12 Nov 2014

Prof Emeritus Datuk Dr Nik Safiah Karim


Wanita Cemerlang BH: Idola bidang linguistik
Oleh Shaidah Shafie Cetak Emel Kawan
14 Januari 2013


Minat Nik Safiah dalam bidang bahasa dan sastera tidak pernah padam

Minat dan sumbangan penerima Anugerah Cemerlang Tan Sri Fatimah-Avon sebagai ibu ilmuan, Prof Emeritus Datuk Dr Nik Safiah Karim, tidak pernah padam. Semangat itu bersarang dan berkobar-kobar dalam dirinya untuk terus memperjuang mendaulatkan bahasa serta sastera meskipun sudah menginjak usia emas.

Tidak terhenti di situ, komitmen yang begitu tinggi selayaknya beliau diberi pelbagai pengiktirafan antaranya, Tokoh Ilmuwan Bahasa dan Pingat Emas Tun Fatimah (2001), Wanita Cemerlang sempena perayaan 50 Tahun Maktab Perempuan Melayu/Kolej Tunku Kurshiah (1997) dan pelbagai lagi.

Saya memilih melakukan sesuatu yang saya minat dan gemari, jadi saya akan lakukannya dengan bersungguh-sungguh. Saya tidak akan melakukan perkara yang saya tidak suka atau tidak tahu" Dr Nik Safiah Karim, Tokoh Bahasa/Ketua 1 PERTIWI

Bagi pakar bahasa berasal dari negeri Cik Siti Wan Kembang ini, ketokohannya dalam bidang berkenaan amat menyerlah dan sehingga ini tidak keterlaluan jika dikatakan klon Nik Safiah, belum ditemui.

Dalam usia menginjak 73 tahun beliau masih bersemangat membabitkan diri dalam bidang ilmuan kebahasaan dan berpersatuan demi berkongsi manfaat untuk dirinya, masyarakat dan negara.

Peluang FAMILI bersua dengan tokoh bahasa dan masyarakat ini, ada banyak kisah yang boleh dijadikan inspirasi hidup bagi generasi muda yang menghargai masa dan usia kerana beliau adalah insan yang amat menghargai masa dan usia dimiliki.

Kini bertugas sebagai Karyawan Tamu di Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya (UM), Prof Nik Safiah masih aktif menerajui dan menjalankan tugas sebagai Ketua 1 Pertubuhan Tindakan Wanita Islam Malaysia (PERTIWI).
“Saya begitu meminati bidang bahasa, sehingga kini saya masih menyediakan kertas kerja berkenaan bahasa, menjalankan tugas pemantauan terhadap pelajar peringkat ijazah sarjana dan falsafah malah saya masih dijemput memberi ceramah dan bercakap mengenai bahasa.

“Saya masih meneruskan penyelidikan dan menyambung kerja dalam bidang bahasa kerana itu adalah keutamaan saya. Saya tidak pernah menolak memberi ceramah kerana pengendali mengetahui juga bahasa adalah bidang saya,” katanya yang juga pengasas Persatuan Linguistik Malaysia dan pernah menjadi presiden selama 18 tahun.

Masa terluang beliau digunakan untuk kegiatan berpersatuan disebabkan itu juga minatnya yang mula didedahkan seawal usia belasan tahun apabila mengikut kakak, Nik Fatimah, menghadiri pertubuhan bersifat kewanitaan pada ketika itu, di Kota Bharu.

“Kebetulannya tidak ada banyak persatuan untuk wanita dalam masyarakat, jadi kami agak aktif membuat kelas masakan dan memberi bimbingan kepada kumpulan wanita tempatan. Kalau adapun pertubuhan UMNO dan wanita Islam,” katanya ketika ditemui di UM, baru-baru ini.

Bahasa bidang keutamaan

Lantaran kerap mengikut kakak, timbul minat dalam diri beliau untuk membabitkan diri dalam persatuan dan kegiatan berkenaan berterusan sehingga beliau melanjutkan pelajaran ke universiti walaupun ketika itu sudah berkeluarga.

“Saya mengambil bidang bahasa ketika di universiti. Selesai membuat Ijazah Lanjutan, saya masih tidak boleh berehat kerana panggilan serta kehendak untuk belajar masih menebal dalam diri. Walaupun sudah mempunyai anak, saya masih ingin menuntut ilmu dan suami juga menyokong saya.

