22 Aug 2014

Sastera Dalam Pendidikan Abad Ke-21



Memanfaatkan Sastera Dalam Pengajaran dan Pembelajaran
Bahasa Melayu Dalam Abad Ke-21

Pengenalan

Kemunculan abad baru sudah pasti membawa bersamanya cabaran terhadap perkembangan dunia pendidikan dan bahasa Melayu. Yang penting adalah bagaimana pendidikan bahasa Melayu harus berhadapan dengan keperluan abad baru ini. Pada hari ini kita ingin melihat pula kemampuan sastera untuk mengisi ruang dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu dalam arus abad ke-21. Jika sastera mampu untuk mengisi ruang tersebut, bagaimana pula coraknya dapat mewarnai dan menangani proses pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu.

1. Definisi bahasa dan Sastera

Menurut Kamus Dewan bahasa didefinisikan sebagai sistem lambang bunyi suara yang dipakai sebagai alat perhubungan dalam lingkungan satu kelompok manusia (antara individu dengan individu yang lain). Bahasa juga merupakan percakapan yang baik dan penuh sopan santun. Bahasa juga meliputi adab, tatatertib, sopan santun, dan tingkah laku yang baik. Bahasa dirumuskan sebagai satu sistem simbol bunyi ucapan yang arbitrari, dan menjadi medium manusia berkomunikasi. Bahasa diwujudkan oleh dua komponen utama, iaitu: bunyi ucapan, dan satuan pengalaman yang mencakup cita, rasa, dan makna. Melalui bahasa, kita dapat: berkomunikasi, meluahkan perasaan, menyampaikan ilmu dan mengakumulasikannya, mengungkapkan keindahan dalam pelbagai wahana, dan mewariskan ilmu, budaya, peradaban, dan agama

Hashim Awang (1985) memperincikan sastera sebagai hasil ciptaan seni yang disampaikan melalui bahasa. Hasil sastera disebarkan melalui bahasa manakala bahasa mampu memancarkan keindahan yang terkandung dalam karya sastera. Wahana bahasa menjadikan karya sastera dapat difahami segala isi dan tujuan yang mahu dilakarkan oleh pengarang. Karya sastera membicarakan apa yang berlaku dan terlibat pada sesuatu masyarakat sambil mengemukakan sikap, nilai dan pandangan tertentu. Bagi Ali Ahmad (1994) karya sastera terkandung di dalamnya nilai-nilai estetika atau keindahan manakala bahasa sastera lahir bersama-sama pembinaan rasa, cita-cita, imaginasi kehidupan, dan fikiran. Selain itu karya sastera tidak dapat lari dari membawa bersamanya unsur nilai yang ada perkaitan dengan keagamaan, kebudayaan, dan kemasyarakatan.

2. Hubungan antara bahasa dan sastera

Titik pertemuan antara bahasa dan sastera adalah sifat sastera itu sendiri yang memerlukan bahasa sebagai wahana komunikasi. Melalui bahasa isi dan tujuan karya itu dapat difahami pembaca. Bahasa memungkinkan pembaca menghayati pengalaman dan emosi yang terkandung dalam karya sastera. Bahasa sastera dilahirkan melalui imaginasi, fikiran, dan emosi. Bahasa bukan sastera bermaksud untuk memberikan keterangan manakala bahasa sastera di dalamnya merangkumkan adunan emosi, imaginasi dan pemikiran. Bahasa sastera membawa unsur ketaksaan dalam maknanya berbanding bahasa bukan sastera yang lebih objektif sifat maknanya.

Bahasa sastera mempunyai sistem bahasa yang tersendiri. Bahasa sastera tidak terikat pada sistem bahasa yang amat ketat seperti mana yang perlu ada pada bahasa sains atau bahasa ilmu. Bahasa sastera juga bukanlah suatu yang sewenang-wenangnya diungkapkan. Keterikatan dan sekatan makna pada bahasa sastera tidak akan menghidupkan sastera kerana ia gagal berfungsi meperagamkan emosi dan bayangan. Susun kata dalam sastera juga tidak boleh sewenang-wenangnya kerana ia akan gagal melahirkan kesan keindahan yang diharapkan dalam sastera.

Keupayaan bahasa sastera untuk lahir sebagai bahasa yang penuh estetika terletak pada kebijaksanaan pengarang mengolah bahasa yang melahirkan kesan mendalam terhadap pembaca. Pengarang berkemampuan untuk menjadikan bahasa beranekaragam kesan penggunaannya serta melahirkan kesan rasa dalaman terhadap pembaca. Pengarang menggunakan kata untuk melahirkan makna konotatif atau mempelbagaikan makna kata atau frasa yang digunakan. Hidupnya karya sastera bergantung kepada hidupnya bahasa yang digunakan oleh seseorang pengarang.

Selain estetika bahasa, sastera juga mengandungi unsur keindahan yang terkandung dalam susunan cerita seperti perwatakan, plot, sudut pandangan, latar, dan bentuk. Sastera mempunyai bentuk berdasarkan genrenya sama ada pantun, syair, sajak, drama, cerpen, atau novel. Meskipun bahasa menjadi wahana karya sastera namun ia terbina atas organisasi atau strkutur yang tersendiri. Dalam puisi ada imej dan bunyi sebagai unsur yang menyumbang kepada pembentukan makna puisi itu sendiri. Dalam cerpen pula ia dibina oleh urutan plot, latar, watak dan perwatakan serta nilai yang dibawa oleh karya berkenaan.

3. Pengajaran bahasa menggunakan bahan sastera

3.1. Hubungan pembaca dengan teks

Penggunaan bahan sastera dalam pengajaran bahasa bertujuan untuk memupuk minat membaca dan melahirkan kenikmatan membaca serta penghayatan terhadap bahan sastera. Bahan sastera dapat memberi kefahaman terhadap pelajar dari aspek penikmatan hasil karya yang indah, pelahiran emosi, serta pelajar dapat membuat apresiasi dan penghayatan terhadap karya sastera.

Aspek estetika yang diutamakan dalam penggunaan bahan sastera adalah kebolehan pelajar untuk memahami dan memberi respons peribadi terhadap karya sastera. Ia dapat dilakukan melalui penceritaan semula sesebuah karya sastera, mengenalpasti perkara yang menarik dalam karya sastera, menyatakan bentuk dan nada puisi, menyatakan jenis, ciri, tema dan persoalan, pemikiran serta nilai dan pengajaran. Di samping itu pelajar berkebolehan untuk menghuraikan maksud, gaya bahasa, dan unsur bunyi dalam puisi, dan mengulas karya sastera dari aspek watak dan perwatakan, latar, plot, gaya bahasa, dan sudut pandangan.

Penggunaan bahan sastera dapat membantu merangsang pelajar supaya memberikan pelbagai tindak balas dalam kegiatan pengajaran-pemelajaran di dalam bilik darjah (Marohaini Yusoff : 2001). Pelajar boleh menggunakan bahasa secara aktif sewaktu pengajaran kemahiran bahasa seperti membaca, mendengar, bertutur, dan menulis. Kegiatan membaca, membuat perbincangan, dan menulis tentang kesusasteraan dapat membantu pelajar memahami teks yang dibaca dengan lebih baik. Pembacaan bahan sastera dapat memberikan pelajar latihan dari segi kemahiran pemahaman dan memperkukuhkan perbendaharaan kata dan kebolehan mereka untuk berfikir secara kritis.


