak boleh maju dengan bahasa Melayu.

"Memang zaman sekarang era globalisasi. Kita tahu pentingnya bahasa Inggeris dan kita pun tidak menafikan kepentingannya.

"Tapi, pada masa yang sama kita juga mempunyai negara. Sebagai sebuah negara kita kena ada jati diri yang menjadi perlambangan negara ini. Jadi, kita ambillah bahasa Inggeris tapi dalam masa yang sama jangan ditinggalkan bahasa Melayu," pesannya.

kosmo


Biografi Professor Emeritus Datuk Dr. Nik Safiah Karim


Seorang tokoh dan cendekiawan tanahair

Prof Emeritus Datuk Dr Nik Safiah Karim merupakan antara tokoh dan cendekiawan tanahair yang aktif memperjuangkan kedaulatan bahasa Melayu. Dedikasi beliau yang tidak boleh dinafikan menjadikannya disegani ramai dan menjai idola kepada anak-anak muda di institusi pengajian tinggi yang mengikuti bidang linguistik dan sastera. Namun selain perjuangan lingustik ini, beliau juga gigih memperjuangan kedudukan serta kebajikan kaum wanita tanahair.
Latar belakang

Professor Emeritus Datuk Dr. Nik Safiah Karim yang dilahirkan pada 17 Disember 1939 di Kampong Banggol, Kota Bharu, Kelantan.

Dalam bidang akademik, beliau telah menerima pendidikan awal di Sekolah Rendah Inggeris Perempuan Kota Bahru (sekarang Sekolah Rendah Zainab). Beliau kemudian telah melanjutkan pelajaran ke Maktab Perempuan Melayu, Jalan Damansara, Kuala Lumpur (kini dikenali Kolej Tunku Kurshiah, Seremban). Setelah itu beliau telah belajar di St. Francis Institution, Melaka sehingga lulus Higher School Certificate pada tahun 1959. Pada 1965 beliau memperolehi Ijazah Sarjana Muda Sastera dengan kepujian dalam bidang Linguistik daripada Universiti Malaya. Seterusnya pada tahun 1975, beliau memperolehi ijazah Doktor Falsafah dalam bidang Linguistik dari Ohio University, USA.

Kerjaya akademik pula telah bermula dengan perlantikan beliau tutor di Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Malaya pada tahun 1963. Sepanjang kerja beliau telah berjawatan pensyarah, professor madya dan dilantik Professor Pengajian Melayu.

Antara sumbangan beliau dapat dilihat dari jawatan yang beliau sandang, antaranya Dekan Fakulti Sastera dan Sains Sosial sebanyak dua kali iaitu di antara 1982 sehingga1983 dan 1992 sehingga 1994 , Ketua Jabatan Pengajian Melayu dari tahun 984 sehingga 1986 dan Pengarah pertama Akademi Pengajian Melayu dari tahun 1990 sehingga 1992.

Sementara di antara tahun 1989 hingga 1990, beliau telah dipinjamkan ke Dewan Bahasa dan Pustaka sebagai Timbalan Ketua Pengarah. Di sini beliau terus menabur berbakti dalam perjuangan mengutuhkan bahasa Melayu bukan sahaja di tanahair tetapi juga di seluruh dunia. Ini dilihat dari perlantikan beliau selama 14 tahun dalam Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka dan Ahli Jawantankuasa Tetap Bahasa Melayu (JKTBM) yang mewakili Malaysia di pertemuan Majlis Bahasa Melayu Brunei Darussalam, Indonesia dan Malaysia (MABBIM). Selain itu beliau merupakan ahli jemputan dalam Majlis Antarabangsa Bahasa Melayu (MABM).

Kepakaran beliau telah menjadikan beliau pakar rujuk bahasa yang sering dijemput. Beliau ada memberi khidmat kepada Kementerian Pelajaran Singapura dan Kementerian Pelajaran Brunei Darussalam.

Memandangkan kegigihan beliau ini maka tidaklah beliau adalah salah seorang pengasas Persatuan Linguistik Malaysia dan pernah menjadi Presiden selama 18 tahun. Kini beliau menjadi penasihat persatuan tersebut.

Pergerakan wanita

Menurut Prof Emeritus Datuk Dr Nik Safiah Karim, penglibatan beliau dalam pergerakan wanita bukanlah sesuatu yang baru baginya. Kakak-kakaknya giat aktif alam pergerakan Women’s Institute (WI) di Kelantan. Walaupun beliau bukan ahli persatuan tersebut, beliau sering membantu mereka dalam kegiatan mereka. Di sini beliau mendapat pendedahan awal kepada perjuangan wanita.

Dalam perjuangan pembangunan wanita, beliau telah mengasaskan dua buah persatuan wanita., iaitu PERTIWI (Pertubuhan Tindakan Wanita Islam) dan Persatuan Siswazah Wanita Malaysia

PERTIWI telah ditubuhkan pada 1967 sebagai sebuah pertubuhan berorientasikan projek di mana pelbagai aktiviti kemasyarakatan, keagamaan dan kebajikan berteraskan pendidikan. Program-program PERTIWI disasarkan bagi wanita dan kanak-kanak terutamanya di kawasan pendalaman. Datuk Dr Nik kini menjadi Ketua I dalam Jawatankuasa Induk. Beliau mengalu-alukan wanita muda Islam menyertai PERTIWI dan bersama PERTIWI menjalankan kerja-kerja amal mereka.

Sewaktu menceritakan pengalaman bersama PERTIWI, beliau menekankan bahawa asas pendidikan merupakan teras utama perjuangan PERTIWI. Pada awal 1970-an, PERTIWI telah menjalankan projek anak angkat bagi menyediakan bantuan kewangan kepada para pelajar tanpa mengira bangsa dari keluarga miskin. Pengurusan projek ini melibatkan pihak sekolah. Ini kerana kewangan yang diperuntukan akan diuruskan oleh Guru Besar sekolah bagi pelajar terpilih. Guru Besar dipertanggungjawabkan untuk membuka buku simpanan bank dan menyimpan buku tersebut bagi mengeluarkan kewangan yang perlu. Sumber kewangan diterima daripada sumbangan orang ramai dan dibahagikan mengikut purata RM40 setahun bagi pelajar di peringkat sekolah rendah dan RM60 setahun bagi pelajar di peringkat sekolah menengah. Menurut Datuk Dr Nik, antara penderma adalah Datuk Musa Hitam yang ketika itu Timbalan Perdana Menteri dan Syarikat Kentucky Fried Chicken.

Selain itu, PERTIWI juga membawa anak-anak angkat ini ke Kuala Lumpur dalam lawatan sambil belajar serta memotivasikan anak-anak ini untuk mencapai kecemerlangan. Anak-anak angkat ini juga berkesempatan bertemu penganjur mereka. Melalui proses ini, anak-anak mengetahui bagaimana merancang pendidikan mereka di samping bercuti semasa cuti sekolah. Menurut Datuk Dr Nik, situasi hari ini sudah bertukar dan kini juga sudah banyak biasiswa dan bantuan kewangan bagi anak-anak dari keluarga miskin yang dihulurkan oleh pelbagai pihak. Ini amat membantu anak-anak dari keluarga miskin untuk mendapat pendidikan.