“Saya kemudian melanjutkan pelajaran ke peringkat falsafah ke luar negara selama tiga tahun. Tempohnya agak cepat berbanding penuntut lain kerana saya tidak tahan berjauhan dengan anak,” katanya.

Setiap hari beliau terkenang akan anak dan suami yang berada di tanah air dan kerinduan berkenaan disalurkan sebagai pemangkin untuk beliau lebih tekun mengejar ilmu dengan pegangan lebih cepat selesai lebih cepat boleh pulang ke luar negara.

Pulang ke tanah air, beliau kembali aktif dalam berpersatuan dan pada masa sama tidak pernah mengenepikan bidang ilmuan akademik kerana disiplin berkenaan menjadi minat beliau sejak dulu.

Dapat sokongan keluarga

Sebagai ibu berkerjaya dan berpersatuan, beliau mengakui pengurusan masa agak rumit, namun dengan sokongan padu suami dan anak yang memahami akan minat dan tugas, Nik Safiah dapat melakukan yang terbaik untuk diri dan keluarga.

“Saya tidak mengabaikan keluarga dan pada masa sama, masih dapat memenuhi tuntutan diri yang ingin memberi tumpuan kepada kerjaya.

“Dalam keadaan itu, saya memilih melakukan sesuatu yang saya minat dan saya gemari, jadi saya akan lakukannya dengan bersungguh-sungguh. Saya tidak akan melakukan perkara yang saya tidak suka atau tidak tahu,” katanya yang gemar meraikan tetamu walaupun tidak mahir memasak.

Baginya, kehidupan perlu ada keseimbangan untuk mendapatkan kesempurnaan dan pada ketika tertentu perlu ada sesuatu yang dilepaskan untuk memberi peluang kepada yang lain. Beliau merujuk kepada dirinya yang tidak mahir memasak, namun tetap berminat mengendalikan tetamu dalam jumlah yang ramai.

“Saya boleh mengendalikan tetamu dalam jumlah yang ramai walaupun tidak mahir memasak kecuali menu kegemaran keluarga. Jadi saya mengupah tukang masak untuk membantu saya. Begitu juga dengan berkebun, saya tidak serasi menanam pokok kerana pokok tidak akan hidup, jadi saya mendapatkan khidmat tukang kebun.

“Dengan adanya timbal balas begitu, perjalanan hidup lebih teratur. Saya memperuntukkan masa sepenuhnya untuk anak dan suami. Lazimnya saya akan mencadangkan tajuk buku yang sesuai untuk mereka baca,” katanya.

Prinsip hidup mudah, iaitu lakukan apa yang disukai kerana ia akan menjadikan kita lebih bersemangat untuk menghasilkan yang terbaik dan tidak melakukan tugas dengan bidang yang tidak mahir.

“Pada masa sama, jangan mengabaikan kesihatan. Kalau kita hidup sampai lanjut usia dan menyusahkan orang sekeliling dengan penyakit yang dihidapi pun tidak seronok juga. Jadi, lakukan juga pemeriksaan kesihatan serta meneruskan rutin hidup seperti biasa,” katanya.

Baginya, cabaran menjadi wanita tidak semudah yang disangka kerana wanita mempunyai lebih banyak cabaran. Selain memiliki kerjaya, wanita juga adalah suri rumah dan perlu sentiasa melengkapkan diri dengan ilmu kehidupan yang sentiasa menimbulkan cabaran semasa.

INFO: Nik Safiah Karim
Lahir: 17 Disember 1939
Asal: Kampong Banggol, Kota Bharu, Kelantan.
Pendidikan: Ijazah Doktor Falsafah (Linguistik), Ohio University, Amerika Syarikat.
Jawatan: bekas Timbalan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP)
: Dekan Fakulti Sastera dan Sains Sosial sebanyak dua kali iaitu di antara 1982
: Ketua Jabatan Pengajian Melayu, UM
: Pengarah pertama Akademi Pengajian Melayu, UM
: Pernah bertugas di Kementerian Pelajaran Singapura dan Kementerian Pelajaran Brunei Darussalam.
Pengasas : PERTIWI dan Persatuan Siswazah Wanita Malaysia
Anugerah: Tokoh Ilmuwan Bahasa dan Pingat Emas Tun Fatimah (2001)
: Diiktirafkan pihak Universiti dengan anugerah Ijazah Kehormat Doktor Persuratan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (2003).
: Dikurniakan pingat Kesatria Mangku Negara (KMN)
: Dikurniakan Johan Mangku Negara (JMN)
Sumbangan: Menulis buku dan makalah mengenai isu bahasa dan isu wanita.

