13 Dec 2013

Transformasi Pendidikan Negara




Intipati Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025

KUALA LUMPUR: Berikut ialah intipati Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025:

* Kementerian Pendidikan berhasrat memastikan kadar akses sejagat dalam kalangan kanak-kanak dari peringkat prasekolah hingga ke peringat menengah atas (Tingkatan 5) menjelang 2020.
* Meletakkan Malaysia dalam kelompok sepertiga teratas dalam pentaksiran antarabangsa mengikut pengukuran Kajian Trend Pendidikan Matematik dan Sains Antarabangsa (TIMSS) dan Program Penilaian Pelajar Antarabangsa (PISA) dalam tempoh 15 tahun akan datang.


* Merapatkan jurang pencapaian antara murid bandar dengan luar bandar, tahap sosioekonomi dan pencapaian antara gender sehingga 50 peratus menjelang 2020.

* Menjana suatu sistem pendidikan yang memberi peluang kepada murid berkongsi pengalaman dan aspirasi demi membentuk dan memperkukuh lagi asas perpaduan rakyat Malaysia.

* Memaksimumkan keberhasilan murid mengikut tahap peruntukan semasa.

* Mengenal pasti 11 anjakan yang perlu dilakukan bagi menghasilkan perubahan yang dihasratkan oleh semua rakyat Malaysia dan setiap anjakan perlu memberi impak kepada sekurang-kurangnya satu daripada lima keberhasilan sistem iaitu akses, kualiti, ekuiti, perpaduan dan kcekapan.
* Melanjutkan pendidikan wajib daripada enam tahun kepada 11 tahun bermula pada umur enam tahun dengan disokong program pengekalan yang disasarkan.

* Melancar Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) dan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) yang disemak semula pada 2017 bagi mengimbangi set ilmu pengetahuan dan kemahiran seperti pemikiran kreatif, inovasi, penyelesaian masalah dan kepimpinan.

* Standard pembelajaran yang jelas akan dirangka agar murid dan ibu bapa memahami kemajuan yang dijangkakan bagi setiap tahun persekolahan.

* Merombak peperiksaan kebangsaan dan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) secara berperingkat dengan menjelang 2016, soalan berbentuk pemikiran aras tinggi akan merangkumi sekurang-kurangnya 40 peratus daripada soalan dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan sekurang-kurangnya 50 peratus daripada soalan dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

* Menjelang akhir 2013, kerjaya perkhidmatan kaunseling dan akademik akan dimasukkan ke dalam jadual waktu sekolah menengah untuk membantu pelajar membuat pilihan bermaklumat mengenai pelbagai laluan pendidikan yang ditawarkan.


* Menjelang 2025, pelajar Orang Asli, kumpulan minoriti lain, serta murid kurang upaya fizikal dan pembelajaran akan disediakan sekolah yang mempunyai kemudahan dan peralatan lengkap bagi mewujudkan persekitaran pembelajaran yang kondusif.

* Mulai 2016, mata pelajaran Bahasa Inggeris akan dijadikan kertas wajib lulus di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

* Menjelang 2025, setiap pelajar digalakkan mempelajari bahasa tambahan supaya dapat membantu mereka menyertai tenaga kerja global.

* Tumpuan menambah bilangan guru bahasa Cina, Tamil dan Arab bagi memastikan bilangan guru bahasa sepadan dengan keperluan pelajar, selain memperkenalkan bahasa penting lain seperti bahasa Sepanyol, Perancis dan Jepun.


* Mulai 2013, syarat kelayakan kemasukan guru ditingkatkan supaya terdiri daripada kalangan graduan 30 peratus teratas.


* Mulai 2013, guru akan menikmati pengurangan beban tugas pentadbiran supaya boleh menumpukan sebahagian besar masa mereka kepada fungsi teras pengajaran, dengan sesetengah tugas pentadbiran akan diserahkan kepada pusat perkhidmatan terpusat atau kepada guru pentadbiran yang khusus di peringkat sekolah.

* Mulai 2015, semua sekolah memenuhi keperluan infrastruktur asas bermula dengan Sabah dan Sarawak.


* Menambah bilangan model Sekolah Amanah kepada 500 menjelang 2025 dengan melibatkan kumpulan alumni dan badan bukan kerajaan (NGO) yang berpotensi sebagai penaja.


* Kementerian Pendidikan akan menerbitkan laporan tahunan tentang perkembangan setiap inisiatif yang direncanakan dalam pelan ini.

* Kementerian Pendidikan akan membuat semakan berkala tentang pencapaian utama sepanjang pelaksanaan pelan ini pada 2015, 2020 dan 2025.