Antara aktiviti PERTIWI yang lain adalah mengadakan klinik sehari di kawasan luar bandar bagi kawasan yang tidak mendapat akses kepada perkhidmatan kesihatan. Ini kerana masyarakat bertanggapan bahawa terlalu banyak masa terbuang dan amat leceh untuk pergi ke pusat kesihatan untuk menerima rawatan. Atas faktor ini dan lain-lain faktor sosial lain, rancangan klinik sehari ini diilhamkan bagi membantu mereka di kawasan pendalaman bagi menerima perhatian kesihatan. Dengan itu, Pertiwi bekerja bersama pihak Penghulu, doktor-doktor tempatan dan persatuan tempatan untuk mendapatkan tenaga kepakaran dan sukarelawan. PERTIWI bertanggungjawab mencari bantuan kewangan untuk mendapatkan bekalan perubatan dan makanan. Pihak doktor dan jururawat pula memberi perkhidmatan secara sukarela.

Antara peristiwa yang tidak dapat Datuk Dr Nik lupakan adalah sesuatu yang berlaku lebih lima tahun dahulu. Ketika itu seorang seorang doktor mata mendapat tahu aktiviti PERTIWI akan melibatkan kampung beliau. Beliau amat terkilan telah bersama secara sukarela dalam aktiviti tersebut. Sewaktu menjalankan klinik sehari tersebut beliau dapati bahawa ramai mempunyai masalan penglihatan samada rabun jauh maupun rabun dekat. Maka secara spontan dana dikumpulkan untuk mendapatkan kaca mata bagi penduduk desa yang memerlukan. Menurut beliau, kegembiraan yang tertera di air muka penduduk terutamanya dari golongan tua yang sebelum itu rabun dan telah boleh lihat dengan jelas tidak dapat dilupakan.

Pada tahun 1978 beliau telah dilantik ke majlis Penasihat Kebangsaan bagi Mengintegrasikan Wanita dalam Pembangunan (NACIWID), sebuah badan penasihat tertinggi bagi menasihati kerajaan tentang hal ehwal wanita. Perlantikan ini adalah setelah pulangnya beliau dari melanjutkan pendidikan di USA. Setelah penubuhan Kementerian Pembangunan Wanita (kini Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan masyarakat), nama badan tersebut telah diubah kepada Majlis Penasihat Wanita Negara. Beliau sehingga kini memegang tanggungjawab sebagai Pengerusi Majlis. Beliau juga giat dalam Majlis Kebangsaan Pertubuhan-Pertubuhan Wanita (NCWO) dalam pelbagai aktiviti. Kini beliau merupakan pengerusi bersama Suruhanjawa Undang-undang dan Hak Asasi Manusi bersama Puan F.R. Bhupalan.

Pengiktirafan dan anugerah

Kegigihan Datuk Dr. Nik yang tidak pernah mengira penat amatlah disegani ramai. Atas jasa dan sumbangannya, beliau telah diberikan anugerah dan bintang. Pada tahun 1989 beliau dikurniakan pingat Kesatria Mangku Negara (KMN). Seterusnya pada tahun 1995 beliau menerima kurniaan Johan Mangku Negara (JMN). Manakala pada tahun 1997 beliau telah dikurniakan Johan Panglima Negara (JPN) yang membawa gelaran Datuk.

Beliau juga telah menerima Anugerah Wanita Cemerlang Tan Sri Fatimah-Avon bagi kecemerlangan dalam bidang pendidikan sebagai Ibu Ilmuwan pada 1995. Kecemerlangan yang berjaya dicapai juga menjadi kebanggaan sekolah beliau. Dalam Perayaan sempena 50 Tahun Maktab Perempuan Melayu/Kolej Tunku Kurshiah pada 1997 belaiu telah dianugerahkan wanita cemerlang.

Sumbangan dalam bidang bahasa juga diiktiraf dengan anugerah Tokoh Ilmuwan Bahasa dan Pingat Emas Tun Fatimah pada tahun 2001. Beliau juga juga diiktirafkan oleh pihak Universiti dengan anugerah Ijazah Kehormat Doktor Persuratan dari Universiti Kebangsaan Malaysia pada 2003.

Tambahan pula setelah beliau bersara, Universiti Melayu memberi penghormatan melalui pelantikan beliau sebagai Professor Emeritus pada 2002.
Bidang penulisan

Prof Emeritus Datuk Dr Nik Safiah Karim juga telah banyak menyumbang dalam bentuk penulisan dan penyertaan dalam persidangan samada mengenai isu wanita maupun isu bahasa.

Beliau telah menghasilkan beberapa buah buku tentang pengajian wanita dan pada masa kini menjadi pensyarah sambilan di Rancangan Pengajian Gender, Universiti Malaya. Sejak kebelakangan ini, beliau telah berganding bahu bersama Dr. Rokiah Talib dalam penulisan biografi wanita tanahair. Tindakan ini amat bermakna kerana merupakan satu inisiatif wanita menulis mengenai sumbangan wanita.

Beliau juga telah menghasilkan belasan buah buku dan ratusan makalah mengenai isu bahasa. Antara buku yang terkenal ialah Tatabahasa Dewan (yang ditulis bersama tiga orang ahli bahasa yang lain), Bahasa Malaysia Syntax, Beberapa persoalan Sosiolinguistik Bahasa Melayu dan Malay Grammar for Academics and Professionals.
Rahsia kecemerlangan

Falsafah Datuk Dr Nik adalah lakukan bergembira apabila melalukan sesuatu kerja. Dengan ini segala apa yang dilakukan walaupun seberat manapun akan menjadi ringan.

Namun, Datuk Dr Nik sering kali menekankan pentingnya pengurusan masa. Ini menurut belaiu ini amat penting kerana beliau menumpu kepada kerjayanya di samping keluarganya. Bagi DatukDr Nik, seorang ibu kepada empat orang anak, masa perlu dibahagi dengan baik dan kita perlu pastikan bahawa masa yang diluangkan diguna dengan optimum. Kita perlu pandai melakukan yang terbaik bagi sesuatu keadaan. Misalnya memasak, kita tidak perlu jadi “super woman” dan melalukan semua masakan. Kita perlu bijak masak makanan kesukaan anak-anak dan belajar memasak masakan tersebut dengan baik. Ini akan mengembirakan mereka dan mewujudkan suasana yang riang.

penitia



Sejarah pendidikan

1948: Sekolah Inggeris Perempuan Kerajaan (GGES) di Kota Bharu, Kelantan

1953: Kolej Perempuan Melayu (MGC), Kuala Lumpur

* 1958: St Francis Institution, Melaka.

1960-1963: Universiti Malaya (Ijazah Sarjana Muda Sastera)

1963: Ijazah Sarjana Sastera dan menjadi tutor di Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Malaya.

1972 - 1976: Melanjutkan pengajian ke peringkat kedoktoran di Ohio University, Amerika Syarikat.

Kegiatan luar dan akademik:

1977: Terbabit dalam penubuhan Persatuan Linguistik Malaysia

1979: Bersama rakan-rakan mengasaskan Persatuan Siswazah Wanita Malaysia

1982: Dilantik sebagai Presiden Persatuan Linguistik Malaysia dan bertugas selama 18 tahun.

: Wanita pertama dilantik sebagai Dekan Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya.

1983: Dilantik sebagai Ketua Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Malaya.

1986: Penerbitan Buku Tatabahasa Dewan Jilid 1.

1990: Dilantik sebagai Profesor Kursi Pengajian Melayu dan penubuhan Akademi Pengajian Melayu serta dilantik sebagai presiden pertama.

2002 - Menerima Anugerah Profesor Emeritus dari Universiti Malaya

- Menerima anugerah Pingat Emas Tun Fatimah disampaikan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Siti Aishah.

- Menerima anugerah Ijazah Kehormat Doktor Persuratan dari Universiti Kebangsaan Malaysia.