berita harian online


Nik Safiah aktif berpersatuan

Oleh ADHAM SHADAN


Pejuang bahasa Melayu, Prof. Emeritus Datuk Dr. Nik Safiah Karim sebenarnya seorang ahli akademik yang berpendidikan Inggeris dan aktif pada zaman sekolahnya.


NIK SAFIAH (duduk paling kanan) bersama ahli-ahli kelab renang sekolah.

SEJARAH hidup tokoh bahasa, Prof. Emeritus Datuk Dr. Nik Safiah Karim wajar dijadikan contoh buat para remaja hari ini. Biarpun beliau berpendidikan Inggeris, namun cintanya pada bahasa Melayu tidak pernah pudar.

Barangkali ramai yang menyangka kecintaannya pada bahasa Melayu bertunjangkan pendidikan sekolah Melayu, namun ia bukan telahan yang tepat.

Nik Safiah, 70, mula jatuh hati dengan bahasa Melayu dan tulisan jawi sejak sebelum memasuki darjah satu lagi. Banyak buku berbahasa Melayu dan bertulisan jawi koleksi bapanya dibacanya sehingga habis.

Bergelumang dengan kutub khanah pada awal usianya, Nik Safiah terdidik menjadi seorang yang mencintai bahasa Melayu.

Biarpun berasal dari Kota Bharu, Kelantan, negeri yang begitu sarat dengan nilai keagamaan, Nik Safiah disekolahkan di Sekolah Inggeris Rendah Perempuan. Pada masa itu, Sekolah Inggeris menjadi satu tabu dalam kalangan masyarakat Kelantan.

"Ketika itu, persepsi negatif berlegar tentang sekolah Inggeris. Banyak ibu bapa tidak mahu hantar anak ke sekolah Inggeris. Saya tabik kepada bapa saya yang berpandangan jauh. Bapa saya seorang imam dan anak kepada alim ulamak, tapi bila tiba soal pendidikan, beliau bukan sahaja mahu anak-anaknya memperoleh pendidikan agama, bahkan juga pendidikan moden," kata Nik Safiah ketika ditemui di kediamannya di Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur baru-baru ini.


BERSAMA suami dan empat anaknya.

Hidup ibu kepada kepada empat anak itu cenderung dikelilingi persekitaran Inggeris. Di sekolah, pengajian dilakukan dalam bahasa Inggeris dan para pelajar bertutur dalam bahasa Inggeris.

Sejak Nik Safiah berusia 13 tahun, bapanya memberi kepercayaan melepaskannya mencari ilmu di negeri orang. Dia telah meninggalkan Kelantan untuk menuntut di sekolah berasrama penuh di Malay Girls College, Jalan Damansara, Kuala Lumpur.

"Pada masa itu, adalah sesuatu yang amat aneh bagi seorang anak perempuan dilepaskan untuk ke luar negeri bagi menyambung pelajaran. Dari Kelantan pula. Nak pergi Kuala Lumpur sahaja dah macam hendak pergi ke Mekah. Naik sampai 11 buah feri," kata juri rancangan realiti TV, Gadis Melayu itu. Nik Safiah memberitahu, sekolah Malay Girls College ialah sekolah asal Kolej Tunku Kurshiah, Seremban.

Ceritanya, semasa di sekolah menengah, minatnya kepada bidang bahasa semakin berbunga apabila beliau tertarik dengan pengajaran sastera Inggeris.

Selepas tamat tingkatan lima, Nik Safiah menyambung pelajaran ke tingkatan enam di St. Francis Institution, Melaka. Ketika itu, dia tekad untuk menuntut ilmu sehingga ke menara gading.


BERSAMA suami, Muhammad Zain Omar.