3.2. Kemahiran abad ke-21

Sandra Burchsted merumuskan kemahiran abad ke-21 sebagai berikut :

• Literasi Informasi - Kompetensi mencari, menilai dan menggunakan informasi yang bersesuaian
• Literasi Budaya - Menerima dan menghayati kepelbagaian budaya dan manusia;
• Kesedaran Global - Memahami dan menerima hubungan antara negara, perbadanan multinasional, serta manusia di serata dunia;
• Adaptabiliti / Kebolehan Menghadapi Kompleksiti;
• Kreativiti dan Kesanggupan Menghadapi Risiko – Kesediaan untuk meningkatkan pengetahuan ke arah pendidikan sepanjang hayat
• Kreativiti – Menggunakan imaginasi untuk membina perkara baru
• Pemikiran Tinggi - Proses penyelesaian masalah secara kreatif menggunakan informasi, pendapat, dan penilaian.
• Kerja Berpasukan - Kebolehan bekerjasama dalam satu pasukan ke arah pencapaian matlamat
• Kolaborasi dan Kemahiran Interpersonal – Boleh berkomunikasi dan bekerjasama dengan orang lain dengan berkesan ke arah pencapaian matlamat
• Rasional – Boleh berfikir secara logik untuk mencapai hasil dan membuat keputusan
• Kemahiran Visual – Kebolehan membuat interpretasi, dan mengemukakan pendapat melalui imej, grafik, lakaran, ikon, fotografi, dan video
• Kebolehan Merancang dan Mengurus Untuk Mencaoai Hasil
• Keberkesanan Mengunakan Kemudahan dan Mencapai Produk Berkualiti (Prospectiva)

Jika dilihat dari aspek kemahiran tersebut bermakna bahasa Melayu mempunyai potensi besar untuk muncul sebagai bahasa ilmu pada abad ke-21. Nik Safiah Karim (2004) menyatakan bahawa bahasa Melayu harus muncul sebagai bahasa ilmu dan bahasa perhubungan umum pada abad ini. Sebagai bahasa ilmu ia memerlukan penyediaan bahan bacaan dan bahan rujukan yang mencukupi. Di samping itu perlu lahir lebih ramai intelektual yang dapat menjadi contoh penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu pada tempat dan waktu yang sesuai. Bahasa Melayu perlu muncul sebagai bahasa perhubungan dalam kalangan rakyat jelata melibatkan pelbagai konteks. Selain menumpukan kepada interaksi bahasa dalam situasi yang melibatkan pelbagai laras bahasa seperti laras politik, laras sastera dan sebagainya, penekanan perlu diberikan terhadap estetika bahasa.

Pengisian terhadap estetika bahasa akan menentukan keupayaan bahasa Melayu bertahan sebagai bahasa komunikasi dan bahasa ilmu abad ke-21. Masyarakat perlu didedahkan dengan penggunaan bahasa Melayu yang indah dan menarik. Bahasa perlu sebati dengan masyarakat agar bahasa Melayu dapat diterima sebagai bahasa yang indah dan menarik. Kris Gutiérrez (2000) menerangkan bahawa keperluan pengajaran bahasa pada abad ke-21 adalah menggunakan bahan yang realistik dan mempunyai perkaitan dengan komuniti. Di samping itu kemahiran yang diajar hendaklah dapat memenuhi keperluan kerjaya pelajar. Aspek-aspek yang perlu diberi penekanan termasuklah sosio budaya, linguistik, jati diri bangsa, serta nilai. Oleh itu peranan bahan sastera dalam pengajaran bahasa amat relevan dalam menentukan keupayaan bahasa Melayu memenuhi keperluan alaf baru ini.


4. Kepentingan sastera

Ilmu sastera pada abad ke-21 merupakan satu bentuk ilmu yang penting dan relevan pada zaman ini. Kemajuan sesebuah negara tidak hanya berasaskan ukuran pembangunan jasmaniah, sains, dan teknologi tetapi perlu mengambil kira aspek-aspek kemanusiaan dan kerohanian. Kesusasteraan mempunyai perkaitan dengan cabang ilmu lain seperti agama, falsafah, budaya, politik, perubatan, undang-undang, dan sebagainya. Teks sastera penuh dimensi dan ia memberi banyak ruang untuk diteroka oleh pelajar. Selain itu ilmu kesusasteraan merupakan disiplin ilmu yang berkait rapat dengan aspek emosi dan nilai hidup manusia. Sastera bukan sekadar memberi maklumat tentang keintelektualan tetapi melengkapkannya dengan dunia emosi dan nilai kepada manusia. Kehadiran aspek nilai menjadi penting dalam pemupukan dan pembentukan kualiti insan.

Karya sastera tidak dapat lari daripada dua fungsi utama. Pertama karya sastera bertujuan untuk menghiburkan dan keduanya untuk memberi pengajaran, pesanan atau peringatan. Keperluan untuk menghiburkan melahirkan karya sastera yang membawa keseronokan yang indah. Hiburan terhasil dari keindahan kata-kata yang diungkapkan, irama atau rentak yang yang tesusun, kemampuan karya sastera untuk membelai emosi pembaca atau pendengar, unsur kelucuan dan sebagainya. Kepentingan fungsi hiburan menjadikan karya sastera seperti cerita penglipurlara diterima oleh masyarakat sebagai karya yang diminati dan digilai masyakarakat pada suatu ketika.

Pantun misalnya merupakan karya sastera yang cukup popular kerana keupayaannya membawa keindahan yang menghiburkan. Saya teringat sebuah pantun lama berbunyi seperti berikut :


Berburu ke padang datar
Dapat rusa berbelang kaki
Berguru kepalang ajar
Bagai bunga kembang tak jadi

Kualiti menghiburkan dalam pantun tersebut cukup banyak. Rentak dan rima yang bersukat membentuk irama dalam pantun. Malah pantun pula mempunyai struktur bacaan yang tersendiri yang menghasilkan keindahan dalam pembacaan. Selain itu, pantun disampaikan pula dalam pelbagai variasi yang semakin menambahkan fungsi menghiburkan seperti dijadikan lirik dikir barat di Kelantan, lirik lagu popular, dan pelbagai bentuk lagi. Kemampuan pantun untuk bertahan sebagai karya sastera yang popular menunjukkan bahawa unsur hiburan ini amat banyak dalam pantun.

Fungsi kedua karya sastera adalah untuk memberi pengajaran, nasihat atau pesanan kepada masyarakat. Fungsi ini juga menjadikan karya sastera sebagai suatu bahan yang dapat membawa kesedaran kepada masyarakat, mengubah pemikiran, serta memberi ruang untuk masyarakat menyerap nilai-nilai moral yang dibawa dalam karya sastera. Cerita Sang Kancil dengan Buaya misalnya cukup terkenal bukan semata-mata kerana ceritanya menghiburkan tetapi keupayaannya untuk memasyarakatkan nilai, unsur moral dan pengajaran yang berguna kepada masyarakat. Tanpa kita sedari kita dibesarkan dalam asuhan moral yang dibawa dari cerita tersebut. Tanpa sedar kita dserapkan dengan kepentingan nilai tolong-menolong dan kita pula diperingatkan betapa buruknya sikap tidak mengenang budi.

Sama seperti pantun tadi, pemilihan kata yakni berburu dan digandingkan dengan berguru memberi mesej yang penting pada kita. Dalam ungkapan yang ringkas, pantun membawa tafsiran makna yang mendalam. Kerja berburu sama sukarnya dengan berguru. Ia memerlukan kemahiran dan ketekunan. Peringatan yang cuba dibawa dalam pantun iaitu pentingnya ilmu tetapi jangan salah berguru.

Permasalahan yang perlu direnung kembali adalah bagaimana dwi fungsi sastera ini dapat dipertahankan dalam cabaran abad ke-21?.

Untuk menjadikan karya sastera dapat diterima dengan berkesan sudah pastinya dwi fungsi sastera itu dapat berterusan dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Meski pun karya sastera itu sendiri sudah lengkap dengan unsur hiburan dan pengajarannya, bagaimana ia dapat disampaikan kepada pelajar? Ia pastinya menjadi satu cabaran kepada guru-guru bahasa Melayu. Jika karya sastera tidak sampai kepada pelajar dalam bentuk yang menghiburkan. Nilai sastera sebenar tidak sampai kepada pelajar. Keindahan sastera tidak dapat diselami oleh pelajar. Akhirnya pelajar terasa sastera hanya membebankan mereka dengan teks yang banyak bukan menghiburkan mereka. Kepalang ajar kadangkala lebih banyak membunuh minat dan kecenderungan pelajar.


5. Matlamat

5.1. Bahasa

Penggunaan bahan sastera bermatlamat ke arah membina perkembangan bahasa. Interaksi pelajar dengan bahan sastera memberi ruang kepada pelajar mengasah kemahiran membaca dan memahami. Pengajaran tentang sesebuah teks sastera melibatkan pengajaran kemahiran membentuk makna bukan sahaja tentang teks yang dibaca tetapi juga makna yang dibawa oleh teks tersebut dan hubungannya dengan pengetahuan dan pengalaman seseorang pelajar. Hal ini juga bermaksud bahawa makna atau maksud yang dibawa oleh sesebuah teks sastera yang dibaca, bukan sahaja didapati dalam teks, tetapi juga diperoleh melalui interaksi dengan teks. Konteks hubungan pembaca dengan teks dapat diperkayakan dengan penguasaan laras bahasa dalam karya kreatif. Pelajar dapat mengenalpasti gaya bahasa dalam karya sastera, menganalisis gaya bahasa dan unsur bunyi dalam karya sastera. Pelajar juga dapat menguasai aspek penggunaan gaya bahasa dan unsur bunyi dalam penulisan kreatif.

