6 Jan 2013

kanang sang pahlawan


 kanang telah menghembuskan nafas terakhir meninggalkan balu, datin brawang chungggat dan enam anak. datuk temenggong kanang anak langkau pergi dalam usia 68 tahun. kematian beliau disahkan oleh hospital umum sarawak(HUS) pada pukul 1.45 pagi, 3 januari 2013, dua jam selepas beliau dilaporkan rebah di rumahnya di sungai apong, kuching, sarawak.mayat pahlawan negara, mendiang datuk temenggung kanang anak langkau selamat dikebumikan mengikut istiadat ketenteraan di perkuburan pahlawan pada kira-kira jam 3.30 petang 6 disember 2013.

yang tinggal adalah jasa, semangat, keberanian dan kepahlawanan beliau yang tiada bandingannya. ia menjadi potret sejarah yang perlu disemai ke dalam setiap jiwa dan jantung warganegara malaysia. ungkapan keramat "agi hidup agi ngelabang" (berjuang selagi masih hidup)menjadi moto rejimen renjer diraja (RRD) merupakan ungkap keramat bagi kanang sepanjang perkhidmatan beliau dalam tentera. potret kepahlawanan yang dipamerkan oleh kanang adalah berjuang demi negara dan tidak takut mati. susur perjuangan menentang ancaman komunis, selain terbabit dalam konfrontasi dan kekacauan di Brunei ketika berkhidmat dengan tentera british adalah antara laluan gempur kanang.

kanang pernah menyebut "luka terkena tembakan di tubuh saya mungkin telah sembuh, tetapi luka di hati kerana sedih mengenangkan rakan yang gugur tidak pernah reda". perjuangan beliau bersulam, darah, keringat dan airmata. ungkapan agi idup agi ngelaban sering dijeritkan untuk membangkitkan semangat dalam berjuang. kewiraannya tak tersanggah oleh angin zaman, dan perlu dikenang sepanjang ketika.

hidupnya penuh liku dan garis-garis perit. anak jati sarawak ini dilahirkan di julau pada 2 mac 1945. kanang anak kelima daripada enam orang adik-beradik. sewaktu kecil, ibu bapanya berpisah dan beliau telah dipelihara oleh datuk dan neneknya.

berasal dari komuniti dayak (iban) bersekolah hingga darjah tiga di sekolah local authority. meninggalkan persekolah beliau melakukan pelbagai kerja untuk sesuap rezeki dari menjadi tukang masak, penoreh getah hingga mengangkut penumpang dengan menggunakan perahu berenjin.

penglibatan beliau dalam tentera suatu kebetulan. beliau dipelawa seorang anggota tentera british ketika menghantar 20 orang pemuda yang hendak menghadiri temuduga bagi menyertai iban tracker di sebuah sekolah berhampiran kampungnya. Kanang diserap ke dalam renjer malaysia setahun selepas itu apabila persekutuan malaysia diisytiharkan pada 16 September 1963.pada awal 1962, beliau menyertai jungle warfare school di ulu tiram, johor selama tiga bulan sebelum berkhidmat dengan unit 42nd royal marine commandos berpangkalan di Johor.

pada 1963, apabila presiden sukarno melancarkan konfrontasi ganyang malaysia, beliau antara anggota pasukan pertama dihantar ke kota tTinggi, johor untuk menghalang kemasukan tentera indonesia. kanang pernah bertugas dengan unit 1st royal new zealand army di sSarawak ketika zaman konfrontasi, kemudian berkhidmat dengan sarawak rangers yang akhirnya menjadi kumpulan trackers profesional pertama dalam 1st ranger regiment ATM.

pada 19 februari 1980, sarjan kanang membantu platun risik gempur (UCIS) 8 renjer diketuai kapten johnson anak meling melaksanakan tugas di kawasan tanah hitam di perak. misinya adalah untuk menjejak segerombolan pengganas komunis yang menembak mati seorang anggota 25 RAMD (Rejimen Askar Melayu Diraja) beberapa hari sebelumnya.

kumpulan penjejakan ini telah berjalan selama sebelas hari sebelum pertempuran yang pertama. setelah mengeledah selama beberapa hari di tempat anggota pasukan keselamatan ditembak mati sebelumnya, akhirnya beliau dapat mengesan arah sebenar musuh melarikan diri. pada jam 3 petang setelah membuat penjejakan dengan penuh berhati-hati, platunnya telah mengesan kedudukan musuh yang berada di hadapan dan tidak jauh dari kedudukan mereka. disebabkan kedudukan di lereng bukit mereka tidak menyedari yang mereka sudahpun berada di kawasan musuh.


sarjan kanang menyedari kedudukannya setelah berjalan ke hadapan dan melintasi tali perhubungan dari tempat pengawal musuh ke kumpulan besarnya. pengawal musuh pada masa itu hanya berada kira-kira 8 meter dari kedudukan beliau. sarjan kanang dan pelatunnya terus melepaskan tembakan ke arah sebelah kanan dan melancarkan serangan. setelah serangan dilakukan baru mereka sedar bahawa lereng bukit di bahagian bawah.
sarjan Kanang menoleh dan menghalakan senjatanya ke arah kedudukan musuh. seorang anggotanya dan seorang lagi cedera parah. sarjan kanan sendiri digempur musuh sehingga cedera parah di perut dan belakang. namun dengan semangat waja demi mempertahankan negara, beliau tidak menyerah kalah, sebaliknya terus bersabung nyawa melawan musuh. akhirnya mereka berjaya mematahkan serangan musuh. serangan itu berjaya membunuh lima musuh. sarjan kanang disangka meninggal dunia apabila tidak sedarkan diri selama seminggu dan terlantar di hospital selama 14 bulan akibat terkena tembakan dalam pertempuran itu. sarjan kanang ditembak tiga kali dan hampir menemui ajal selepas peluru mengenai jantung, merosakkan satu buah pinggang, selain usus perut terburai.

keberanian sarjan kanang dihargai dengan anugerah Pingat Seri Pahlawan Gagah Perkasa (SP) pada 3 jun 1981. sarjan kanang meneruskan khidmat sebagai jurulatih di sekolah tempur pegawai muda dan pada 1 Mei 1981, beliau dinaikkan pangkat sebagai staf sarjan dan seterusnya menjadi kuatermaster sarjan. pada 1 oktober 1980, kanang dinaikkan pangkat sebagai pegawai waran II dan pegawai waran I pada 17 Ogos 1985. kanang bersara pada 30 Mei 1986 selepas berkhidmat selama 21 tahun. bagi mengisi masa terluang, beliau aktif memberikan ceramah kenegaraan di seluruh negara selain dilantik sebagai temenggong bahagian sri aman pada 2009. meskipun telah bersara kanang masih memberi sumbangan bakti antaranya menjayakan ops mai pulai(ops bawa balik).melalui operasi berkenaan, rangka 21 anggota iban trackers dan sarawak rangers yang terkorban di semenanjung dan singapura ketika menentang komunis sekitar 1948 hingga 1963 dibawa balik ke sarawak untuk dikebumikan di makam pahlawan, kuching pada 27 julai 2011.

kanang disifatkan sebagai seorang wirawan contoh yang mengukir nama dengan darah serta air mata. menurut penulis buku biografi kanang : cerita seorang pahlawan, mejar (b) dr. maznan noordin, tidak akan ada manusia seperti kanang selepas ini kecuali jika berlaku lagi peperangan di negara ini. jelas beliau, kanang adalah ikon patriotisme yang akan abadi di hati rakyat buat selamanya kerana sanggup mengorbankan nyawa demi menyelamatkan maruah dan kedaulatan negara. pada 24 september 2011, beliau menerima darjah utama yang amat mulia bintang kenyalang sarawak 'Panglima Gemilang Bintang Kenyalang'(PGBK) yang membawa gelaran datuk.

semasa hidupnya datuk kanang anak langkau pernah mengungkapkan bahawa kemajuan dan kemewahan telah menyebabkan generasi muda hari ini tidak mahu mengambil iktibar semangat patriotisme pejuang negara pada waktu dahulu. mereka sebagai generasi baru patut belajar menghargai pengorbanan perajurit negara ketika mengekalkan keamanan, terutama ketika era pemberontakan komunis di negara ini.


datuk kanang menyebut, "sesiapa saja yang menjadi rakyat Malaysia adalah bertuah kerana di negara kita semua dapat hidup dalam keadaan damai dengan tiada halangan bagi kita berpegang pada agama, adat dan budaya masing-masing."

"Dulu kerajaan terpaksa membelanjakan banyak wang bagi menangani ancaman dengan usaha membangunkan kawasan luar bandar berhadapan banyak kesukaran, tetapi hari ini kita semua sudah bebas melakukan apa saja dikehendaki asalkan ia tidak menyalahi undang-undang," katanya ketika ditemuramah oleh akhbar berita harian.

merintis sejarah perjuangan beliau sebagai tentera, datuk kanang melontarkan kata-kata ini,"saya lahir dalam keluarga susah dan dibesarkan tanpa ayah, ketika itu tiada siapa yang memberi semangat atau inspirasi untuk berjaya tetapi selepas menyertai askar, semangat mahu berjuang timbul dengan sendiri sama seperti kata keramat 'agi idup agi ngelaban'."

datuk kanang seterusnya menyeru rakyat yang cinta akan tanahair ini untuk mengekalkan kemakmuran dan kemajuan negara ini, Katanya, "Namun perjuangan itu tidak harus berakhir di sini, kerana kita perlu meneruskan usaha membangunkan negara dan menolong rakyat miskin serta memajukan lagi ekonomi negara agar suasana tenteram dapat dikekalkan," katanya. tambah kanang lagi, "Saya tidak pernah kesal berjuang mempertahankan negara, tetapi sedih dengan sikap segelintir rakyat yang tidak mahu mengambil tahu apa erti kemerdekaan,” katanya.

ada kekesalan bertunas pada garis-garis hidup kanang terutama terhadap generasi muda. baginya, generasi sekarang tidak memahami kezaliman dan kesengsaraan yang dihadapi oleh rakyat terutama ketika pemberontakan komunis di negara ini pada 1948 hingga 1960.

tambah kanang,“sepatutnya mereka bangga dengan keadaan negara masa ini berbanding kesusahan rakyat masa lalu. generasi baru dapat menggunakan pelbagai kemudahan yang disediakan oleh kerajaan berbanding zaman saya."

kata-kata hanya tinggal kata-kata. kanang telah pergi meninggalkan kita. dalam garis hidupnya darah, airmata dan keringat telah ditaburkan demi negara tercinta. kemakmuran yang ternikmat hari ini, pernah terhasil dari segala jerit perjuangan kanang sang pahlawan.


pergilah kanang, jasamu semerbak dalam kenangan.



0 comments:

Post a Comment