"Sudah habis pengajian menengah di Kuala Lumpur, saya ingat bolehlah saya kembali ke Kelantan dan belajar di tingkatan enam di sana. Tapi, malangnya tidak ada pengajian tingkatan enam di sana, bahkan seluruh Pantai Timur tidak ada sekolah yang menawarkan kelas tingkatan enam. Akhirnya saya memilih ke Melaka kerana saya ada saudara di sana," katanya sambil menjelaskan ketika itu hanya dengan lulus tingkatan enam seseorang boleh melanjutkan pengajian ke universiti.

Bercerita tentang zaman sekolahnya, Nik Safiah berkata, dia ialah seorang yang amat aktif berpersatuan. Siapa sangka dia merupakan kapten bagi pasukan renang di sekolah menengah.

"Saya boleh berenang. Ia mungkin disebabkan masa saya kecil dahulu, rumah saya dekat dengan sungai. Balik sekolah sahaja saya terus terjun sungai. Jadi, bolehlah saya berenang.

"Masih terngiang dalam fikiran saya, bapa saya tengah membakar sampah dan saya sibuk mandi di sungai. Tapi sebelum Maghrib saya mesti sudah balik ke rumah," kata anak bongsu daripada lima beradik itu.

"Masa di sekolah menengah di Kuala Lumpur dahulu, tidak ramai yang boleh berenang, jadi nak cari orang yang pandai berenang memang susah. Maklumlah, kebanyakannya orang bandar rumah mereka jauh dengan sungai," katanya sambil memberitahu untuk menemui kolam renang pun susah pada masa itu. Beliau dan kawan-kawannya terpaksa berlatih renang di Victoria Institution.

Ketika berada di tingkatan enam, dia turut berjaya memenangi pertandingan pidato Bahasa Inggeris.

Sekian lama 'meninggalkan' Bahasa Melayu, namun apabila melanjutkan pelajaran ke Universiti Malaya (UM) Kuala Lumpur, dia akhirnya memilih pengajian linguistik, sastera dan budaya Melayu di Jabatan Pengajian Melayu.


KEMENTERIAN Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KEKKWA) turut mengeluarkan buku kisah hidup Nik Safiah berjudul Nik Safiah Karim – Meniti Dua Zaman.

"Jati diri Melayu saya sangat kuat. Ia terbina daripada asas agama keluarga saya. Nilai ketimuran akrab dengan jiwa kami.

"Masa saya ke universiti merupakan zaman peralihan bahasa Inggeris ke bahasa Melayu," katanya yang kemudian melanjutkan pengajian sehingga ke tahap ijazah doktor falsafah di Universiti Ohio, Amerika Syarikat.

Apabila bercakap tentang bahasa Melayu, keterujaan Nik Safiah amat terserlah.

"Kalau setiap orang daripada kita memahami unsur teknikal dalam bahasa Melayu kita akan melihat bahasa itu sebagai amat indah.

"Bersesuaian dengan dunia yang kian kompleks, macam-macam bidang baru muncul sehinggakan tidak ada istilahnya dalam bahasa Melayu. Kita jangan sewenang-wenangnya meminjam bahasa asing sebaliknya ada cara tertentu untuk kita menterjemahkannya ke dalam bahasa Melayu. Pinjaman ialah jalan terakhir.

"Misalnya, kita lihat bagaimana penggandaan separa digunakan untuk istilah sains. Sebelum ini, kita cuma tahu penggandaan separa, daun-daun jadi dedaun, langit-langit jadi lelangit. Tapi, menerusi teknik bahasa dalam pengistilahan baru, banyak unsur penggandaan separa diterapkan.

"Contoh istilah dalam teknologi dan sains yang menggunakan penggandaan separa ialah mouse. Ia bermakna tikus tapi kita jadikan tetikus. Begitu juga dengan liquid yang bermakna cair dan kita jadikan cecair serta solid yang bermakna pejal dan kita jadikannya pepejal. Memahami aspek teknikal bahasa memang menarik," katanya yang juga menganggotai sebuah jawatankuasa istilah linguistik.

Beliau merupakan bekas pensyarah dan profesor di Akademi Pengajian Melayu dan pernah menjadi dekan Fakulti Sastera dan Sains Sosial UM.

Nik Safiah menegur anak-anak muda hari ini yang tidak lagi rasa sayang kepada bahasa mereka sendiri sebaliknya terlalu mengagung-agungkan bahasa Inggeris.

"Sedih bila mengenangkan sesetengah anak muda yang sudah tidak lagi bangga dengan bahasa Melayu terutama mereka yang terdidik di luar negara. Ada juga yang melihat mereka tidak boleh maju dengan bahasa Melayu.

"Memang zaman sekarang era globalisasi. Kita tahu pentingnya bahasa Inggeris dan kita pun tidak menafikan kepentingannya.

"Tapi, pada masa yang sama kita juga mempunyai negara. Sebagai sebuah negara kita kena ada jati diri yang menjadi perlambangan negara ini. Jadi, kita ambillah bahasa Inggeris tapi dalam masa yang sama jangan ditinggalkan bahasa Melayu," pesannya.

kosmo


Biografi Professor Emeritus Datuk Dr. Nik Safiah Karim


Seorang tokoh dan cendekiawan tanahair

Prof Emeritus Datuk Dr Nik Safiah Karim merupakan antara tokoh dan cendekiawan tanahair yang aktif memperjuangkan kedaulatan bahasa Melayu. Dedikasi beliau yang tidak boleh dinafikan menjadikannya disegani ramai dan menjai idola kepada anak-anak muda di institusi pengajian tinggi yang mengikuti bidang linguistik dan sastera. Namun selain perjuangan lingustik ini, beliau juga gigih memperjuangan kedudukan serta kebajikan kaum wanita tanahair.
Latar belakang

Professor Emeritus Datuk Dr. Nik Safiah Karim yang dilahirkan pada 17 Disember 1939 di Kampong Banggol, Kota Bharu, Kelantan.

Dalam bidang akademik, beliau telah menerima pendidikan awal di Sekolah Rendah Inggeris Perempuan Kota Bahru (sekarang Sekolah Rendah Zainab). Beliau kemudian telah melanjutkan pelajaran ke Maktab Perempuan Melayu, Jalan Damansara, Kuala Lumpur (kini dikenali Kolej Tunku Kurshiah, Seremban). Setelah itu beliau telah belajar di St. Francis Institution, Melaka sehingga lulus Higher School Certificate pada tahun 1959. Pada 1965 beliau memperolehi Ijazah Sarjana Muda Sastera dengan kepujian dalam bidang Linguistik daripada Universiti Malaya. Seterusnya pada tahun 1975, beliau memperolehi ijazah Doktor Falsafah dalam bidang Linguistik dari Ohio University, USA.

Kerjaya akademik pula telah bermula dengan perlantikan beliau tutor di Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Malaya pada tahun 1963. Sepanjang kerja beliau telah berjawatan pensyarah, professor madya dan dilantik Professor Pengajian Melayu.

Antara sumbangan beliau dapat dilihat dari jawatan yang beliau sandang, antaranya Dekan Fakulti Sastera dan Sains Sosial sebanyak dua kali iaitu di antara 1982 sehingga1983 dan 1992 sehingga 1994 , Ketua Jabatan Pengajian Melayu dari tahun 984 sehingga 1986 dan Pengarah pertama Akademi Pengajian Melayu dari tahun 1990 sehingga 1992.

Sementara di antara tahun 1989 hingga 1990, beliau telah dipinjamkan ke Dewan Bahasa dan Pustaka sebagai Timbalan Ketua Pengarah. Di sini beliau terus menabur berbakti dalam perjuangan mengutuhkan bahasa Melayu bukan sahaja di tanahair tetapi juga di seluruh dunia. Ini dilihat dari perlantikan beliau selama 14 tahun dalam Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka dan Ahli Jawantankuasa Tetap Bahasa Melayu (JKTBM) yang mewakili Malaysia di pertemuan Majlis Bahasa Melayu Brunei Darussalam, Indonesia dan Malaysia (MABBIM). Selain itu beliau merupakan ahli jemputan dalam Majlis Antarabangsa Bahasa Melayu (MABM).

Kepakaran beliau telah menjadikan beliau pakar rujuk bahasa yang sering dijemput. Beliau ada memberi khidmat kepada Kementerian Pelajaran Singapura dan Kementerian Pelajaran Brunei Darussalam.

Memandangkan kegigihan beliau ini maka tidaklah beliau adalah salah seorang pengasas Persatuan Linguistik Malaysia dan pernah menjadi Presiden selama 18 tahun. Kini beliau menjadi penasihat persatuan tersebut.

Pergerakan wanita

Menurut Prof Emeritus Datuk Dr Nik Safiah Karim, penglibatan beliau dalam pergerakan wanita bukanlah sesuatu yang baru baginya. Kakak-kakaknya giat aktif alam pergerakan Women’s Institute (WI) di Kelantan. Walaupun beliau bukan ahli persatuan tersebut, beliau sering membantu mereka dalam kegiatan mereka. Di sini beliau mendapat pendedahan awal kepada perjuangan wanita.

Dalam perjuangan pembangunan wanita, beliau telah mengasaskan dua buah persatuan wanita., iaitu PERTIWI (Pertubuhan Tindakan Wanita Islam) dan Persatuan Siswazah Wanita Malaysia

PERTIWI telah ditubuhkan pada 1967 sebagai sebuah pertubuhan berorientasikan projek di mana pelbagai aktiviti kemasyarakatan, keagamaan dan kebajikan berteraskan pendidikan. Program-program PERTIWI disasarkan bagi wanita dan kanak-kanak terutamanya di kawasan pendalaman. Datuk Dr Nik kini menjadi Ketua I dalam Jawatankuasa Induk. Beliau mengalu-alukan wanita muda Islam menyertai PERTIWI dan bersama PERTIWI menjalankan kerja-kerja amal mereka.

Sewaktu menceritakan pengalaman bersama PERTIWI, beliau menekankan bahawa asas pendidikan merupakan teras utama perjuangan PERTIWI. Pada awal 1970-an, PERTIWI telah menjalankan projek anak angkat bagi menyediakan bantuan kewangan kepada para pelajar tanpa mengira bangsa dari keluarga miskin. Pengurusan projek ini melibatkan pihak sekolah. Ini kerana kewangan yang diperuntukan akan diuruskan oleh Guru Besar sekolah bagi pelajar terpilih. Guru Besar dipertanggungjawabkan untuk membuka buku simpanan bank dan menyimpan buku tersebut bagi mengeluarkan kewangan yang perlu. Sumber kewangan diterima daripada sumbangan orang ramai dan dibahagikan mengikut purata RM40 setahun bagi pelajar di peringkat sekolah rendah dan RM60 setahun bagi pelajar di peringkat sekolah menengah. Menurut Datuk Dr Nik, antara penderma adalah Datuk Musa Hitam yang ketika itu Timbalan Perdana Menteri dan Syarikat Kentucky Fried Chicken.

Selain itu, PERTIWI juga membawa anak-anak angkat ini ke Kuala Lumpur dalam lawatan sambil belajar serta memotivasikan anak-anak ini untuk mencapai kecemerlangan. Anak-anak angkat ini juga berkesempatan bertemu penganjur mereka. Melalui proses ini, anak-anak mengetahui bagaimana merancang pendidikan mereka di samping bercuti semasa cuti sekolah. Menurut Datuk Dr Nik, situasi hari ini sudah bertukar dan kini juga sudah banyak biasiswa dan bantuan kewangan bagi anak-anak dari keluarga miskin yang dihulurkan oleh pelbagai pihak. Ini amat membantu anak-anak dari keluarga miskin untuk mendapat pendidikan.

Antara aktiviti PERTIWI yang lain adalah mengadakan klinik sehari di kawasan luar bandar bagi kawasan yang tidak mendapat akses kepada perkhidmatan kesihatan. Ini kerana masyarakat bertanggapan bahawa terlalu banyak masa terbuang dan amat leceh untuk pergi ke pusat kesihatan untuk menerima rawatan. Atas faktor ini dan lain-lain faktor sosial lain, rancangan klinik sehari ini diilhamkan bagi membantu mereka di kawasan pendalaman bagi menerima perhatian kesihatan. Dengan itu, Pertiwi bekerja bersama pihak Penghulu, doktor-doktor tempatan dan persatuan tempatan untuk mendapatkan tenaga kepakaran dan sukarelawan. PERTIWI bertanggungjawab mencari bantuan kewangan untuk mendapatkan bekalan perubatan dan makanan. Pihak doktor dan jururawat pula memberi perkhidmatan secara sukarela.