Kemahiran berbahasa diperluaskan dengan interaksi pelajar dengan keindahan bahasa yang terpancar dalam karya sastera. Keindahan bahasa yang menjadi intisari sesebuah karya sastera berupaya mendekatkan pelajar dengan keragaman dan kekayaan bahasa sastera yang indah dan menarik. Matlamat pengunaan bahan sastera adalah untuk membentuk kepekaan pelajar terhadap variasi bahasa yang wujud dalam teks sastera. Melalui penghayatan karya sastera pelajar dapat mempelajari kekayaan bahasa masyarakatnya dan dapat meneladaninya untuk memperoleh kekuatan bahasa. Selain itu, kemahiran berbahasa dilengkapkan melalui kemampuan pelajar menghasilkan penulisan kreatif. Penghasilan prosa atau puisi secara terancang, kemas, serta mematuhi pengunaan bahasa yang tepat, indah, dan menarik.

5.2. Nilai

Karya sastera tidak terlepas dari pancaran nilai yang terakam di dalamnya. Nilai-nilai yang dipaparkan bersifat nilai kesejagatan yang membawa kelangsungan kepada umat manusia. Manusia dilukiskan untuk membayangkan nilai-nilai murni supaya manusia terus hidup dengan lebih sempurna. Mendekati karya sastera bermakna pelajar dapat merenung, berfikir, dan membuat refleksi tentang situasi dirinya dalam kehidupan ini. Kesejahteraan dan kemakmuran manusia yang dipancarkan dalam karya sastera dapat menyemai naluri keinsanan dalam jiwa pelajar.

5.3. Pembangunan sahsiah

Fungsi mendidik yang dibawa dalam karya sastera bertujuan untuk pembinaan sahsiah seseorang. Sastera dapat membina manusia yang berfikir, berpegang pada etika, manusia yang halus pertimbangannya, bersikap adil dan saksama, serta dapat membayangkan perasaan orang lain. Karya sastera memberi ruang kepada pelajar untuk merasa prihatin terhadap keperitan dan kedukaaan yang dialami orang lain. Mereka menjadi peka kepada sesama manusia dan persekitarannya. Karya sastera mengajak manusia untuk membina sebuah masyarakat atau manusia yang baik.

5.4. Jati diri

Sastera yang tumbuh dalam jiwa dan bahasa sesuatu bangsa akan menjadi alat, bukti, dan unsur jati diri bangsa berkenaan. Sastera akan menjadi sebahagian dari wajah dan jiwa bangsa. Karya-karya sastera tradisional seperti pantun, syair, seloka, dan gurindam serta karya-karya prosa tradisional seperti sastera rakyat, metos, legenda, dan epik menjadi khazanah yang amat dibanggakan. Mengenali teks sastera bermakna memberi ruang kepada pelajar memahami jati diri mereka. Sastera menjadi warisan kerana di dalamnya terkumpul alatan komunikasi, fikiran, konsep, persepsi, emosi, muzik, dan seni bangsa itu (Muhammad Haji Salleh : 2004). Bahan sastera berupaya untuk memberikan pendedahan berkaitan unsur budaya, pemikiran, sikap, dan nilai yang diamalkan dalam masyarakat.

6. Peranan dan kesan penggunaan bahan sastera
dalam pembelajaran bahasa

Awang Sariyan (2003) penggunaan bahan sastera dalam pengajaran bahasa bertujuan untuk melatih pelajar membaca karya sastera dengan strategi yang tepat, bukan semata-mata untuk memenuhi tujuan praktis seperti memperolehi maklumat tetapi untuk menganalisis teks sastera bagi memperoleh kemungkinan makna tertentu secara simbolis atau filosifis. Pembacaan ini merupakan kemahiran membaca aras tinggi untuk membentuk pelajar yang analitis, kritis dan kreatif dalam respons terhadap teks yang dibaca.

Menurut Mohd. Taib Osman (1977) kepentingan bahan sastera sebagai sebagai alat pendidikan dapat dilihat dari tiga sudut :
1. Aspek pemakaian bahasa sebagai medium kesusasreraan. Hasil-hasil karya sastera kreatif seperti cerpen, novel, drama, dan puisi merupakan pendidikan bahasa yang lebih luas daripada pelajaran ‘penggunaan’, ‘pamakaian’ atau kemahiran bahasa kerana bahan-bahan itu mencakup bidang-bidang bahasa yang kreatif, imaginatif dan statis.
2. Sifar kejadian hasil sastera sebagai pernyataan seni. Aspek estetika dan keindahan di dalam jasmani dan alam rohani manusia.
3. Kesusasreraan itu tidak lahir dalam ‘’vakum’ tetapi sastera adalah hasil sesuatu kebudayaan dan masyarakat. Satu khazanah ciri-ciri pilihan daripada pemikiran intelektual, pengolahan seni serta pengalaman hidup sesuatu masyarakat.


6.1. Membina dan memperkasa bahasa

Awang Sariyan (1993) menjelaskan bahawa penggunaan bahan sastera membolehkan pelajar menghayati keunikan gaya bahasa individu seseorang pengarang. Karya sastera memiliki kelainan gaya bahasa antara seorang pengarang dengan pengarang yang lain. Variasi gaya kepengarangan menjadi bahan bahasa yang penting dihayati pelajar dalam usaha memahami kekayaan bahasa masyarakatnya.

Nafii Mat (2006) menjelaskan bahawa penggunan bahan sastera dalam pengajaran bahasa Melayu berupaya menjadikan pengajaran bahasa Melayu menghiburkan, menyeronokkan, dan pelajar dapat menguasai bahasa secara maksimum. Penggunaan bahan sastera dapat mendedahkan kepada pelajar berkaitan dengan sifat-sifat bahasa yang berkesan di samping pelajar dapat menikmati keindahan karya sastera.

Matlamat akhir pengajaran bahasa Melayu adalah untuk membina kebolehan pelajar untuk menggunakan laras bahasa yang sesuai dengan keadaan. Pelajar berupaya untuk berinteraksi, berunding, memberi pendapat, membuat pertimbangan, memujuk, mempengaruhi orang lain melakukan sesuatu, atau berurusan untuk mendapatkan barangan dan perkhidmatan. Pemenuhan terhadap matlamat ini sewajarnya dapat disempurnakan melalui pengguna bahan sastera. Pelbagai kemahiran berbahasa dapat dikuasai oleh pelajar melalui penggunaan bahan sastera sama ada secara lisan atau bertulis. Malah bahan sastera itu sendiri lebih merujuk kepada apa yang sebenarnya berlaku dalam masyarakat ditambah dengan unsur hiburan dan pengajaran yang sedia sebati dalam bahan berkenaan.

6.2. Membentuk dan membina tanggapan dan pemikiran tentang cerita

Kemampuan bahan sastera adalah untuk berkomunikasi dalam ruang pengalaman yang lebih jauh dari apa yang dialami pelajar. Karya sastera itu sendiri lahir dari proses yang cukup menarik. Di dalam sesebuah karya sastera tersimpan di dalamnya imaginasi pengarang, emosi, pemikiran, realiti, bahasa, dan nilai. Sifat estetika karya sastera sama ada dari aspek bahasa, struktur karya, nada, emosi, dan isi karya mempunyai pelbagai dimensi yang dapat diteroka oleh pelajar. Jika mereka berhadapan dengan sebuah teks drama, bermakna pelajar bukan sekadar membaca untuk memahami ceritanya, sebaliknya pembacaan ini membawa pelajar ke dalam dunia karya itu sendiri.

6.3. Mencipta dan membina kebolehan bercerita

Kepentingan bahan sastera dalam pengajaran bahasa adalah untuk membolehkan pelajar berkomunikasi dalam pelbagai situasi. Keupayaan ini dapat dilakukan melalui proses bercerita, deklamasi, lakon, forum, bahas, syarahan, dan sebagainya. Kebolehan berkomunikasi dalam pelbagai variasi ini memberi peluang kepada pelajar menguji kemahiran berbahasa mereka sama ada dari aspek mendengar, membaca, dan menulis. Bahan sastera dapat dijadikan landasan untuk membina peningkatan kemahiran berkenaan. Sekiranya bahan sastera itu disusuri dengan penuh bijaksana sudah tentunya kekayaan bahan sastera itu akan dapat dialami dan dihayati oleh pelajar. Aspek-aspek emosi, nilai dan budaya yang sebati di dalamnya berupaya memaparkan pengalaman baru kepada pelajar.

Penerokaan bahan sastera melibatkan proses penikmatan dan penghayatan. Karya-karya sastera dinikmati oleh pelajar melalui proses pembacaan, deklamasi, dan sebagainya. Melalui penikmatan ini pelajar akan dapat menghayati karya sastera dengan lebih mendalam. Sebuah sajak perlu dideklamasikan dengan penuh penghayatan, intonasi yang sesuai dan nada yang bertepatan. Pelajar dapat membina pengalaman baru berhadapan dengan sajak dan dinikmati pula dalam bentuk yang lebih kreatif. Sajak berkenaan bukan sekadar dideklamasikan malah boleh dinyanyikan, mestamu, puisidra, dan sebagainya. Di samping dapat menikmati keindahan karya sastera sudah tentu aktiviti yang dilakukan melahirkan keseronokan. Keseronokan akan membuka ruang kepada minda pelajar untuk meneroka perkara yang lebih mencabar dalam karya sastera seperti memahami dan menilai karya tersebut.

Aspek penikmatan yang bersesuaian membawa kepada proses penghayatan karya sastera. Pelajar dapat menggali makna karya berkenaan apabila mereka sudah sebati dengan karya. Proses penikmatan telah menyediakan ruang pengalaman yang lebih bermakna untuk pelajar meneroka makna yang terkandung dalam karya sastera. Proses penghayatan akan membawa kepada pemahaman pelajar terhadap isi karya, watak, latar dan sebagainya. Karya sastera yang digauli akan mudah difahami. Penerokaan dalam aspek penghayatan akan membuka penemuan ke arah kemampuan pelajar membuat penilaian terhadap karya sastera. Mereka boleh mengemukakan pandangan tentang kesan karya yang dibaca, pengalaman yang diterima, serta menjelaskan di manakah tarikan yang terkandung dalam karya berkenaan.

6.4. Mencabar dan membina kreativiti

Noriah Taslim (1996) menjelaskan bahawa penghayatan karya sastera boleh mendidik pelajar berfikiran kritis dan kreatif. Penghayatan memerlukan penaakulan dan penilaian. Pelajar perlu membina semula dunia makna, dunia ilmu, dan dunia nilai yang disuratkan dan disiratkan dalam sesebuah karya sastera. Ia melatih pelajar untuk berhujah, mentafsir apa yang tersurat dan tersirat, membuat pertimbangan dan membuat keputusan. Sumbangan bahan sastera adalah untuk melahirkan manusia yang kritis dan kreatif.

Di samping itu pelajar pula berhadapan dengan karya sastera yang sememangnya mempunyai struktur dan corak tertentu. Aspek penikmatan genre sastera seperti sajak, cerpen, drama atau novel mempunyai perbezaannya. Drama misalnya memerlukan pelajar untuk melafaz dialog sesuai dengan intonasi dan keperluan makna teks. Pantun dibacakan dalam struktur bacaan yang berja dan bersukat. Tuntutan sedemikian sudah pastinya memerlukan kreativiti yang tinggi. Berhadapan dengan teks sastera bermakna pelajar akan memasuki dunia kreativiti yang mencabar emosi, jasmani, intelek dan rohani pelajar. Bahan sastera memberi peluang kepada pelajar menjana emosi, melahirkan respons terhadap bahan sastera serta meningkatkan kreativiti dalam melakukan apresiasi terhadap karya sastera. Ini bermakna karya sastera bukan sekadar untuk dibaca dan menghafal cerita tetapi dinikmati dan dihayati dengan lebih kreatif.

6.5. Berkongsi pengalaman kehidupan

Bahan sastera berupaya menyediakan dunia pengalaman yang luas kepada pelajar. Manusia yang dipaparkan dalam karya sastera adalah manusia yang berada dalam lingkungan kehidupan pelajar dan di luar lingkungan hidup mereka. Watak-watak yang temui dalam karya akan membuka pengalaman baru terhadap pelajar. Latar yang ditemui juga berbeza-beza. Zaman yang diungkapkan juga berlainan. Bahasa yang digunakan mempunyai variasi yang pelbagai. Segalanya berupaya membentuk kepekaan pelajar tentang pelbagai aspek budaya dan kehidupan masyarakat. Pelajar melihat diri orang lain dan berupaya untuk membandingkan dengan kehidupan dirinya. Pelajar merasai denyut emosi orang lain dan disatukan dengan emosi dirinya. Pengalaman ini akan dapat membantu ke arah pembentukan rasa persefahaman, tolak ansur, dan kesediaan untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran. Pelajar dapat mengenal budaya dan pola kehidupan bermasyarakat. Melahirkan anggota masyarakat yang menghormati tatacara hidup masyarakatnya, mengurangkan potensi meluasnya kadar jenayah dan pelanggaran hak orang lain.

6.6. Meneroka masa dan ruang pengalaman dalam kehidupan

Bahan sastera memberi peluang kepada pelajar meneroka apa yang jauh dari ruang pengalaman sebenar mereka. Pelajar dapat menemui pengalaman baru berdampingan dengan teks yang mereka nikmati dan pengalaman ini membuka ruang kehidupan yang melampaui batas pengalaman sedia ada mereka. Penerokaan ke alam sastera adalah penerokaan yang indah dan mengkagumkan. Pelajar akan dapat memahami dan menyedari kehidupan yang bergerak di luar lingkaran mereka sekaligus memahami bahasa dan budaya masyarakatnya.

Menurut Spencer (2001) sastera memberi ruang kepada pelajar melakukan kontemplasi terhadap diri mereka sendiri. Melalui sastera pelajar akan lebih memahami kehidupan dan apa yang berlaku di sekeliling mereka. Kepentingan sastera adalah untuk membawa pelajar berhadapan dengan realiti diri, di mana mereka berada dan bagaimana mereka memahami diri orang lain. Sastera memungkinkan pelajar menemui manusia-manusia yang berbeza sama ada dari segi pengalaman, latar kehidupan, dan sikap. Manusia-manusia berkenaan mungkin mereka gemari atau benci. Geertz (1973) menambah bahawa apabila kita berhadapan dengan karya sastera yang berbeza dengan budaya kita, kita bukan sekadar membaca teks tetapi mengkaji budaya di mana karya itu dilahirkan. Karya sastera perlu diberi interpretasi dengan penuh sensitiviti untuk mencari maknanya dan mengenali budaya yang dipaparkan. Sesuatu yang kelihatan asing pada awalnya barangkali dapat dimengertikan dan mempunyai perkaitan dengan pengalaman kita sendiri.

6.7. Mencermin kejayaan individu dan masyarakat

Sastera dianggap sebagai dokumen sosial yang memaparkan rupa dan wajah masyarakatnya. Apabila pelajar berhadapan dengan karya sastera mereka sebenarnya melihat ke dalam masyarakatnya. Kepentingan sastera adalah untuk mengajak manusia mengenal budayanya dan mengamalkan nilai-nilai yang dikongsi bersama. Di dalam karya sastera ada kisah-kisah tentang kejayaan dan kegagalan, kemurungan dan kegembiraan, dan sebagainya. Kisah-kisah sedemikian dapat diambil sebagai teladan dan pengajaran bagi pelajar. Nilai-nilai yang tersebar dalam karya sastera dapat diterapkan untuk membina kekuatan diri dan keperibadian pelajar. Oleh itu karya-karya yang dihidangkan kepada pelajar adalah karya-karya sastera yang dapat mencerminkan nilai, budaya, pemikiran, dan sikap masyarakat. Sejarah Melayu misalnya adalah cermin kecemerlangan masyarakat pada zaman tradisinya.

6.8. Membina jati diri

Keupayaan bahan sastera adalah untuk memberi peluang kepada pelajar menikmati suatu hasil yang lahir dari cetusan pemikiran, sikap dan nilai sesuatu bangsa. Karya-karya sastera bukan sahaja menjadi dokumen budaya tetapi menjadi sumber khazanah ilmu yang berguna untuk pembinaan jati diri bangsa. Aspek budaya, masyarakat, dan manusia yang ditatap menerusi karya sastera akan menggerakkan pelajar untuk mengenal jati dirinya. Sama ada karya tradisional atau karya moden ia membawa pengaruh tertentu berkaitan suatu zaman. Jika karya sastera terlepas dari bacaan pelajar bermakna mereka akan ketinggalan satu khazanah penting yang merakamkan jati diri, budaya dan pemikiran bangsa.