2004 - Dianugerahkan Tokoh Pejuang Bahasa oleh Persatuan Linguistik Malaysia

2005 - Menerima Anugerah Tokoh Ibu Cemerlang-Ibu Akademik anjuran Avon Cosmetics

2006 - Dilantik Karyawan Tamu, Akademi Pengajian Melayu. Naib Presiden NCWO (Zon Tengah) .

2007 - Menjadi Pengerusi Majlis Perunding Wanita Islam Malaysia (YADIM).

Buku biografi wanita yang ditulis bersama Azizah Mokhazani

1) Tun Siti Hasmah (1999).

Buku biografi wanita yang ditulis bersama Dr Rokiah Talib:

1) Ibu Enjah (Ibu Mithali Pertama) 2001.

2) Tun Fatimah Hashim (2003).

3) Hajah Wan Mas (Ibu Mithali Kedua) 2004.

4) Tan Sri Zaleha Ismail (2005).

Hebatnya Bahasaku


SEMINAR BAHASA KEBANGSAAN
Sempena Bulan Bahasa Kebangsaan Peringkat, Pejabat Pendidikan Daerah Jasin 2014  pada 6 November 2014



HEBATNYA BAHASAKU
oleh
Prof. Emeritus Datuk Dr. Nik Safiah Karim
Universiti Malaya


Mukadimah

Yang kurik itu kundi,
Yang merah itu saga;
Yang baik itu budi,
Yang indah itu bahasa.


1. Bahasaku Bahasa Kebangsaan Negara

Termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan:

Perkara 152: Bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu dan hendaklah dalam tulisan yang diperuntukkan melalui undang-undang oleh Parlimen, dengan syarat:

(a)Tiada seorang pun boleh dilarang atau dihalang daripada
menggunakan (selain bagi maksud rasmi), atau daripada mengajarkan atau belajar, apa-apa bahasa lain; dan
(b) tiada apa-apa jua dalam Fasal ini boleh menjejaskan hak Kerajaan Persekutuan atau hak mana-mana Kerajaan Negeri untuk memelihara dan meneruskan penggunaan dan pengajian bahasa mana-mana kaum lain di Persekutuan.

2. Maksud ’bahasa kebangsaan’ dan ’bahasa rasmi’

2.1 Bahasa kebangsaan:

- bahasa yang diangkat menjadi lingua franca sesebuah negara
- bahasa itu bersifat sempurna/baku
- dasar pemilihan lazimnya faktor sejarah

2.2 Bahasa rasmi:

Bahasa yang digunakan dalam konteks negara - surat-menyurat; ucapan rasmi; mengendalikan mesyuarat dan majlis-majlis rasmi; di Parlimen, dll.

Perhatian: Lazimnya bahasa kebangsaan sesebuah negara juga bahasa rasmi
negara tersebut.

3. Fungsi Bahasa Kebangsaan

Paul Garvin: 1. Fungsi penyatuan
2. Fungsi pemisah
3. Fungsi prestij
4. Fungsi rujukan

3.1 Fungsi penyatuan

  • asas untuk menyatukan masyarakat yang berbilang bangsa, bahasa dan budaya
  • setiap warganegara menggunakannya dalam situasi rasmi
  • perlu ada rasa setia pada bahasa kebangsaan
  • perlu ada rasa bangga terhadap bahasa kebangsaan (contoh: masyarakat Jepun, Perancis, China, Korea, dll.)

3.2 Fungsi pemisah

  • asas untuk memisahkan penutur bahasa kebangsaan daripada penutur bahasa-bahasa lain, di dalam mahupun di luar negara
  • pengakuan ada bahasa lain tetapi sedar ada bahasa kebangsaan sendiri
  • Dari sini timbul rasa bangga terhadap bahasa kebangsaan sendiri.

3.3 Fungsi prestij

Bahasa kebangsaan mendapat kedudukan istimewa:
  • bahasa pentadbiran negara
  • bahasa di Parlimen
  • bahasa untuk melambangkan kedaulatan negara

3.4 Fungsi rujukan

Bahasa yang menjadi rujukan untuk salah/betul dan baik/buruk sesuatu
bentuk bahasa.
Andaiannya : Bahasa kebangsaan telah disempurnakan/dibakukan.
Contoh:

1. Mereka membincangkan hal itu. atau Mereka berbincang hal itu?
2. pelantikan atau perlantikan?

Kesimpulan:

1. Bahasa kebangsaan mempuyyai beberapa fungsi utama.
2. Bahasa kebangsaan dikaitkan dengan jati diri dan maruah bangsa.


4. Jati diri dan maruah bangsa

4.1 Jati diri - sifat atau ciri unik dan istimewa yang menjadi teras dan
lambang keperibadian seseorang individi atau sesebuah bangsa.
Bahasa Inggeris = identity
Lambang jati diri sesebuah negara = bahasa, adat, budaya, agama, dll.

4.2 Maruah - kehormatan diri; harga diri
Bahasa Inggeris = self respect

Di dunia antarabangsa, bahasa merupakan salah satu aspek maruah bangsa
dan lambang kedaulatan negara.

Kesimpulan: Bahasa kebangsaan amat erat kaitannya dengan jati diri dan
maruah bangsa. Semua negara yang berdaulat mempunyai bahasa kebangsaan sendiri sebagai lambang kedaulatannya, terutama bagi negara-negara yang dijajah dan kini memperoleh kemerdekaan.

5. Bahasaku Bahasa Melayu

5.1 Beza antara bahasa Melayu/bahasa kebangsaan/bahasa Malaysia

i) Bahasa Melayu ialah bahasa asal penduduk Tanah Melayu.
Bahasa Melayu mempunyai sejarah yang lama dan gemilang.
Bahasa Melayu lengkap dan sempurna dan sejak 1956 telah menjalani proses pembinaan dan pengembangan (perancanagan bahasa).

ii) Bahasa kebangsaan ialah nama am bagi mana-mana bahasa yang
dijadikan bahasa utama/rasmi sesebuah negara. Perkataan
’kebangsaan’ dieja dengan huruf kecil.

iii) Bahasa Malaysia ialah nama bagi bahasa Melayu dilihat dari
perspektif sosio-politik negara. Bandingkan situasi bagi bahasa
Inggeris (English) dan Bahasa Indonesia.

6. Kekuatan Bahasaku

6.1 Bahasaku mempunyai sistem tulisan yang mantap dan bersejarah.
6.2 Bahasaku mempunyai tatabahasa yang sempurna.
6.3 Dalam usaha menjalankan tugas dalam abad ke-20 dan 21, bahasaku
menjalani pembinaan kosa kata moden, terutama istilah.
6.4 Bahasaku telah dan sedang menjalani proses perancangan bahasa (proses pembinaan dan pengembangan bahasa).
6.5 Bahan bacaan dalam bahasaku sentiasa dibina.



7. Perancangan Bahasaku

Erti perancangan bahasa:

1. pembaikan sistem tulisaan
2. pembaikan sistem ejaan
3. pembakuan tatabahasa
4. pembinaan kosa kata, terutama istilah dalam bidang-bidang moden
5. penyediaan kamus dan bahan bacaan

Beberapa contoh:

1. Dari segi ejaan - LATIHAN A : Nyatakan ejaan salah/betul.

1. urusetia/urus setia 5. dilipat gandakan/dilipatgandakan
2. prasyarat/pra-syarat 6. perlaksanaan/pelaksanaan
3. rahmatNya/rahmat-Nya 7. kedua/ke dua/ke-2/ke2
4. lapur/lapor 8. mengalakkan/menggalakan

2. Dari segi tatabahasa - LATIHAN B - Salah/betul ayat

1. Saya menunggu beliau hingga ke petang.
2. Di pagi yang gemilang ini, saya merasa sungguh gembira.
3. Hobi saya mengumpul setem.
4. Buku itu dikirim oleh saya.
5. Mereka menumpukan kepada persoalan kemiskinan bandar.
6. Dengan hormatnya diperlsilakan tuan-tuan untuk duduk.