Antara peristiwa yang tidak dapat Datuk Dr Nik lupakan adalah sesuatu yang berlaku lebih lima tahun dahulu. Ketika itu seorang seorang doktor mata mendapat tahu aktiviti PERTIWI akan melibatkan kampung beliau. Beliau amat terkilan telah bersama secara sukarela dalam aktiviti tersebut. Sewaktu menjalankan klinik sehari tersebut beliau dapati bahawa ramai mempunyai masalan penglihatan samada rabun jauh maupun rabun dekat. Maka secara spontan dana dikumpulkan untuk mendapatkan kaca mata bagi penduduk desa yang memerlukan. Menurut beliau, kegembiraan yang tertera di air muka penduduk terutamanya dari golongan tua yang sebelum itu rabun dan telah boleh lihat dengan jelas tidak dapat dilupakan.

Pada tahun 1978 beliau telah dilantik ke majlis Penasihat Kebangsaan bagi Mengintegrasikan Wanita dalam Pembangunan (NACIWID), sebuah badan penasihat tertinggi bagi menasihati kerajaan tentang hal ehwal wanita. Perlantikan ini adalah setelah pulangnya beliau dari melanjutkan pendidikan di USA. Setelah penubuhan Kementerian Pembangunan Wanita (kini Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan masyarakat), nama badan tersebut telah diubah kepada Majlis Penasihat Wanita Negara. Beliau sehingga kini memegang tanggungjawab sebagai Pengerusi Majlis. Beliau juga giat dalam Majlis Kebangsaan Pertubuhan-Pertubuhan Wanita (NCWO) dalam pelbagai aktiviti. Kini beliau merupakan pengerusi bersama Suruhanjawa Undang-undang dan Hak Asasi Manusi bersama Puan F.R. Bhupalan.

Pengiktirafan dan anugerah

Kegigihan Datuk Dr. Nik yang tidak pernah mengira penat amatlah disegani ramai. Atas jasa dan sumbangannya, beliau telah diberikan anugerah dan bintang. Pada tahun 1989 beliau dikurniakan pingat Kesatria Mangku Negara (KMN). Seterusnya pada tahun 1995 beliau menerima kurniaan Johan Mangku Negara (JMN). Manakala pada tahun 1997 beliau telah dikurniakan Johan Panglima Negara (JPN) yang membawa gelaran Datuk.

Beliau juga telah menerima Anugerah Wanita Cemerlang Tan Sri Fatimah-Avon bagi kecemerlangan dalam bidang pendidikan sebagai Ibu Ilmuwan pada 1995. Kecemerlangan yang berjaya dicapai juga menjadi kebanggaan sekolah beliau. Dalam Perayaan sempena 50 Tahun Maktab Perempuan Melayu/Kolej Tunku Kurshiah pada 1997 belaiu telah dianugerahkan wanita cemerlang.

Sumbangan dalam bidang bahasa juga diiktiraf dengan anugerah Tokoh Ilmuwan Bahasa dan Pingat Emas Tun Fatimah pada tahun 2001. Beliau juga juga diiktirafkan oleh pihak Universiti dengan anugerah Ijazah Kehormat Doktor Persuratan dari Universiti Kebangsaan Malaysia pada 2003.

Tambahan pula setelah beliau bersara, Universiti Melayu memberi penghormatan melalui pelantikan beliau sebagai Professor Emeritus pada 2002.
Bidang penulisan

Prof Emeritus Datuk Dr Nik Safiah Karim juga telah banyak menyumbang dalam bentuk penulisan dan penyertaan dalam persidangan samada mengenai isu wanita maupun isu bahasa.

Beliau telah menghasilkan beberapa buah buku tentang pengajian wanita dan pada masa kini menjadi pensyarah sambilan di Rancangan Pengajian Gender, Universiti Malaya. Sejak kebelakangan ini, beliau telah berganding bahu bersama Dr. Rokiah Talib dalam penulisan biografi wanita tanahair. Tindakan ini amat bermakna kerana merupakan satu inisiatif wanita menulis mengenai sumbangan wanita.

