Kemahiran berfikir tingkat pencapaian pelajar
KUALA LUMPUR8 Ogos - Guru memainkan peranan utama dalam melaksanakan dasar pendidikan yang digariskan oleh kerajaan selaras dengan usaha menaik taraf sistem sedia ada, khususnya bermula dari peringkat rendah.
Pengetua Sekolah Menengah Sri KDU, Datin Ong Guan Siew (gambar) berkata, guru perlu bergerak bersama murid-murid dalam sesi pembelajaran dengan menumpukan kepada kemahiran berfikir ke arah meningkatkan daya kefahaman dan kebolehan berinteraksi di dalam kelas secara berkumpulan ataupun individu, sejajar dengan 6 Aspirasi murid dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 .
"Setakat ini, fokus pembelajaran lebih kepada bagaimana para pelajar boleh lulus cemerlang dalam peperiksaan, tetapi anjakan perlu dibuat yang mana guru harus melakukan lebih daripada sekadar mengajar dengan meningkatkan kemahiran berfikir termasuk aspek pembangunan kendiri murid-murid.
"Ini bermakna, guru akan menggalakkan pelajar melibatkan diri dalam aktiviti pembelajaran tetapi sekiranya mereka ketinggalan atau sukar memahami sesuatu topik, guru akan membimbing mereka untuk melalui proses pemikiran bagi mencari jawapan yang betul," katanya di sini baru-baru ini.
Beliau yang juga ahli Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan (MPPK) berkata, penglibatan guru-guru bersama murid-murid untuk memberi bimbingan di dalam kelas mampu meningkatkan keberhasilan proses pembelajaran.
"Apabila mereka dapat berfikir dan berinteraksi bersama guru semasa belajar, hasil pembelajaran akan bertambah," jelasnya.
Tambahnya, apabila murid berjaya mendapatkan jawapan sendiri berdasarkan kefahamannya, mereka akan dapat memahami sesuatu perkara dengan lebih baik serta berkebolehan mengingat dengan lebih lama.
"Saya percaya ini merupakan kaedah yang lebih efektif berbanding mereka diajar di dalam kelas secara menyalin nota, menghafal dan seterusnya menduduki peperiksaan.
"Tentunya mereka boleh mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan tersebut tetapi akan mudah lupa apa yang mereka pernah belajar selepas itu," jelasnya.
Sementara itu beliau berkata, daripada segi konteks sukatan pembelajaran, perubahan besar tidak semestinya perlu dilakukan tetapi lebih memfokuskan kaedah pengajaran dan pendekatan antara guru dan murid-murid di dalam kelas.
"Apa yang diajar di seluruh dunia sedikit sahaja perbezaannya. Kita belajar topik yang sama di negara-negara lain misalnya Amerika Syarikat, Australia dan United Kingdom, tetapi yang membezakannya adalah cara pelajar belajar topik tersebut dan ini yang perlu kita tekankan.
"Oleh itu, perubahan dalam kurikulum pembelajaran mungkin tidak diperlukan namun sekiranya perlu, perkara itu tidak melibatkan perubahan yang besar," katanya.
Tambahnya, kemampuan berfikir yang tinggi secara tidak langsung membolehkan pelajar mendapat pencapaian akademik cemerlang sekali gus mempertingkatkan tahap sistem pendidikan negara walaupun perubahan tidak semestinya dapat dilihat dalam tempoh sekejap selain memakan masa yang lama.
"Sebenarnya, jika kita sudah menetapkan standard sendiri di peringkat nasional, kita tidak perlu bimbang tentang piawaian antarabangsa kerana sekiranya kita mampu mencapai standard tersebut, taraf pendidikan dalam negara juga ditingkatkan.
"Jadi tahap prestasi murid perlu ditetapkan dan ditingkatkan dari semasa ke semasa supaya kita bersedia untuk bersaing ke peringkat seterusnya," katanya.
utusan online
Kemahiran Berfikir
Related Posts:
tenaga kerja abad ke- 21Memenuhi tenaga kerja abad ke-21 Oleh Mahaizura Abd Malik Kuala Lumpur: Kebolehpasaran graduan pada masa kini tidak lagi diukur dengan pencapaian akademik semata-mata, sebaliknya perlu diseimbangi dengan kemahiran terma… Read More
LojingTanah Tinggi Lojing kini panas ALAUDIN MA 5 Disember 2014 Tanah Tinggi Lojing diterokai untuk tanaman sayur-sayuran. Tanah Tinggi Lojing diterokai untuk tanaman sayur-sayuran. GUA MUSANG - Kedinginan di kawasan Tanah T… Read More
Bagaimana Untuk Melupakan ANAK lelaki kepada Allahyarham Ahmad Hakimi Hanapi, pembantu juruterbang MH17 yang berusia 8 bulan didukung oleh rakan sekerja dari MAS ketika solat jenazahnya di Masjid Putra, Putrajaya, sebentar tadi. - Foto NSTP… Read More
dari organik Racun serangga organik Muhammad Apendy Issahak apendy@hmetro.com.my Konsep pertanian lestari yang mementingkan penjagaan alam sekitar kian mendapat perhatian masyarakat termasuk membabitkan tanaman organik menggunakan ba… Read More
kerana ayahKetegasan ayah bantu capai kejayaan 17 Ogos 2015 MUHAMMAD ARIF AIMAN Mohammad Ridzuan berkongsi kegembiraan dengan ibunya, Norafizah Hashim selepas Majlis Konvokesyen Ke-18 di Bangi, semalam. Utusan/Mohd. Najib Mohd. Nor… Read More
0 comments:
Post a Comment