3 Dari segi kosa kata; hendaklah kita sentiasa mengikuti perkembangannya. LATIHAN C - Tahukah anda makna perkataan-perkataan ini?

i) dermaga vi) keterbacaan
ii) rerambut vii) larutan
iii) supranasional viii) memperoleh
iv) daya serap ix) sinambung
8. Bahasaku dan Bahasa Inggeris

Pada masa ini terdapat sikap yang tidak tepat dan tidak sihat tentang
kedudukan peranan bahasa Inggeris di samping bahasa kebangsaan negara.

8.1 Bahasa Inggeris penting dalam dunia kini, tetapi tidak lebih penting daripada bahasa kebangsaan.
8.2 Bahasa Inggeris perlu dipelajari, tetapi bahasa kebangsaan perlu dipelajari (dan dengan baiknya) terlebih dahulu.
8.3 Bahasa kebangsaan untuk situasi rasmi negara, dan bahasa Inggeris untuk perhubungan rasmi antarabangsa.
8.4 Bahasa kebangsaan untuk dicintai dan dibanggakan (aspek emosi) dan bahasa Inggeris untuk menimba ilmu luar dan perhubungan antarabangsa (aspek utiliti/kegunaan).

Kesimpulan:

Bahasa Inggeris penting dan perlu dipelajari tetapi bahasa kebangsaan lebih penting dan perlu dikuasai dengan baik.

SALAH jika terlalu mementingkan bahasa Inggeris hingga mengetepikan bahasa kebangsaan, contohnya Dasar PPSMI

Sebab - Dasar PPSMI mengatakan bahawa bahasa Melayu tidak mampu menjadi bahasa ilmu, pada hal telah terbukti bahasa Melayu mampu.

Yang tidak mampu ialah sesetengah penutur bahasa Melayu.

8.5 BILA penggunaan bahasa Melayu

- dalam surat-menyurat rasmi
- dalam majlis-majlis rasmi/formal dan kebangsaan
- dalam majlis-majlis budaya Melayu

8.6 BILA penggunaan bahasa Inggeris

- oleh para diplomat atau ketua delegasi Malaysia ke dunia antarabangsa
- oleh mereka yang membentang kertas kerja atau menghadiri mesysuarat peringkat antarabangsa
- oleh ahli-ahli perniagaan tahap antarabangsa
- dalam situasi-situasi antarabangsa lain yang berbentuk mewakili negara

KESIMPULAN

1. Kuasai kedua-dua bahasa dengan baik.
2. Bahasa kebangsaan dan bahasa Inggeris sama penting tetapi dalam konteks yang berlainan.
3. Dasar Bahasa Kebangsaan negara hendaklah disokong kerana penting dalam proses pembangunan negara dan bangsa.


9. Bahasaku indah

Bahasa Melayu mempunyai keupayaan untuk menungkapkan buah fikiran dan perasaan secara halus dan indah. Bahasa digunakan sebagai alat untuk menyatakan perasan dan pengalaman. Konsep keindahan bangsa Melayu amat dipengaruhi oleh unsur-unsur alamiah seperti pokok dan lautan, dan pelbagai jenis haiwan yang wujud di keliling mereka. Paling ketara ialah unsur bunyi dan rentak, yang disertai pula oleh gambaran alamiah yang segar dan kaya.

Keindahan dapat dilihat dalam pelbagai bentuk dan susunan.

9.1 Simpulan bahasa - susunan rangkain dua perkataan yang membawa maksud
tersendiri serta tajam dan bernas maksudnya

i) nyawa-nyawa ikan
ii) telinga nipis
iii) jinak-jinak merpati
iv) serkap jarang

9.2 Perumpamaan - susunan deretan perkataan yang berupa perbandingan
untuk menyampaikan maksud tertentu, disusun dengan baik. Ada perumpamaan menggunakan perbandingan secara langsung, ada yang tidak.

(a) tanpa perbandingan

- Hangat-hangat tahi ayam
- Melentur biarlah waktu rebung
- Sehari selembar benang, lama-lama jadi kain

(b) dengan perbandingan

- Seperti embun di hujung rumput
- Bagai air di daun keladi
- Umpama minyak setitik, di laut sekalipun timbul juga

9.3 Pantun - gubahan tradisional Melayu yang asli yang mengandungi buah
fikiran yang halus dan tajam disusun dalam bentuk yang indah menggunakan pelbagai aspek keindahan bahasa Melayu, termasuk rentak dan irama.

(a) pantun dua kerat

Banyak udang banyak garam,
Banyak orang banyak ragam.

(b) pantun empat kerat

Arak-arak kelapa puan,
Tidak puan kelapa bali;
Harap hati kepada tuan,
Tidak tuan siapa lagi.

9.4 Gurindam - puisi dua-dua baris, rima akhir bagi setiap dua baris sama dan
tidak ada had jumlah keseluruhan barisnya. Dalam gurindam terdapat ciri puitis seperti asonansi, aliterasi dan gaya bahasa tertentu. Gurindam sarat dengan tema dan perutusan yang bersifat nasihat, pengajaran dan keagamaan.

Contoh gurindam yang kelima ’Gurindam Dua Belas’ karya Raja Ali Haji:

Jika hendak mengenal orang berbangsa -
lihat kepada budi dan bahasa.

Jika hendak mengenal orang berbahagia -
sangat memelihara yang sia-sia.

Jika hendak mengenal orang yang mulia -
lihatlah pada kelakuan dia.

Jika hendak mengenal orang yang berilmu -
bertanya dan belajar tidaklah jemu.

Jika hendak mengenal orang yang berakal -
di dalam dunia mengambil bekal.

Jika hendak mengenal orang yang baik perangai -
lihat pada ketika bercampur dengan orang ramai.

9.5 Bahasa berirama - susunan bahasa yang memperoleh keindahan melalui
rentak irama yang lincah dan pilihan perkataan yang berjaya menimbulkan gambaran yang jelas dan berwarna-warni.

Gambaran raja bersantap

Santap ia santap beradat
Dua suap ketiga sudah
Kempat basuh tangan
Kelima berkumur-kumur
Keenam makan sirih
Kelat jatuh ke rengkungan
Seri naik ke peroman

Gambaran alamat hari nak siang

Tengah malam telah terlampau
Dini hari belum lagi tampak
Budak-budak dua kali jaga
Orang muda pulang bertandang
Orang tua berkalih tidur
Embun jantan rintik-rintik
Bunyi kuang jauh ke tengah
Sering lanting riang di rimba
Melenguh lembu di padang
Sambut menguak kerbau di kandang
Berkokok mendung,merak mengigal
Fajar sadik menyingsing naik
Kicau-kicau bunyi murai
Terdengar puyuh panjang bunyi
Puntung sejengkal tinggal sejari
Itulah alamat hari nak siang

Gambaran sahabat kanti

Kawan semangkuk sepinggan makan
Kawan sebantal seketiduran
Kawan sebaya sepermainan

Bagai kuku dengan daging
Bagai aur dengan tebing
Bagai jarum dengan kelindan
Ke hulu sama ke hulu
Ke hilir sama menghilir
Satu sakit dua terasa
Yang tahan berpahit-pahit
Kalau koyakl tampal-menampal
Kalau condong sokong-menyokong
Terbakar sama hangus
Terendam sama basah

Itulah kawan yang dicari
Kawan sempit kawan berlapang
Gentingnya tidak memutus
Simpul tidak terungkai lagi

9.6 Kepersisan prosa Melayu lama

Masyarakat kini lazimnya melihat bahasa Melayu lama sebagai bahasa yang meleret-leret dan menjemukan. Pada hakikatnya, bahasa Melayu lama amat persis, bertenaga dan indah. Lihatlah beberapa contoh berikut:

(a) Huraian tentang istana raja

Adapun besarnya istana itu tujuh belas ruang, pada seruang tiga depa luasnya, besar tiangnya sepemeluk, tujuh pangkat kemuncaknya. Pada antara itu diberinya bertingkap, pada antara tingkap itu diberinya berbumbungan melintang dan bergajah menyusu, sekaliannya bersayap layang-layang, berukir dan bersengkuap, pada antara sengkuap itu diperbuatnya belalang besagi, sekaliannya bergunung-gunung dan berjurai-jurai belaka. Adapun segala tingkap istana itu sekaliannya dicat dan dibubuhi air emas, kemuncaknya kaca merah. Apabila kena sinar matahari bernyala-nyala rupanya seperti manikam; dan dinding istana itu sekaliannya berkambi, maka ditampali dengan cermin Cina yang besar-besar. Apabila kena panas matahari bernyala-nyala rupanya kilau-kilauan, tiada nyata bahana dipandang orang. Adapun rasuk istana itu sehasta lebarnya, sejengkal tiga jari tebalnya; akan birai istana itu dua hasta lebarnya, sehasta tebalnya, diukirnya jenang pintu itu, dan empat puluh banyaknya pintunya, sekaliannya dicact dibubuh air emas. ... Terlau indah perbuatannya istana itu, sebuah pun istana raja-raja di dalam dunia ini tiada seperti ini.

(b) Istiadat raja berangkat pada hari raya

Syahdan, apabila raja berangkat hari raya berusung, penghulu bendahari
memegang kepada usungan yang di kanan, dan yang di kiri Laksamana, dan di belakang menteri keduanya memegang dia, dan pada rantai dekat kaki raja Seri Bija Diraja memegang dia; dan bentara hulubalang berjalan dahulu di hadapan raja, masing-masing dengan jawatannya. Maka segala alat kerajaan dibawa orang berjalan di hadapan raja - tombak kerajaan sebatang dari kanan sebatang dari kiri, di hadapan raja segala bentara memikul pedang, dan di hadapan itu, segala orang berlembing. Adapun jogan di hadapan raja, dan di hadapan itu gong gendang dengan segala bunyi-bunyian, nagara dari kanan, nafiri dari kiri; pada berjalan lebih kanan daripada kiri, dan ketika duduk lebih kiri.

(c) Bahasa undang-undang (Undang-undang Melaka)

Fasal yang kesebelas, pada menyatakan hukum orang mencuri. Adapun jikalau
seorang mencuri lagi dalam kampung itu, maka tahu orang yang empunya itu, maka dibunuhnya atau diturutnya jauh antara dua kampung, maka dibunuhnya, tiada lagi salah yang membunuh itu. Adapun jikalau kemudian daripada hari itu, maka bertemu ia dengan orang mencuri itu, tiadalah dapat dibunuh lagi melainkan hukum juga lagi. Jikalau ia mencuri dalam rumah, nescaya dipuntung hukumnya. Adapun jikalau banyak ia pergi mencuri, mana naik ke rumah ia seorang juga, yang lain tiada ia naik, maka seorang itu dipuntung, yang banyak itu dita’zirkan. Adapun erti ta’zir itu naik kerbau balar dibubuh bunga raya berpayung tudung saji, maka dicoreng mukanya kunyit kapur, dibawa berkeliling negeri, maka dipinta hak orang yang diucuri itu.


10. Bahasa Melayu moden juga indah

Gaya dan lenggok bahasa Melayu moden tidak jauh bezanya dariupada bahasa
Melayu lama. Kelainan terletak terutamanya pada perkataan-perkataan yang
digunakan dan gaya pengungkapan yang berbeza-beza mengikut perkara yang
diperkatakan. Perhatikan contoh-contoh berikut:

Laras huraian deskriptif

Zaman yang penting bagi bahasa Melayu ialah zaman kerajaan Melaka, iaitu zaman keagungan kerajaan Melayu. Keagungan kerajaan Melayu Melaka cukup jelas tergambar dalam Sejarah Melayu, satu-satunya magnum opus yang mengharumkan serta meletakkan imej bahasa Melayu ke mercu yang amat tinggi. Zaman ini bermula pada abad ke-13 yang merupakan zaman peralihan bagi daerah Asia Tenggara serta keseluruhannya. Pada masa itu, agama Islam mula bertapak, serentak dengan kebangkitan kuasa kerajaan Melayu Melaka. Percantuman dua semangat baharu membawa erti yang besar bagi masarakat wilayah ini. Bahasa Melayu menjadi alat penyebaran agama Islam, iaitu satu agama yang tinggi darjah kebudayaannya. Ini dijalankan dengan mudahnya melalaui pengaruh politik Melayu pada masa itu.

- Tatabahasa Dewan, hlm 12, edisi ketiga, 2010

 Laras Sains Perubatan

Salah satu halangan utama kepada kejayaan rawatan kanser ialah ketahan tumor terhadap kimoterapi.Sel darah putih yang disebut ’makrofaj’ sering menyusup ke dalam tumor dalam jumlah yang besar. Makrofaj dapat menggalakkan ketahanan tumor terhadap kemoterapi.

Tumor yang bersifat ganas kaya dengan sel imun, termasuk makrofaj dan neutrofil. Pada mulanya banyak orang menyangka bahawa badan manusia merekrut sel imun ke tumor untuk mempertahankan diri daripada kanser. Walau bagaimanapun, ada bukti yang semakin banyak menyatakan perkara yang sebaliknya. Contohnya, persekitaran mikro tumor menyekat fungsi normal antikanser kedua-dua sel imun makrofaj dan limfosit T sitotoksik (CD8+).

- Dewan Kosmik, Julai 2013, hlm 52.

Laras Pengiklanan

Kamus Dwibahasa Terbaharu Terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka
Kamus Melayu - Inggeris Dewan

Ciri-ciri Istimewa

• 38 500 entri/subentri
• Memuatkan kata umum dan istilah
• Padanan yang tepat
• Lebih 50 000 contoh penggunaan dengan terjemahan idiomatik

Untuk Siapa?

• Anda yang mahu meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris
• Anda yang ingin mengungkapkan buah fikiran dalam bahasa Inggeris

RM 179.00 - Kini dalam pasaran

Laras Ekonomi, laras laporan pasar saham

Kuala Lumpur 13 Jun – Harga saham di Bursa Saham Malaysia rendah pada akhir urus niaga hari ini apabila pasaran stabil dalam julat yang kecil dengan para pelabur mengalihkan fokus mereka kepada saham-saham murah, kata para peniaga.

Pada penutup, Indeks Komposit Kuala Lumpur (KLCI) yang menjadi penanda aras, turun 7.55 mata atau 0.55 peratus kepada 1,353.03. Ia dibuka pagi ini 3.884 mata lebih rendah pada 1,356.74.



10. Penutup

10.1 Bahasa kita bahasa kebangsaan negara yang berdaulat.
10.2 Bahasa kita sempurna, cekap dan indah dan lmampu menjadi bahasa ilmu.
10.3 Setiap warganegara seharusnya mencintai bahasa kebangsaannya.
10.4 Setiap warganegara seharusnya berbangga dengan bahasa kebangsaannya.
10.5 Bahasa kebangsaan kita hebat.

Akhir kata:

Kalau ada jarum yang patah,
Janagan simpan di dalam peti;
Kalau ada silap dan salah,
Jangan simpan di dalam hati.

Memperkasa Bahasa Melayu


Kerajaan janji perkasa bahasa Melayu
12 November 2014


MUHYIDDIN YASSIN bertemu dengan pelajar-pelajar Malaysia di Australia dalam majlis makan malam di pejabat Suruhanjaya Tinggi Malaysia, malam tadi. Beliau tiba di Canberra untuk lawatan kerja selama tiga hari. – BERNAMA

CANBERRA 11 Nov. – Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan tidak akan mengorbankan bahasa Melayu semata-mata untuk memperkasakan bahasa Inggeris dalam sistem pendidikan negara.

Menurutnya, bahasa Melayu mampu menjadi bahasa ilmu dan tidak harus dikorbankan semata-mata untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris.

“Sebagai rakyat Malaysia, saya tidak fikir bahasa saya perlu dibunuh semata-mata untuk perkasakan bahasa Inggeris,” katanya ketika menjawab soalan seorang pelajar mengenai kewajaran kerajaan menarik balik keputusan me­laksanakan Pengajaran dan Pembela­jaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) pada 2009.

Timbalan Perdana Menteri ber­kata demikian dalam sesi dialog bersama pelajar dan diaspora Malaysia pada majlis makan malam di pejabat Suruhanjaya Tinggi Malaysia di sini malam ini.

Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan berkata, pendiriannya itu bukan kerana beliau orang Me­layu tetapi disebabkan keprihatinannya terhadap kepentingan meningkatkan pengetahuan pelajar dalam pendidikan.

“Ini bukan soal kebangsaan saya semata-mata kerana kalau Malaysia tak mulakan begitu (memperkasakan bahasa Melayu), bermakna untuk kedua-dua subjek itu bahasa Melayu akan mati langsung,’’ katanya.

Beliau berkata, rasionalnya PPSMI dimansuhkan adalah berikutan masalah kekurangan guru yang mahir dan terlatih dalam bahasa Inggeris untuk mengajar Sains dan Matematik.

Jelasnya, sekiranya PPSMI dite­ruskan juga dalam keadaan guru yang mahir dalam bahasa Inggeris tidak mencukupi, beliau tidak bersikap adil kepada 600,000 murid yang memasuki alam persekolahan setiap tahun. – utusan

Menurutnya, bagi melaksanakan PPSMI, kerajaan memerlukan lebih ramai guru berkelayakan yang me­nguasai bahasa Inggeris dan dilatih untuk mengajar Sains dan Matematik.

Beliau berkata, sebelum keputusan akhir dibuat untuk menarik balik pelaksanaan PPSMI, pihak kementerian telah membuat kajian mendalam berhubung perkara tersebut. – utusan

utusan online

30 May 2013

bahasa

 kerana bahasa ......



timbalan menteri pendidikan, datuk mary yap kain ching tidak akan melayan kritikan dua buah pertubuhan cna yang mempersoalkan kekurangannya yang tidak fasih bertutur dalam bahasa mandarin.
katanya, pertubuhan terbabit berhak menyuarakan apa sahaja, namun tindakan tersebut tidak akan mengganggu tumpuan kerja dan tanggungjawab yang diamanahkan oleh perdana menteri, datuk seri najib tun razak kepadanya. biarlah mereka nak kata apa pun kerana itu adalah hak mereka dan saya fikir tidak perlulah lagi saya layan kerana sudah banyak kali saya menjawab isu tersebut.
lagipun, mereka juga tidak adil kepada saya kerana tidak memberi peluang kepada saya untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang diberikan," katanya menurut laporan utusan online

‘‘saya bukan timbalan menteri pendidikan untuk sekolah cina sahaja tetapi semua aliran sekolah yang ada di negara ini," katanya.

pertubuhan cina yang ekstrem, hua zhong dan dong zong mendakwa kekurangan mary yap yang tidak memahami bahasa Mandarin dengan baik memungkinkan pendidikan cina di negara ini tidak dipedulikan.
mary yap menegaskan, meskipun beliau tidak fasih berbahasa mandarin, kekurangan itu bukan penghalang untuknya memahami sistem pendidikan cina.

tiba-tiba masalah bahasa menjadi medan kritik dan penolakan.  pandangan datuk mary yap bahawa beliau mempunyai tugas besar  untuk pembangunan pendidikan negara ini, bukan hanya memerhati masalah pendidikan cina semata-mata, adalah pandangan yang  menggambarkan keterbukaan dan kesungguhan melakasanakn tugas. sudah sampai ketika, perkara yang menjadi halangan kecil dikesampingkan. yang penting adalah melihat secara menyeluruh perkembangan pendidikan negara dari segenap sudut  bukan hanya mewakili kelompok etnik tertentu semata-mata. kita mencari keterbukaan dan sekiranya datuk mary yap menyuarakan keterbukaannya bahawa beliau bukan hanya perlu memerhati pendidikan cina sahaja menunjukkan bahawa sudah sampai masanya kita bekerja melampau batas etnik dan budaya. perkembangan pendidikan untuk semua rakyat malaysia lebih utama.

bahasa hanya medium yang tercipta untuk manusia.berkomunikasi tetapi kesungguhan, keterbukaan dan keperihatinan terhadap permasalahan terutama pendidikan negara memerlukan manusia yang memiliki kesungguhan dan ketelitian. kita mahu mereka yang berkebolehan dan memberi sumbangan terbaik untuk negara

4 Apr 2013

lama pergi

Kehidupan adalah jaringan yang kadangkala begitu erat membelit. ada waktu kita bebas dan tak terbeban oleh apa-apa. jadilah ia biasa dan tak ada apa-apa. seperti jalan sunyi yang tak berpenghuni. ada kalanya ia begitu memberat dan mencengkam. tak ada bebas lagi selain bergelut dengan hambatan tugas, keperluan hidup, dan tuntutan agama.

kita pun melihat bianglala. tak seindah itu hidup ini. barangkali fatamorgana. tapi realitinya adalah kita berpegang dengan segala yang perlu dan pasti. ada kalanya kita terfikir tentang peribadi dan memenuhkan apa yang berpusar pada keperluan peribadi. tapi secukup itukah kehidupan? bagaimana hubungan antara kita dan yang lainnya? tanggungjawab kita juga terletak atas apa yang tersiram atau terbawa oleh rakan, teman, tetangga, dan siapa yang kita kenali. kita tak boleh mengunci diri dan diam hanya mendengar esak dan rayu peribadi. sebaliknya suara yang lain harus didengar bersama. memberi kalau perlu atau bersimpati dan mendengar sudah dianggap peduli.

kita tak boleh merubah tanggungjawab sebaliknya bermuhasabah dan berfikir sejenak bagaimana melunaskan erti dan makna tanggungjawab. kita memerlukan yang lain dan yang lain itu pula memerlukan kita.

lama pergi memberi masa untuk merenung dan mencari apa yang hakikat dan apa yang hanya bayang-bayang.

lagu ini lama tak didengari. tapi apabila didengar kembali. banyak tentang peduli dan mereka yang berharap hanya dari kita. mereka juga berhak untuk merasa bahagia dan indah hidup ini. tapi kalau siapa tak peduli dan menajuh akan bagaimanakah nasibnya mereka?

lagu panti asuhan ini terasa benar keperluan dan kehadiran kita. menghulur untuk memberi. berkongsi rahmat dan kebajikan dari Allah buat kita bersama mereka yang memerlukan.


sesekali kita perlu menoleh ke seberang jalan melihat apa yang kita miliki dan memerhati apa yang mereka tiada. kalau kita memberi setidaknya ada senyum terukir.

hidup ini dipermudahkan dengan kita saling peduli dan merasa segala panas dan dingin 
kehidupan.

7 Mar 2013

bawakan mimpimu


Permulaan perjalanan adalah dengan langkah pertama. bertatih dan bergerak tanpa henti. jalan di hadapan yang akan dilalui dengan bagaimana dengan apa situasi hingga tiba destinasi.

bawakan semuanya yang bergumpal dalam bingkai harap. bawalah mimpimu berlari kerana di situ kau akan temui segenap yang termimpi.

dan ada ketikanya, kita temui semangat dalam pelbagai bentuk dan warna. barangkali dari sepotong kata-kata hingga pada citra dan imej yang berputar di depan kita.

jadikan pedoman dan sempadan dalam melangkah. bawa mimpimu
kerana yang berani dan tabah akan menemui puncaknya.





kekentalan harus ada. harus berladung dalam jiwa dan tidak gentar untuk bergerak jauh
jika kau bermimpi, biarlah sampai ke bintang. carilah mimpi-mimpi itu
cantumkan jadi episod terbaik buat dirimu




bawakan mimpimu
usah leka mengadu
kau tak akan tiba
meski sejengkal cuma
jarak dirimu dan jaya




1 Feb 2013

rindu bendang


sawah luas terbentang, rindu bendang memanjang

berkalih masa, dan semuanya sudah banyak berada di belakang. kehidupan adalah memacu ke hadapan dalam lanskap yang masih rahsia dan tak pasti. tahun-tahun yang pergi kembali menjadi nostalgia yang erat membelai. tak terlepas dan bergantungan saban masa.

sawah kembali melintas dalam fikir dan bayang masa. barangkali semakin kita dituakan usia, semakin rindu pada masa lalu yang pergi. semakin mendekat segala yang pernah terjamah oleh jemari, tertatap oleh pandang, dan terasa berbingkai di kalbu. sawah persis rindu menanti belai. berbunga kembali dalam jantung waktu masa-masa yang berlalu.


tak terlupakan masa berlari antrara batas mengejar burung-burung kecil ketika padi sedang menguning. terjatuh dan basah dengan air sawah diakhiri dengan riang tawa. masa menuai memijak sejuk lumpur, membawa padi tuai dan berkumpul teman-teman sepermainan memakan jagung bakar atau ubi rebus, ah begitu mengasyikkan. masa kecil itulah dunia indah yang terpandang. yang menjerat sukma dan memantul rasa. air lumpur yang hanyir tak terasa apa-apa selain rasa gembira berkubang  persis kerbau di tengah sawah kosong yang baru dibajak. apa lagi ketika hujan turun dan angin kuat menderu, terasa nyaman hidup di tengah masa.

tak terlupakan hijau sawah musim padi tumbuh segar. berjalan dan berlari di celah batas. ada kalanya mengikut teman mencari ikan dan menangkap belut. hanya senyum dan ketawa. hingga hari petang dan senja datang perlahan. berlari pulang sebelum azan berkumandang. esok akan datang lagi akan pecah derai tawa.

semakin lama teman semakin susut dan menghilang. menamatkan persekolahan dan meninggalkan lumpur dan amis tanah. berada di dasar kota belajar bahasa baru hidup dan sejak itu sawah menjadi bayang-bayang.

ada ketika sempat pulang tetapi sawah sudah berganti taman perumahan. bendang tak lagi kelihatan hanya alur kecil yang semakin tersekat alir. dulu jernih dan ikan berenang mesra. rupanya, tanpa sawah lumpur dan hanyir makin ketara. terbiak oleh tangan manusia untuk hidup dan untuk segalanya. dulu pernah merasa jijik pada bau tanah lama terendam hingga diberitahu ayah, usah begitu anak
"di celah kehanyiran ini kau besar dan kau perlu menyayangi apa milik kita"

kata-kata itu merubah sudut pandang dan aku mula menyayangi sawah. tapi semua telah tiada. pulang ke kampung tak lagi dapat mengimbas nostalgia. sebaliknya terasa banyak perubahan yang turut pula meragut senyum alam.


kita tak bisa menahan masa.

sawah terbentang masih hijau dalam ingatan
rupanya sesudah kehilangan semua itu terasa begitu indah ia dalam kenang-kenangan
usah merebut masa yang tiada, hargai apa yang ada

rindu bendang tak terkurangkan






16 Jan 2013

kesantunan kata


Hadirnya bahasa adalah untuk menjadi alat komunikasi yang ampuh. alat yang dapat menghubungkan antara sumber dan penerima yang kemudiannya ditransformasi kepada makna dari segenap kata yang terpancar. bahasa menjadi milik bangsa. tidak ada bangsa yang tidak bermegah dengan bahasanya, kerana bahasa itu pancaran jatidiri, budaya, tradisi, pemikiran, dan segala warna warni bangsa. kemunculan bahasa menjadi milik massa masyarakat di mana bangsa itu berakar. ia membiak dan membentuk jagat tersendiri sehingga bahasa itu kemudiannya terpantul jauh untuk diselami dan difahami oleh bangsa yang lain pula. sekecil mana pun ruang lingkung bahasa itu berakar ia menjadi suatu kebangaan pemiliknya.


apa yang terpenting dalam sejarah bahasa itu berkembang adalah bagaimana akal, budi, budaya dan tradisi membalut bahasa itu dan memberikan sifat bahasanya. bahasa akan tumbuh dengan kesantunan bahasa atau kesantunan katanya. kesantunan kata adalah pancaran budi, kesopanan, adab, kemuliaan peribadi, ketinggian martabat, dan bahasa yang dianggap baik. ia terhasil dari bancuhan pelbagai warna alam di mana bahasa itu tumbuh : sejarah, jatidiri, sosial, kebudayaan, keseniaan, psikologi, pemikiran, sikap dan sebagainya. aturan-aturan kesantunan kata turut disulami oleh pengaruh kepercayaan dan agama. ia pula berkembang bukan dalam jangka masa yang singkat tetapi melalui pelbagai corak dan rupa peristiwa yang dialami masyarakat penutur dan pengguna bahasa itu.

jika kita menoleh ke alam bahasa Melayu kita akan melihat sejarah yang lama dilalui oleh bahasa ini untuk berkembang. tradisi bahasanya cukup kuat berakarkan kepada budi, adab, budaya dan agama. kesantunan bahasa atau kata adalah pencaran ketamadunan bangsa pemiliknya. alam melayu yang berkembang sebagai jagat besar nusantara dengan penuturnya antara yang terbesar di dunia. pengaruh islam yang membawa pembaharuan agama kepada masyatakatnya menjadi lapis tradisi yang penting dalam kesantunan kata melayu. apa lagi apabila bahasa melayu itu sendiri menjadi perantara penyebaran agama di alam nusantara dan kepulauan melayu, maka bahasa yang terbentuk oleh nilai islam ini tidak terlepas dari pengaruh ilmu, hukum  dan sendi tauhid dan syariat islam. apabila islam hadir ke alam melayu terbawa bersamanya kemuliaan akhlak rasulullah saw. ia menjadi pengukuh kepada segala tutur dan kata sebagaimana yang diajarkan oleh baginda rasul. segala akal budi, pancar jiwa, ketajaman fikir menjadi terarah kepada pemusatan islam. dan bahasa melayu turut mengikut hukum yang baru sebagaimana pancaran islam.

zaman kesultanan melayu yang berkembang pesat di alam melayu, tradisi kesantunan kata dan bahasa diperkukuh dan diperkasakan. muncul pusat tamadun melayu yang mengembangkan bahasa melayu bersama wujudnya ulama, pujangga melayu, pemikir melayu, dan pendakwah melayu. kitab-kitab yang menggunakan bahasa melayu turut muncul dalam membawa naskah agama kepada khalayak. bahasa melayu menjadi amat dihormati kerana ia juga menjadi bahasa nusantara yang membawa makna islam dan ajaranya. inilah kukuhnya tradisi bahasa melayu yang menjadi akar islam dan membawa wadah islam untuk disebarkan seluas-luasnya ke dalam masyarakat. segala kata dan rangkai bahasa yang terlahir akan pastinya diukur dari sudut pandang islam. kalimat dan kata yang terhasil akan sehabis daya untuk menjadi begitu santun dan terkawal agar tidak terbabas dari ajaran islam. bahasa melayu menjadi bahasa komunikasi baru yang bukan lagi menjadi tuturan biasa masyarakat tetapi turut menjadi kalimat yang membawa wadah suci islam.

kesantunan yang terbentuk oleh alam islam melayu ini berkembang dengan munculnya seni bahasa yang mewarnakankan keperluan bahasa untuk menyampaikan ilmu akidah, feqah, tasawuf,  kenegaraan, perundangan, dan sastera. jalinan yang terjadi menjadikan segala bentuk ilmu tadi menjadi terkait antara satu sama lain. lahirnya karya-karya sastera dalam bentuk prosa dan puisi yang masih berpaksi kepada teras dan jati diri  islam dan melayu. maka adab bangsa, pemikiran, sikap, dan tujuan sastera menjadi lebih terarah kepada bukan sekadar hiburan semata-mata tetapi turut berperanan membawa pernyataan islam dan kemuliaan ajarannya. tidak terlepas dari rangkuman bahasa  di dalam pantun, gurindam, seloka, syair, nazam dan  talibun atau dalam prosa kenegaraan, cerita berbingkai, epik, sastera hikayat, atau naratif metos dan legenda, semuanya membawa nilai, budaya dan tradisi islam yang kuat. bahasa yang dialurkan ke dalam karya mengandungi keindahan, kesantunan, dan kehalusan yang memancarkan budi, pekerti, pemikiran, dan lingkaran  hidup umat melayu yang berteraskan islam.

sempena segala tradisi itu maka pengertian melayu itu sendiri sebenarnya tidk dapat terpisah dengan islam. bukan sahaja dari aspek berbahasa tetapi sikap, pemikiran, pekerti, dan adab memancarkan ketinggian agama islam. tidak ada lagi pemisah antara melayu dan islam sama ada dari aspek hidup, bahasa dan budayanya. segala yang bertepatan dengan agama islam diperkasakan dan segala yang bertentangan dengan islam semakin dibiarkan. kajian terhadap sastera melayu akan menemukan banyak pengaruh islam yang terpancar di dalamnya. ia berlaku bukan secara dibuat-buat tetapi kemunculan islam di nusantara dan alam melayu telah memberi jatidiri baru terhadap budaya dan sikap orang melayu. bahasalah yang menjadi titik temu kepada nilai bangsa dan nilai islam berkembang.

nilai islam yang kuat berakar menjadikan kesantunan kata dan bahasa melayu ditentukan oleh sejauh mana bahasa itu tidak lari dari syariat islamnya. di dalam pantun melayu misalnya ditemukan cukup banyak bahasa  yang menyelitkan pancaran islam.  dari aspek pertuturan sama mendapat kesannya, di mana kesantunan kata menjadi amat penting dengan lahirnya kata panggilan. bahasa harus berupaya membina citra bangsa yang kukuh dan matang. bahasa harus tidak kasar sehingga ia bertentangan dengan hakikat  islam.


lihat sahaja bagaimana ungkapan kau terasa tidak santun katanya jika digunakan oleh seorang budak kecil apabila bercakap dengan orang tua. ini disebabkan oleh pengaruh kesantunan adab dan tertib pergaulan yang meletakkan yang tua dihormati. begitu juga hubungan antara seorang rakyat dengan raja tidak sekali-kali menggunakan ungkapan kau. ia bukanlah atas sistem hiraki hubungan raja rakyat sebaliknya sebagai sistem adat dan nilai membezakan ungkap bagi melambangkan ketertiban dan kemesraan hubungan. sebaliknya ungkapan kau pula menjadi pernyataan hubungan intim, dekat dan kepasrahan mahkluk terhadap khaliknya sebagaimana dalam doa kepada Allah.  garis-garis kesantunan kata ini sebenarnya telah membina lingkungan bahasa dan hubungan harmonis raja, rakyat dan tuhan. tidak bermakna ungkapan kau terhadap tuhan menunjukkan tuhan disamakan tarafnya dengan manusia sesama rakan dan ungkapan patik dan hamba terhadap raja menunjukkan raja terlalu tinggi darjatnya.  ia terzahir untuk menampakkan bagaimana unsur kesantunan kata itu sendiri menjadi garis pernyataan dan makna berbeza sesuai dengan nilai, adab dan trdisi bangsa melayu. ia langsung tidak merujuk kepada kasta atau lapis masyarakat tetapi lebih kepada unsur penghormatan, kepedulian dan keharmonian dalam hubungan.

demikian juga, telah wujud adat istiadat dan pelbagai bentuk majlis dan upacara dalam kehidupan masyarakat melayu sejak zaman-berzaman sebagaimana yang digambarkan dalam karya-karya persuratan seperti dalam sejarah melayu. pelbagai adat istiadat, majlis dan upacara itu telah berlangsung dengan berasaskan tatacara dan peraturan tertentu, termasuk tatacara dan peraturan yang berkaitan dengan kesantunan bahasa. huraian dan dialog yang terdapat dalam pelbagai karya persuratan melayu lama itu dengan jelas menggambarkan penggunaan bahasa yang santun dan beradab.


inilah tradisi yang dipancarkan oleh budaya berbahasa di alam melayu. bahasanya bersendi agama berteras adab ini diterima dan diguna pakai. ungkapan terlajak perahu boleh ditarik, terlajak kata buruk padahnya, bahasa tidak berjual beli,  bahasa jiwa bangsa,  orang berbudi kita berbahasa dan lain-lain adalah verifikasi terhadap pentingnya kesantunan kata dalam penggunaan seharian atau di mana saja.

anak china menimbang madat,
aari makasar langsung ke deli;
hidup di dunia biar beradat,
bahasa tidak berjual beli.



persoalannya adalah, apakah hari ini kesantunan kata ini dapat kekal membiak dalam segala macam kerencaman hidup manusia? apakah kemunculan bahasa baru yang berteras teknologi dan elektronik dan wahana media maya akan dapat mengekalkan tradisi atau kesantunan kata yang lama semakin dipinggirkan? kita sedang melalui zamannya...