- BERNAMA

Berita Harian 6 September 2013



Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia: Suatu pendekatan transformatif

DARI JENDELA TOK KI

PADA 6 September yang lalu Menteri Pendidikan yang juga Timbalan Perdana Menteri melancarkan secara rasmi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013- 2025.

Meneliti Ringkasan Eksekutif PPPM ini ternyata ia amat komprehensif, merangkumi semua aspek pendidikan arus perdana. Ia adalah pendekatan transformatif (perubahan) bagi menyediakan generasi pelajar menghadapi cabaran abad ke-21.

Pendekatannya tidak sahaja mengukuhkan asas-asas fundamental dalam pendidikan acuan Malaysia tetapi pada masa yang sama respons terhadap perubahan global terutama dalam bidang ilmu, khususnya sains dan teknologi.

Sifat ilmu dan pendidikan negara ini pada tahap global dan dinamik perlu berubah, terutama dalam bidang sains dan teknologi. Malaysia harus proaktif terhadap perubahan ini kerana tahun 2020 negara ini ingin mencapai tahap negara maju sepenuhnya.

Oleh itu dasar dan sistem pendidikan di Malaysia tidak harus statik kerana ia boleh menyebabkan kemunduran terjadi dan keterpinggiran berlaku. Menyesuaikan diri dengan pendidikan arus dunia tidak bermakna Malaysia mengorbankan asas-asas fundamental dalam membangun generasinya.

Aspek literasi bahasa masih mengutamakan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris serta membenarkan bahasa sukuan berkembang. Keperluan etika dan nilai menjadi orientasi penting dalam pendidikan untuk menghasilkan pendidikan holistik selari dengan Falsafah Pendidikan Negara.

Sistem pendidikan vernakular (Sekolah Cina dan Tamil) dibenarkan pada tahap pendidikan rendah supaya pembelajaran bahasa ibunda tidak dinafikan.

Fokus terhadap subjek Sains dan Teknologi diperkasakan adalah suatu langkah bijak. Suatu ketika Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) diperkenalkan di mana bahasa Inggeris menjadi bahasa pengantar Matematik dan Sains.

Ternyata persiapan dan perancangan yang cukup tidak dibuat dan menyebabkan berlaku masalah dalam pencapaian pelajar terutama di luar bandar, Sabah dan Sarawak.


Langkah Kementerian Pendidikan Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI) semula adalah suatu langkah bijak dan bersikap jangka panjang supaya bahasa Melayu diletakkan pada tempat yang betul tanpa menafikan kepentingan bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua dan ia selari dengan Akta Pendidikan 1996 dan semangat Perlembagaan Negara.

Pada tahun 2016 subjek Bahasa Inggeris akan menjadi subjek wajib lulus dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia. Sebelum PPPM ini dilancarkan lagi Kementerian Pendidikan telah memulakan langkah-langkah strategik bagaimana kualiti pengajaran bahasa Inggeris dapat ditingkatkan.

Perubahan ke arah MBMMBI masih tidak disetujui oleh sesetengah pihak terutama sebahagian kelompok menengah Melayu dengan andaian bahawa bahasa Inggeris adalah bahasa kemajuan. Kembali memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa utama pengajaran Matematik dan Sains adalah langkah mundur ke belakang.

UNESCO menyarankan pengajaran bahasa ibunda adalah penting untuk menguasai ilmu pengetahuan. Perancis, Jerman, Jepun, Korea dan China menggunakan bahasa ibunda untuk maju dalam ilmu dan pendidikan.

Berdekad-dekad yang lalu Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Malaya, Universiti Teknologi Malaysia dan banyak universiti lagi menghasilkan graduan dalam bahasa Melayu. Sebahagian mereka melanjutkan pelajaran lebih tinggi dan mengkhusus dalam sesuatu bidang dalam bahasa Inggeris.


Mereka tidak ada masalah besar untuk menjadi pakar dan mencapai kelulusan tinggi dalam bidang masing-masing kerana bahasa Inggeris diajar dalam sistem kita.

Hal yang sama penentangan Dong Zong dan Dong Ziau Jong terhadap PPPM ini adalah tidak berasas melainkan politik yang melatarinya adalah cauvinistik. Sekolah vernakular dikekalkan dan pengajaran bahasa Cina dan Tamil dibenarkan.

Apa yang penting dilihat ialah soal perpaduan negara menjadi sesuatu yang paling utama. Malaysia tidak mahu orientasi kurikulum Taiwan dijadikan asas untuk menghasilkan perpaduan.

PPPM memberikan landasan transformatif dalam konteks pendidikan arus perdana Malaysia. Sekiranya setiap warga Malaysia bersama-sama mendukungnya, Malaysia boleh menjadi negara maju acuan kita sendiri.

Utusan Malaysia 10 September 2013



1 comment: