12 Nov 2014

Memperkasa Bahasa Melayu


Kerajaan janji perkasa bahasa Melayu
12 November 2014


MUHYIDDIN YASSIN bertemu dengan pelajar-pelajar Malaysia di Australia dalam majlis makan malam di pejabat Suruhanjaya Tinggi Malaysia, malam tadi. Beliau tiba di Canberra untuk lawatan kerja selama tiga hari. – BERNAMA

CANBERRA 11 Nov. – Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan tidak akan mengorbankan bahasa Melayu semata-mata untuk memperkasakan bahasa Inggeris dalam sistem pendidikan negara.

Menurutnya, bahasa Melayu mampu menjadi bahasa ilmu dan tidak harus dikorbankan semata-mata untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris.

“Sebagai rakyat Malaysia, saya tidak fikir bahasa saya perlu dibunuh semata-mata untuk perkasakan bahasa Inggeris,” katanya ketika menjawab soalan seorang pelajar mengenai kewajaran kerajaan menarik balik keputusan me­laksanakan Pengajaran dan Pembela­jaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) pada 2009.

Timbalan Perdana Menteri ber­kata demikian dalam sesi dialog bersama pelajar dan diaspora Malaysia pada majlis makan malam di pejabat Suruhanjaya Tinggi Malaysia di sini malam ini.

Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan berkata, pendiriannya itu bukan kerana beliau orang Me­layu tetapi disebabkan keprihatinannya terhadap kepentingan meningkatkan pengetahuan pelajar dalam pendidikan.

“Ini bukan soal kebangsaan saya semata-mata kerana kalau Malaysia tak mulakan begitu (memperkasakan bahasa Melayu), bermakna untuk kedua-dua subjek itu bahasa Melayu akan mati langsung,’’ katanya.

Beliau berkata, rasionalnya PPSMI dimansuhkan adalah berikutan masalah kekurangan guru yang mahir dan terlatih dalam bahasa Inggeris untuk mengajar Sains dan Matematik.

Jelasnya, sekiranya PPSMI dite­ruskan juga dalam keadaan guru yang mahir dalam bahasa Inggeris tidak mencukupi, beliau tidak bersikap adil kepada 600,000 murid yang memasuki alam persekolahan setiap tahun. – utusan

Menurutnya, bagi melaksanakan PPSMI, kerajaan memerlukan lebih ramai guru berkelayakan yang me­nguasai bahasa Inggeris dan dilatih untuk mengajar Sains dan Matematik.

Beliau berkata, sebelum keputusan akhir dibuat untuk menarik balik pelaksanaan PPSMI, pihak kementerian telah membuat kajian mendalam berhubung perkara tersebut. – utusan

utusan online

0 comments:

Post a Comment