Beliau juga telah menghasilkan belasan buah buku dan ratusan makalah mengenai isu bahasa. Antara buku yang terkenal ialah Tatabahasa Dewan (yang ditulis bersama tiga orang ahli bahasa yang lain), Bahasa Malaysia Syntax, Beberapa persoalan Sosiolinguistik Bahasa Melayu dan Malay Grammar for Academics and Professionals.
Rahsia kecemerlangan

Falsafah Datuk Dr Nik adalah lakukan bergembira apabila melalukan sesuatu kerja. Dengan ini segala apa yang dilakukan walaupun seberat manapun akan menjadi ringan.

Namun, Datuk Dr Nik sering kali menekankan pentingnya pengurusan masa. Ini menurut belaiu ini amat penting kerana beliau menumpu kepada kerjayanya di samping keluarganya. Bagi DatukDr Nik, seorang ibu kepada empat orang anak, masa perlu dibahagi dengan baik dan kita perlu pastikan bahawa masa yang diluangkan diguna dengan optimum. Kita perlu pandai melakukan yang terbaik bagi sesuatu keadaan. Misalnya memasak, kita tidak perlu jadi “super woman” dan melalukan semua masakan. Kita perlu bijak masak makanan kesukaan anak-anak dan belajar memasak masakan tersebut dengan baik. Ini akan mengembirakan mereka dan mewujudkan suasana yang riang.

penitia



Sejarah pendidikan

1948: Sekolah Inggeris Perempuan Kerajaan (GGES) di Kota Bharu, Kelantan

1953: Kolej Perempuan Melayu (MGC), Kuala Lumpur

* 1958: St Francis Institution, Melaka.

1960-1963: Universiti Malaya (Ijazah Sarjana Muda Sastera)

1963: Ijazah Sarjana Sastera dan menjadi tutor di Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Malaya.

1972 - 1976: Melanjutkan pengajian ke peringkat kedoktoran di Ohio University, Amerika Syarikat.

Kegiatan luar dan akademik:

1977: Terbabit dalam penubuhan Persatuan Linguistik Malaysia

1979: Bersama rakan-rakan mengasaskan Persatuan Siswazah Wanita Malaysia

1982: Dilantik sebagai Presiden Persatuan Linguistik Malaysia dan bertugas selama 18 tahun.

: Wanita pertama dilantik sebagai Dekan Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya.

1983: Dilantik sebagai Ketua Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Malaya.

1986: Penerbitan Buku Tatabahasa Dewan Jilid 1.

1990: Dilantik sebagai Profesor Kursi Pengajian Melayu dan penubuhan Akademi Pengajian Melayu serta dilantik sebagai presiden pertama.

2002 - Menerima Anugerah Profesor Emeritus dari Universiti Malaya

- Menerima anugerah Pingat Emas Tun Fatimah disampaikan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Siti Aishah.

- Menerima anugerah Ijazah Kehormat Doktor Persuratan dari Universiti Kebangsaan Malaysia.

2004 - Dianugerahkan Tokoh Pejuang Bahasa oleh Persatuan Linguistik Malaysia

2005 - Menerima Anugerah Tokoh Ibu Cemerlang-Ibu Akademik anjuran Avon Cosmetics

2006 - Dilantik Karyawan Tamu, Akademi Pengajian Melayu. Naib Presiden NCWO (Zon Tengah) .

2007 - Menjadi Pengerusi Majlis Perunding Wanita Islam Malaysia (YADIM).

Buku biografi wanita yang ditulis bersama Azizah Mokhazani

1) Tun Siti Hasmah (1999).

Buku biografi wanita yang ditulis bersama Dr Rokiah Talib:

1) Ibu Enjah (Ibu Mithali Pertama) 2001.

2) Tun Fatimah Hashim (2003).

3) Hajah Wan Mas (Ibu Mithali Kedua) 2004.

4) Tan Sri Zaleha Ismail (2005).

1 comment:


  1. Salam sejahtera. Saya pelajar tingkatan 6 di SMK Bandar Tun Hussein Onn 2 yang sedang menjalankan kajian berkaitan Prof Emeritus Datuk Dr. Nik Safiah Karim. Saya telah memilih beliau sebagai tokoh yang ingin saya kaji. Bolehkah saya menemu bual anda untuk mengetahui tentang Datuk Dr Nik Safiah Karim dengan lebih lanjut ?

    ReplyDelete