7.0. Pendekatan menggunakan bahan sastera dalam pengajaran bahasa

Menurut Mana Sikana (2001) tidak semua pelajar mempunyai ketekunan membaca teks sastera. Jika teks sastera gagal dikuasai secara literasi maka menjadi tangunggjawab guru untuk menguasai teks secara literasi. Kegagalan pelajar membaca teks sastera membawa kepada kesukaran dalam pengajaran sastera. Jika pelajar dipaksa membaca teks sastera, ia akan menjadikan sesi pembelajaran suatu yang menderakan dan akan mengorbankan falsafah sastera itu sendiri. Teks tidak seharusnya didekati dengan bacaan sahaja. Teks sastera boleh ditransformasi kepada bentuk-bentuk lain. Puisi boleh dirakamkan dan diperdengarkan kepada pelajar. Teks drama boleh diterjemahkan kepada lakonan pentas. Malah teks sastera boleh ditransformasikan kepada bentuk multimedia yang boleh merangsang pelajar. Mana Sikana merumuskan kegagalan pengajaran sastera adalah disebabkan oleh :
1. Pengajaran sastera terlalu tertumpu di bilik sekolah, membaca dan menganalisisnya; alangkah baiknya dibina makmal sastera.
2. Sastera dianggap hanya apa yang ada di dalam teks, tingkat ketergantungan kekepada teks terlalu tinggi; alangkah baiknya mengaitkannya dengan nilai sasterawi dengan nilai di luar teks; nilai kehidupan yang berkaitan dengan alam hidup pelajar.
3. Kurang terdapat hubungan antara teori dengan pengajaran yang boleh membangunkan rasa apresiasi; malah ada pengajaran tanpa penguasaan teori, apalagi teori yang terbaru; alangkah baiknya saling menguasai teori dan saling memperbaharui dengan teori baru supaya pengajaran sastera menjadi dinamik.
4. Sumber sastera sebagai bahan pengajaran dan pemelajaran sering dilihat hanya diakrifkan oleh guru, pelajar hanya sebagai penerima. Sepatunya guru hanya bertindak sebagai seorang pengarah drama, pelajarlah yang mempunyai kebebasan mengaksikan segala tafsiran dramatiknya.

Pusat Perkembangan Kurikulum (1994) menyarankan tiga kaedah untuk mengajar iaitu Kaedah Analisis-Struktur, Kaedah Mengalami-Menghayati, dan Kaedah Berfokus untuk digunakan dalam pengajaran bahasa Melayu.

1. Kaedah Analisis-Struktur (Struktural)

Kaedah pengajaran dan pembelajaran menganalisis karya sastera dari sudut pembinaan atau struktur karya. Aspek yang dikaji ialah tema, plot, watak dan perwatakan, gaya bahasa, latar, sudut dan teknik. Kaedah mi menekankan aspek intrinsik. Kaedah ini digunakan untuk mengkaji dan memahami aspek struktur sesebuah karya secara induktif. Kaedah ini memerlukan pembacaan rapi
Oleh guru dan pelajar. Guru perlu mengajar aspek struktur secara umum terlebih dahulu, kemudian menjelaskan setiap aspek secara terperinci. Kaedah ini menekankan pemahaman pelajar terhadap setiap aspek tentang sesebuah karya.

2. Kaedah Mengalami-Menghayati

Kaedah ini memerlukan penghayatan pelajar sendiri melalui pengalaman, penaakulan, dan penganalisisan. Melalui kaedah ini pelajar dapat menjiwai sesebuah karya sastera dan mungkin dapat mengaitkannya dengan pengalaman sendiri. Aspek yang membentuk karya sastera iaitu tema, plot, watak, bahasa, dan sudut pandangan dapat dikaji secara terperinci setelah pelajar memahami isi cerita atau maksud puisi. Kajian dijalankan oleh pelajar sendiri secara individu atau berkumpulan setelah mendapat bimbingan awal daripada guru untuk mewujudkan pengajaran dan pemelajaran yang berkesan. Guru hendaklah mempelbagaikan teknik dan aktiviti yang menarik, di samping memberi penekanan kepada penggunaan alat bantu mengajar yang sesuai untuk menimbulkan suasana yang dapat membantu pelajar menghayati sesebuah karya sastera yang dikaji. Latihan yang diberikan oleh guru harus lebih menumpukan kepada penghayatan pelajar sendiri, misanya pendapat mereka tentang sesebuah episod, watak atau peristiwa, dan penilaian terhadap plot Kaedah ini mementingkan aktiviti yang dapat melatih pelajar berfikir secara kritis dan analitis. Guru harus mempelbagaikan teknik serta alat bantu mengajar dan belajar yang sesuai dan berkesan.

3. Kaedah Berfokus

Kaedah ini menekankan sesuatu aspek dalam sesebuah karya sastera di samping aspek lain secara sampingan. Kaedah ini bertitik tolak daripada aspek yang menonjol dalam sesebuah karya. Fokus utama (FU) dalam sesebuah karya akan menjadi lebih istimewa dan bermakna jika dibantu oleh fokus sampingan (FS), kerana kedua-duanya saling berhubung kait. Untuk menimbulkan pengajaran dan pemelajaran sastera yang berkesan dan menyeronokkan, perkara yang penting dan menarik dalam karya sastera perlulah dijadikan fokus utama (FU), dan perkara lain dijadikan fokus sampingan (FS). Fokus utama (FU) dan fokus sampingan (FS) boleh bertukar ganti, bergantung pada aspek yang hendak ditekankan.


Gaya Pemelajaran Gardner : Kecerdasan Pelbagai

Dalam mengaplikasikan bahan sastera di bilik darjah guru perlu mengenal pasti tahap kebolehan serta gaya pembelajaran pelajar-pelajarnya. Gaya pembelajaran merupakan satu set ciri peribadi yang mempengaruhi seseorang dalam menerima, mengumpul, dan memproses maklumat. Gaya pembelajaran pula berkait rapat dengan tahap kecerdasan seseorang pelajar. Gardner (1993) yang mengkaji teori kognitif, telah memperkenalkan satu model kecerdasan pelbagai (multiple intelegence). Model ini menjelaskan bahawa kecerdasan dapat dipelajari, dikembang, dan ditingkatkan. Model Gardner ini berlandaskan prinsip:
• Setiap individu mempunyai kesemua sembilan kecerdasan tetapi pada tahap perkembangan yang berbeza-beza.
• Kebanyakan individu mampu mengembangkan kecerdasan yang dimiliki ke tahap yang cekap jika diberikan penggalakan, pengayaan, dan pengajaran yang sesuai.
• Kecerdasan sering bertindak serentak dalan menghasilkan sesuatu kerja, dan jarang beroperasi secara tersendiri.
• Sesuatu kecerdasan dapat dimanifestasikan dalam pelbagai bentuk dan cara.

Berdasarkan Model Kercerdasan Pelbagai Gardner, aktiviti-aktiviti yang berkaitan dengan penggunaan bahan sastera melibatkan :

1. Kecerdasan Linguistik

Kecerdasan linguistik dapat diperkayakan dengan aktiviti seperti peraduan menulis cereka/karya kreatif, pertandingan bercerita, deklamasi sajak, pendapat dan penerangan, teater pembaca, improvisasi, drama, penulisan jurnal, penerbitan buletin, akhbar kelas dan ulasan, penulisan cerita berdasarkan lukisan komik, dan projek seperti pameran.

2. Kecerdasan Visual/ spatial

Aktiviti melibatkan lakonan atau drama, diorama adegan tertentu dalam cereka, penontonan rakaman video atau sebahagian filem untuk tujuan perbincangan atau penjelasan, tetamu dalam aksi (menjemput tetamu, seperti penulis atau pelakon dalam sesuatu pementasan), permainan drama, penciptaan gerak bermakna dan gerak kreatif, bagi menjelaskan atau menghuraikan maksud sesuatu aspek dalam teks, dan pantomim.

