17 Aug 2015

koleksi barang antik

Tenang lihat koleksi barang antik
Wartawan Sinar Harian
17 Ogos 2015


KAMPUNG BUKIT TOKBAT - Lain padang lain belalang, lain orang lain ragamnya. Begitulah perumpamaan bagi menggambarkan minat seorang datuk 10 cucu, di sini, yang sanggup berkorban wang ringgit demi hobinya mengumpul barang-barang antik atau lama.

Malah, sehingga kini Zamri Abdul Razak telah membelanjakan lebih RM500,000 bagi mendapatkan pelbagai jenis barangan antik diminatinya untuk dijadikan sebagai koleksi bukan sahaja dari dalam negara tetapi juga di Thailand dan Indonesia.

Berkongsi cerita, bekas pesara kerajaan itu berkata, minatnya terhadap barang-barang lama mula bercambah sejak berusia 12 tahun setelah saban hari melihat keris dan berpeluang bermain bedik milik arwah ayahnya, Abdul Razak Omar.


Mini galeri simpan koleksi

Menurut Zamri, ibarat ‘orang mengantuk disorongkan bantal’, ayahnya menghadiahkan bedik tersebut kepadanya ketika usia menginjak remaja dan minatnya kian bertambah sehinggakan dia berazam untuk mengumpul barang-barang antik sebagai hobi.

“Sudah rezeki saya, sekitar tahun 1979 saya bertugas di daerah ini. Ketika itu, terdapat banyak barang antik atau lama yang sememangnya mempunyai nilai estetika dan sejak itulah saya mula beli daripada orang-orang kampung. Duit gaji banyak dihabiskan untuk hobi.

“Lima tahun selepas itu saya ditukarkan ke kawasan Hulu Dungun, Dungun dan tidak dapat digambarkan dengan kata-kata betapa gembiranya saya kerana kawasan tersebut juga terdapat banyak barang antik yang boleh dibeli sebagai koleksi peribadi," katanya.

Zamri berkata, sehingga kini dia sudah memiliki lebih 50 jenis barang lama seperti lembing, pisau, keris, tempayan, kitab dan al-Quran lama, pinggan mangkuk, kukur kelapa serta pakaian songket.

“Barang paling mahal dimiliki ialah mangkuk dibeli dengan harga RM10,000 dari Songkhla, Thailand.

“Kesemua koleksi barangan ini diletakkan di tempat khusus. Sekarang ini saya sediakan mini galeri di sebelah rumah dan boleh habiskan masa seharian suntuk di sini kerana melihat barang-barang yang ada ini boleh berikan saya ketenangan,” katanya.

Ahli keluarga beri sokongan

Tambah ahli Persatuan Seni Purba Terengganu ini, koleksi barangan dimilikinya ada juga telah dijual kepada penggemar yang lain selain bertukar barang dengan rakan-rakan dan kebiasaannya dia turut terlibat dalam pertandingan serta pameran berkaitan barang-barang
antik.

Katanya lagi, walaupun hobinya itu menyebabkan dia terpaksa membelanjakan wang yang banyak namun dia tidak pernah rasa menyesal sebaliknya merasakan satu kepuasan apabila sesuatu barangan diminatinya dapat dimiliki.

“Mungkin bagi sesetengah orang hobi begini dianggap satu pembaziran tetapi bagi saya tidak. Sebaliknya ia boleh dijadikan sebagai satu sumber pendapatan kerana nilai barangan ini bukan sahaja tinggi sekarang, tetapi juga punya peminat tegar tersendiri.

“Namun, tidak semua koleksi dijual sebaliknya saya akan simpan kerana ada barang-barang tertentu sukar diperoleh lagi pada masa sekarang.

Katanya, ahli keluarga termasuk isteri, Zaini Nawawi, 54, sudah faham minatnya dan mereka sentiasa beri sokongan.

“Dua anak saya iaitu Nor Shahirah dan adiknya Nor Hakimi,13, lebih cenderung menunjukkan minat mereka terhadap barang-barang antik ini.

“Merekalah yang akan membantu saya menjaga koleksi ini, jika saya ke luar negara atau tiada di rumah,” ujarnya.

Tambah bapa 10 anak ini, di sebalik keseronokan dia juga tidak terlepas daripada ujian-NYA apabila ada koleksi barangannya terutamanya diperbuat daripada tembaga dicuri namun dia menganggap semua itu bukan rezekinya.

Sementara itu, Zaini berkata, dia sentiasa menyokong Zamri biarpun ada kalanya masa seharian suaminya banyak dihabiskan dengan berada dalam mini galeri tersebut.

“Sebagai isteri, saya pun kena belajar meminati apa yang disukainya.

“Sekarang ini saya sudah biasa dan seronok kerana dengan minatnya itu menyebabkan rumah kami sering dikunjungi orang bukan sahaja penggemar barang antik tetapi juga komuniti setempat,” katanya.

sinar harian

0 comments:

Post a Comment