3. Kecerdasan Muzikal

Memasang lagu latar ketika mendeklamasikan sajak atau bercerita, melafazkan puisi dengan nada, emosi dan rima yang sesuai, mestamu (memelodikan sajak tanpa alat muzik), melagukan puisi (nyanyian lagu puisi), menulis lirik berdasarkan idea dalam teks, merancang kesan bunyi berdasarkan urutan peristiwa atau bercerita berpandukan kesan bunyi dalam rakaman, dan membuat projek seperti pertandingan melagukan puisi tradisional dan puisi moden.

4. Kecerdasan Kinestetik

Main peranan, simulasi penyelesaian masalah, andaian, ramalan, improvisasi (aksi kaku) plot berdasarkan teks, teater bercerita, pantomim, permainan drama, kerusi panas (berdasarkan watak dan perwatakan dalam karya), gerak kreatif dan gerak bermakna.

5. Logik Matematik

Penyelesaian masalah seperti melakar bentuk bagi menjelaskan rumusan, melakarkan peta minda, grafik atau carta aliran, mengisi borang pengurusan grafik.

6. Kecerdasan Interpersonal

Aktiviti perbincangan rakan sebaya, aktiviti kumpulan pakar. teater pembaca, dramatisasi, simulasi dan improvisasi membina satu idea baru atau karya kreatif berdasarkan idea dalam teks, kerusi panas berdasarkan watak dalam cereka, balang emas (wawancara dan ulasan), forum (perkara pokok dalam karya), perbahasan (isu yang ditimbulkan dan teks).

7. Kecerdasan Intrapersonal

Menulis surat kiriman kepada sahabat, berkenaan salah satu aspek dalam karya, menghantar e-mel memberikan pendapat anda tentang watak dalam cerpen, menulis jurnal atau diari (refleksi tentang perasaan anda ketika membaca novel), membuat kerusi panas berdasarkan watak dalam cereka, mengadakan perbahasan (isu yang ditimbulkan dan teks), dan membuat bayangan minda seperti membuat suatu ramalan masa depan.

8. Kecerdasan Naturalistik

Menikmati karya bersama rakan di taman atau di bawah pohon sekitar sekolah, membuat improvisasi meluahkan perasaan kepada alam dan persekitaran, untuk penghasilan karya atau penikmatan karya, membuat buku skrap berdasarkan bahan alam, dan membuat analogi dengan kehidupan sendiri untuk mencari konsep serta idea penghasilan karya.

9. Kecerdasan Emosi

Perbincangan tentang nilai dan pengajaran dalam karya, perbahasan isu-isu dalam karya yang perlu diselesaikan, main peranan sepeti watak-watak yang boleh menjadi model atau menimbulkan aspek positif pelaku, improvisasi seperti mengisahkan klimaks dalam drama dan memberi penjelasan mengapakah penelesaiannya harus begitu, tetamu dalam aksi seperti menjemput pengarang untuk membicarakan moral dan pemikiran dalam karya, dan monodrama atau monolog seperti menghayati watak dalam karya serta merasai perasaan dan aspek kerohanian watak dalam karya.


Teknik Pengajaran

Bahan sastera seharusnya diajar menggunakan teknik pengajaran yang dapat mengekalkan keperluan corak dan struktur sastera. Unsur-unsur hiburan dan keseronokan harus dikekalkan di samping teknik yang digunakan tetap berperanan memperkayakan pengetahuan dan kemahiran yang perlu dikuasai oleh pelajar.

Di antara teknik pengajaran yang boleh digunakan di dalam bilik darjah ialah :

1. Respons pembaca

Respons membaca melibatkan sebarang tingkah laku yang dapat dilihat daripada aktiviti membaca. Respons pembaca terhadap bahan sastera dapat dinyatakan dalam pelbagai bentuk : penulisan jurnal, buku laporan, ulasan lisan, persembahan dramatik, lukisan, dan sebagainya. Tujuan respons pembaca ialah pelajar dapat memberi reaksi terhadap teks yang dibaca.

2. Mestamu

Mestamu bermaksud melagukan puisi tanpa muzik. Biasanya dilakukan secara berpasangan, seorang mendeklamasi puisi manakala pasangannya akan melagukan puisi. Manakala jika dilakukan secara perseorangan, orang yang sama akan mendeklamasikan sajak dan melagukan puisi.

3. Puisidra

Puisi yang didaramakan atau dilakonkan. Seorang pelajar akan mendeklamasikan puisi manakala sekumpulan pelajar akan melakonkannya. Pergerakan pelakon adalah selaras dengan ungkapan puisi berkenaan.

4. Teater Bercerita

Satu bentuk drama naratif bercorak cerita. Seorang pelajar akan membacakan cerita manakala pelajar yang lain akan melakonkannya. Ia boleh melibatkan ramai pelakon. Lakonan pula dibuat secara spontan. Pencerita akan menyampaikan cerita dan pelakon beraksi mengikut watak dalam cerita berkenaan.

5. Improvisasi

Lakonan secara spontan yang mengisahkan kejadian, peristiwa, atau situasi sebenar dalam kehidupan seharian. Aktiviti dijalankan dalam kumpulan kecil iaitu antara dua hingga lima orang.

6. Kerusi Panas

Pelajar diberi satu peranan berdasarkan skrip atau improvisasi. Pelajar akan cuba berimaginasi tentang gaya atau aksi watak tersebut dalam semua aspek seperti cara bercakap, cara berjalan, pemikiran dan seumpamanya. Pelajar hendaklah mengkaji latar belakang watak dari aspek umur, gambaran fizikal, dan bagaimana watak itu bertindak. Aspek penting yang diberi perhatian adalah aspek watak. Pelajar-pelajar lain boleh bertanya soalan berkaitan dengan teks kepada pelakon tersebut yang duduk di atas kerusi di hadapan kelas.

7. Adaptasi Genre

Pelajar memilih mana-mana teks sama ada cerpen, novel atau drama. Teks tersebut diolah semula ke dalam bentuk teks lain yang berbeza genrenya. Misalnya sebuah teks cerpen dipindahkan menjadi sebuah drama atau sebuah syair.

8. Teknik Penfasiran Grafik

Memindahkan teks sastera seperti sajak ke dalam bentuk bahan grafik sama ada lukisan, fotografi, lakaran, carta, graf, dan sebagainya.

9. Monodrama

Satu teknik lakonan yang dilakonkan oleh seorang pelakon. Pelakon perlu menghayati satu watak yang dipilih dari teks yang dibaca. Pelakon akan berlakon secara perseorangan meluahkan rasa hati, dan emosi watak agar ia dapat menjelaskan peranan dan tindakan watak. Pelajar akan menilai perwatakan pelakon dan perwatakan watak lain berdasarkan lakonan tersebut.

Berdasarkan perbincangan di atas dapatlah dirumuskan pengajaran dan pembelajaran bahan sastera sebagai berikut :

1. Penggunaan teknik pengajaran yang sesuai dengan bahan sastera. Kepelbagaian teknik pengajaran akan memberi peluang kepada pelajar meneroka bahan sastera melalui pengalaman yang berbeza-beza. Pelajar lebih gemar kepada proses pengajaran dan pembelajaran berlaku secara tidak formal dan banyak melibatkan pelajar secara aktif.

2. Guru perlu menguasai kemahiran sastera. Guru perlu menjadi model kepada pelajar. Guru dapat menguasai pelbagai aspek sastera seperti mendeklamasi, berlakon, bersyair, berseloka, berpantun, beraksi dan sebagainya. Guru menjadi penyubur kepada bahan sastera dalam bilik darjah. Sentuhan emas guru menjadikan bahan sastera berkembang dan semerbak dalam bilik darjah

3. Sesuatu pengajaran perlu perancangan yang teliti. Perancangan ini melibatkan masa, penggunaan bahan, fokus pembelajaran, dan sebagainya. Perancangan yang dilakukan membolehkan guru merangka aktiviti yang bersesuaian dengan keperluan pembelajaran pelajar. Keutamaan perancangan guru adalah bagaimana untuk melibatkan pelajar secara berkumpulan atau individu dalam proses pengajaran dan pembelajaran.

4. Penggunaan bahan bantu belajar yang menarik. Bahan bantu mengajar terdiri daripada peta minda, lakaran grafik, video, fotografi, keratan akhbar, majalah, cd, vcd, dvd dan sebagainya. Bahan-bahan ini hendaklah dirancang dengan teliti pengunaannya agar ia dapat memanfaatkan pengajaran guru. Bahan-bahan yang dicipta secara kreatif oleh pelajar sesuai digunakan dan akan menyeronokkan mereka.

5. Aktiviti dalam bilik darjah berfokuskan pelajar. Guru memberi peluang kepada pelajar untuk terlibat aktif dalam aktiviti yang dirancang. Guru bertindak sebagai fasilitator manakala pelajar akan menggunakan segala kemahiran berbahasa dalam aktiviti yang dilakukan.


8.0. Faktor penentu kejayaan nasional

Keperluan akhir dalam mencorakkan kejayaan adalah keupayaan guru untuk menguasai pendekatan dan teknik pengajaran yang bersesuaian dengan keperluan pelajar. Pelajar hari ini tidak menerima apa sahaja yang guru berikan malah mereka lebih berminat untuk mempelajari sesuatu yang menarik, menyeronokkan, dan melibatkan mereka secara aktif. Guru perlu bersedia untuk menajamkan kemahiran dan pengetahuan yang seiringan dengan keperluan dan tuntutan pendidikan masa kini. Guru-guru perlu menyertai seminar, bengkel, kolokium, dan sebagainya yang boleh mempertajamkan ilmu mereka tentang bahasa dan sastera. Guru perlu bersikap positif terhadap kemunculan bahan sastera dalam pengajaran serta menerimanya dengan cukup profesional tentang pembaharuan dan inovasi yang perkenalkan.

Alaf baru memerlukan pemikiran, sikap, dan pandangan baru seorang guru. Bergeraklah ke dalam dunia sastera dengan penuh minat, kesedaran, dan rasa tanggungjawab. Tajamkanlah kefahaman dan kebolehan guru terhadap sastera. Jika guru berbakat menulis dan berkaryalah kerana ia memberi kematangan ilmu terhadap guru-guru. Kajian dan penyelidikan sesama rakan seperjuangan boleh memanfaatkan banyak pihak sama ada guru, pelajar dan sekolah. Amalan pengajaran kolaboratif, kerja berpasukan, kajian tindakan, dan sebagainya boleh membina pengukuhan ilmu dan penemuan terhadap idea baru yang membantu guru-guru.

Sudah sampai masanya guru mendeklamasi sajak di khalayak, mementaskan teater, dan menyanyikan lagu puisi. Hadirlah ke majlis-majlis sastera seperti seminar, baca puisi dan sebagainya kerana ia membawa manfaat besar terhadap guru. Guru perlu menonton teater, bersemuka dengan pelakonnya atau membawa bersama-sama pelajar menonton, kerana ia memberi dimensi baru guru dan pelajar terhadap dunia sastera. Undanglah sasterawan dan penulis ke sekolah atau bilik darjah kerana kehadiran mereka membina ufuk baru terhadap pelajar.

Kehadiran bahan sastera dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu akan membuka lembaran baru kepada guru dan pelajar. Iklim pengajaran dan pembelajaran akan menjadi lebih bermakna, menyeronokkan, dan menggembirakan. Ada hilai tawa dan kecindan. Ada muzik dan suara bergandingan.

Bahasa dan sastera menjadi irama dan lagu yang semakin indah dan sukar dipisahkan lagi.

Penutup

Sulamlah kain sastera berbenang bahasa
pakailah ke taman ilmu ke kolam pujangga
serikanlah taman dengan muzik sastera dan suara bahasa
dendangkanlah puisi sabda bahasa lidah sastera
di kolam sastera ada cermin budaya ada citra bahasa
sulamlah kain sastera berbenang bahasa
hiasan anak muda di bangku ilmu
gemerlap sutera bahasa serinya cahaya sastera
membiak nusa membina negara


BIBLIOGRAFI

Ali Ahmad (1994). Pengantar Pengajian Kesusasteraan. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.

Awang Sariyan (2003). ”Isu-Isu Asas Penggunaan Bahan Sastera Dalam Pengajaran Bahasa”. Dewan Bahasa. Jil 3 Bil 4 : 7 – 11

Abdul Hamid Mahmood dan Ab Rahman Ab Rashid (2002). Teknik Pengajaran Sastera Dalam Bahasa Melayu. Dewan Bahasa. Jilid 2 Bil 6 : 12 – 17.

Gardener, H (1993). Frames of Mind:The Theory of Multiple Intelligences. (2nd edition) London: Fontana

Gutiérrez, Kris (2000) . “Teaching and Learning in the 21st Century”. English Journal. 7 : 290 – 298

Geertz, Clifford. (1973). The interpretation of cultures, Basic Books, New York.

Hashim Awang. (1985). Teman Pelajar Kesusasteraan. Petaling Jaya : Fajar Bakti Sdn Bhd.

Mana Sikana (2001). ”Pengajaran Drama Sebagai Peneguhan Bahasa Melayu”. Dewan Bahasa. Jil 1 Bil 9 : 7 -13.

Muhammad Haji Salleh (2004). “Sastera Di Ambang Globalisasi” Dlm. Ilmu Kesusasteraan Abad Ke 21. Jelani Harun (ed). Pulau Pinang : Penerbit Universiti Sains Malaysia

Mohd Taib Osman (1977). Pengajaran Bahasa dan Kesusasteraan Melayu. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.

Marohaini Yusoff. (2001). ”Landasan Pengajaran Komponen Sastera Dalam Bahasa Melayu”. Dewan Bahasa. Jil 1 Bil 6 : 20 – 26.

Modul Pengajaran dan Pembelajaran KOMSAS Tingkatan 4 dan 5. (2004). Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.

Meek Spencer, Margaret. (2001). Children’s literature and national identity, Trentham Books, Stoke on Trent.

Nafii Mat (2006). “Keperluan Teks Sastera Dalam Pengajaran Bahasa Melayu”. Dewan Bahasa. Jilid 6 Bil 9. : 44 – 47.

Nik Safiah Karim. (2004). ”Bahasa Melayu Bahasa Tamadun Moden”. Dewan Bahasa. Jil 4 Bil 1. : 10 – 15.

Noriah Taslim. (1996). ”Menggarapi Dunia Faedah dan Keilmuan Sastera Melalui Penstrukturan Kurikulum dan Pemantapan Kaedah Pengajaran”. Dlm. Pengajaran Sastera. Othman Puteh (Peny.). Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.

Pusat Perkembangan Kurikulum. (1994). Buku Panduan Guru Kesusasteraan Melayu Tingkatan IV dan V . Kuala Lumpur : Pusat Perkembangan Kurikulum.

Sandra Burchsted. Prospectiva. http://www.prospectiva.net


LAMPIRAN 1

Keindahan Yang Hilang
(Shamsuddin Jaafar)

I
Sayup-sayup undan tua berlagu hiba
terbang beriring di rembang petang
renik-renik mengirai bulu carik
melayang satu-satu berbaur debu
lesu berapungan di air lalu.

Daun-daun menghijau alangkah segar
kemilau danau di sinar mentari
kali tenang betapa lembut mengalir ke muara
kedamaian melingkar rimba
lalu tumpah kasih nan jernih
erat bertaut cinta kasih.

Malam hiba dadanya ungu luka
pungguk tersedu pilu di atas batu
bulan tiada lagi mendandan wajah
bintang malam pudar sinarnya.

II
Orang bicara bulan bintang di makmal
pada buku, data dan komputer
lalu bulan dan cakerawala bisa diteroka
bisa kembara di planet dan angkasa.

Undan patah sayap gugur bulunya bertaburan
suara siapa parau mendera di malam lara
kali tenang tiba-tiba airnya bengis melanda
kepada siapa anak-anak kota desa berhutang nyawa?

III
Bulan kini bukan lagi menara kasih jernih
Bintang-bintang bukan lagi saksi sumpah kekasih.

(Kerusi: 15)


LAMPIRAN 2

Seloka Pak Kaduk

Aduhai malang Pak Kaduk
Ayamnya menang kampung tergadai
Ada nasi dicurahkan
Awak pulang kebuluran
Mudik menongkah surut
Hilir menongkah pasang;
Ada isteri dibunuh
Nyaris mati oleh tak makan
Masa belayar kematian angin
Sauh dilabuh bayu berpuput
Ada rumah bertandang duduk.

(Anak Laut : 9)


LAMPIRAN 3

GURINDAM MEMELIHARA ANGOTA DAN HATI
DARIPADA KEJAHATAN

Apabila terpelihara mata,
Sedikit cita-cita.

Apabila terpelihara kuping,
Khabar yang jahat tidaklah damping.

Apabila terpelihara lidah,
Nescaya dapat daripadanya faedah.

Bersungguh-sungguh engkau memelihara tangan,
Daripada segala berat dan ringan.

Hati itu kerajaan di dalam tubuh,
Jikalau zalim segala anggota pun roboh.

Apabila dengki sudah bertanah,
Datanglah daripadanya beberapa anak panah.

Mengumpat dan mengeji hendaklah fikir,
Di situlah banyak orang yang tergelincir.

Pekerjaan marah jangan dibela,
Nanti hilang akal di kepala.

Jika sedikitpun berbuat bohong,
Boleh diumpamakan mulutnya itu pekung.

(Kerusi : 8)



LAMPIRAN 4

Pantun Empat Kerat (Budi)

Tanam lenggun tumbuh kelapa,
Terbit Bunga Pucuk Mati;
Budi tuan saya tak lupa,
Sudah terpaku di dalam hati

Jentayu burung jentayu,
Hinggap di balik pohon mayang;
Bunga kembang akan layu,
Budi baik bilakan hilang.

Tenang-tenang air di laut,
Sampan kolek mudik ke tanung;
Hati terkenang mulut menyebut,
Budi baik rasa nak junjung.

Bunga melati bunga di darat,
Bunga seroja di tepi kali;
Hina besi kerana karat,
Hina manusia tidak berbudi.

(Hati Terkenang Mulut Menyebut :9)


LAMPIRAN 5

Skrip cerita Kezaliman Membawa Padah (Prosa Tradisional)

PENCERITA : Ada sebuah cetera yang berlaku di Singapura. Seorang Pasai bernama Tun Jana Khatib turun ke Singapura . Ketika berjalan di pekanSingapura, lalu hampirlah tuan hamba ini ke istana raja. Maka berlakulah peristiwa yang membawa musibah kepadanya.

LAKONAN 1

TUN JANA KHATIB : Keluar ke ruang lakon, berjalan-jalan lalu terpandang akan raja perempuan dan menilik sebatang pinang sehingga terbelah dua pohon pinang itu ( lakonan secara improvisasi).

PADUKA SERI MAHARAJA : (Melihat kejadian dan dengan terlalu marah baginda) Lihatlah kelakuan Tun Jana Khatib, diketahuinya isteri kita menengok, maka ia menunjukkan pengetahuannya.

PENCERITA : Maka Tun Jana Khatib dibunuh orang atas perintah Paduka Seri Maharaja kerana menilik sebatang pinang hingga terbelah dua di hadapan raja perempuan yang ketika itu melihat di tingkap istana.

Ada suatu ceritera, badan Tun Jana Khatib itu terhantar di Langkawi, ditanamkan orang di sana; itulah dipantunkan orang;
Telur itik di Singgora,
Pandan terletak dilangkahi;
Darahnya titik di Singapura,
Badannya terhantar di Langkawi.

Kata sehibul hikayat, ada beberapa antaranya maka datanglah todak menyerang Singapura . Banyaklah orang mati ditikam todak dengan jungornya. Baginda Paduka Seri Maharaja menitahkan sekalian orang todak. Maka pada antara itu berkata seorang budak.

LAKONAN 2

BUDAK PINTAR : Apa kerja kita berkubukan betis ini ? Kita perdayakan diri kita demikian ini jika kita berkubukan batang pisang alangkah baiknya”.

PADUKA SERI MAHARAJA : Benarlah seperti kata kanak-kanak ini. Hai!, sekalian rakyat carikan batang pisang dan kita berkotakan rias pula.

PENCERITA : Maka todak itu dapatlah dibunuh orang. Tidak terkiralah lagi banyak matinya todak itu. Pada suatu riwayat, daripada deras lompat todak itu, datang ke atas gajah, kena baju Paduka Seri Maharaja, carik lengannya maka dibuat orang nyanyi :
Carik baju raja
Dilompati todak
Bukan disahaja
Sebab akal budak
Setelah itu, maka Paduka Seri Mahajara pun kembali.

Sebelum
(i) Guru menyediakan skrip cerita dan diberikan terlebih dahulu kepada pencerita (pelajar) untuk dibaca dan dihayati
(ii) Ruang lakon ditentukan oleh guru.
(iii) Guru juga mengatur kedudukan pelajar (pencerita, penonton dan para pelakon) sebelum aktiviti dijalankan.
(iv) Penyediaan kostum, prop mudah, alatan dan muzik boleh dilakukan oleh guru untuk menjadikan persembahan lebih menarik.

Semasa
(i) Semasa cerita disampaikan, pelajar (pelakon) akan beraksi mengikut cerita dan watak yang telah ditentukan.
(ii) Guru berperanan sebagai pembimbing.

(Modul Pengajaran dan Pembelajaran KOMSAS Tingkatan 4 dan 5)

LAMPIRAN 6

Skrip Monodrama

Orang tua macam aku ni apalah harganya sangat… dahlah tu pengotor, nyanyuk. Ke sana salah. Ke sini tak betul. Macam Bidin tu, meluat bukian main tengok aku. Aku ni macam anjing tak ada harga baginya. Habis dimaki hamun aku membuat kotor kedainya, lalat, sampah… macam-macam lagilah… Kononnya kalau aku masuk kedainya semua orang akan lari. Tapi kedainya tu bukanlah bersih sangat. Huh, dasar manusia sombong…

Mereka anggap aku sengaja pungut sampah, puntung rokok dan segala macam sampah tu. Manusia cepat berubah. Cepat menuduh dan tidak faham-faham. Kau orang semua mana tahu perjuangan. Aku dah rasa semua tu dah. Dua puluh tahun di Taiping. Masuk penjara kerana lawan orang putih. Aku peduli apa, ini tanahair aku. Mereka ingat senang nak ambil nak bolot semua yang ada…Mereka boleh bunuh aku ambil nyawaku tapi aku tak akan jual maruah aku. Aku lawan Malayan Union kerana aku tak mahu mereka rampas segala-galanya. Aku lawan Malayan Union yang jadi sampah orang Melayu.

Nasib baiklah ada orang macam Karim tu. Baik orangnya. Bininya Si Yati pun sama. Bagi aku makan. Orang lain pandang aku macam sampah… Kadang-kadang melihat gelagat mereka berdua tu buat aku teringat pada anak sendiri. Apa boleh buat anak sendiri jadi orang asing, orang asing jadi macam anak sendiri. Ah, tak guna menyesali semuanya. Tak guna…

Berdasarkan Drama Waktu Sesudah Itu
Karya Othman Hj Zainuddin


LAMPIRAN 7

Monodrama Li Po

Sampai hati kau menolak cinta beta. Seperti kaca, hati ini hancur dan berkecai.
Kau tidak melihatnya. Kau tak memahaminya. Kau tak pernah ingin memahami perasaan beta. Hulubalang Melayu dan tak akan derhaka akan raja? Setia dan tak sanggup menjadi durjana. Hebat sungguh kau Jebat. Memuliakan rajamu dan meludah ke muka beta. Bolehkah aku percaya lidah hulubalang ini? Atau ada udang di sebalik batu?. Atau hatinya tersangkut pada dayang di sini. Ah, tak mungkin. Atau kedatangannya ke mari kerana mengambil peluang berjumpa dayang beta? Ah, aku sudah benar-benar hilang pertimbangan.

Jebat, besarkah pengorbananmu berbanding aku?. Bertahun kutinggalkan keluarga dan saudara. Demi kemakmuran demi kesejahteraan negeri dan rakyatku. Demi ayahandaku dan budi sultanmu. Atas persaudaraan dua kerajaan aku sanggup melunturkan maruah.Kusimpan jauh-jauh suara hatiku dalam peti nasibku. Kau tak menyedarinya Jebat, terlantar di sini aku meramas pecahan kaca. Siang persis dihimpit onak malam persis ditusuk belati. Tapi, bila kau berada di istana ini terasa diriku seperti menatap cahaya di pekat malam. Kegusaran hilang melayang. Kehadiranmu begitu kumuliakan. Setiap kali kau berdiri di pintu itu terasa segala yang kusut terurai perlahan. Salahkah aku menyayangimu Jebat? Benci benarkah kau melihat anak dagang seperti aku? Hina benar aku dimatamu hingga tak sanggup menatap wajahku? Berpaling dan berlalu meninggalkan istana. Sedikit pun tak menoleh membiarkan aku terbakar sendiri.

Berdasarkan drama Puteri Li Po
Karya Rahmah Bujang

mimbar kata

3 comments: