5 Dec 2014

Lojing

Tanah Tinggi Lojing kini panas
ALAUDIN MA
5 Disember 2014


Tanah Tinggi Lojing diterokai untuk tanaman sayur-sayuran. Tanah Tinggi Lojing diterokai untuk tanaman sayur-sayuran.


GUA MUSANG - Kedinginan di kawasan Tanah Tinggi Lojing di sini amat dirasai 20 tahun lalu tetapi kini keadaannya berbeza berikutan kerakusan pembukaan tanah untuk kebun sayur-sayuran.

Malah, penduduk Orang Asli di beberapa kampung sekitar Jajahan Kecil Lojing mendakwa, kampung mereka bagaikan berada di sebuah pulau apabila dikelilingi kebun sayur-sayuran.

Justeru, tidak hairanlah jika mereka melahirkan rasa bimbang dengan keadaan itu kerana kawasan berkenaan mudah terdedah kepada hakisan dan banjir lumpur berikutan setiap kali hujan lebat menyebabkan air Sungai Belatop hampir melimpahi tebing.

Seorang penduduk Orang Asli, Basri, 33, berkata, dahulu suhu di Tanah Tinggi Lojing sejuk tetapi menjadi panas dalam tempoh 10 tahun kebelakangan ini apabila semakin luas tanah tinggi itu diterokai untuk kebun sayur.

Basri mendakwa, kemungkinan juga tanah yang dimajukan untuk kebun sayur berkenaan diterokai secara haram dan pengusaha mengambil pekerja dalam kalangan pendatang asing tanpa izin (Pati) kerana upah yang murah.

Seorang lagi Orang Asli, Sabri Limus, 58, pula berkata, Tanah Tinggi Lojing sebelum ini sentiasa dikunjungi pelancong tempatan dan luar negara tetapi kini tiada lagi berikutan cuaca yang panas.

"Kebanyakan pelancong hanya singgah sekejap di Tanah Tinggi Lojing ketika dalam perjalanan untuk ke Cameron Highlands, yang jauhnya kira-kira 20 kilometer dari sini.

"Jika dilihat, sudah tiada tanah yang kosong, semuanya penuh dengan kebun sayur termasuk di bahu jalan dan tanah rizab sungai," katanya.

Sementara itu, Adun Galas, Ab Aziz Yusof berkata, terdapat lebih 120 pengusaha kebun sayur di Tanah Lojing dan ia memang sukar dikawal terutama bagi tujuan menjaga alam sekitar.

Malah beliau mengakui, kawasan yang diterokai untuk kebun sayur itu terdedah kepada hakisan sama ada membabitkan berhampiran penempatan Orang Asli atau pinggir sungai yang dipenuhi lumpur.

“Saya sebelum ini sudah beberapa kali mengeluarkan kenyataan meminta pihak berkenaan membuat pemantauan di semua kawasan kebun sayur terbabit supaya tidak mengundang risiko, terutama banjir lumpur," katanya.

sinar harian


Ladang Sayur Penuhi Tanah Lojing Kelantan

Sabtu, 2 Februari 2013 


Oleh: ISABELLE LAI



Hutan di tanah tinggi Lojing kini berubah wajah dengan dipenuhi kawasan ladang sayur.

GUA MUSANG: Jika sebelum ini kawasan tanah tinggi Lojing di Kelantan ditutupi dengan hutan yang menghijau, namun ia kini bertukar menjadi kawasan kebun sayar dengan keluasan beribu-ribu hektar.

Malah pembukaan tanah baru bagi tujuan berkenaan dilihat makin berterusan di kawasan tanah tinggi berkenaan yang terletak di sebelah sempadan Cameron Highlands, Pahang.

Secara semula jadi kawasan berkenaan merupakan hutan berbukit dengan ketinggian antara 1,000 dan 2.300 meter.

Berdasarkan papan tanda lokasi, beberapa ladang-ladang dan kawasan yang dibersihkan kelihatan berada dalam sempadan hutan simpan kekal, seperti Hutan Simpan Kekal (HSK) Lojing dan HSK Sg Berok.

Tinjauan The Star menunjukkan kawasan berkenaan dilitupi bumbung plastik berwarna putih sejauh pandangan mata di beberapa bahagian.

Juga terdapat kawasan kebun sayur dibuka di bahagian cerun curam dan boleh mengakibatkan tanah runtuh jika hujan lebat.

Di beberapa lokasi, pembersihan tanah menggunakan jentera berat sedang dilakukan namun tiada sebarang bukti yang menunjukkan langkah pembersihan hutan mapan dilakukan seperti pemasangan perangkap keladak.

Menurut pakar pemuliharaan, Balu Perumal, terdapat sedikit kawalan ke atas ladang sayur-sayuran itu yang ditubuhkan oleh petani dari Cameron Highlands.

Ketua Persatuan Pemuliharaan Pencinta Alam Malaysia itu berkata, Lojing adalah di bawah bidang kuasa Pejabat Tanah Gua Musang, yang terletak lebih 80 kilometer jauhnya.

Bagaimanapun faktor jarak yang jauh menyebabkan "kekurangan pemantauan" dari pihak berkuasa.

"Ini bermakna banyak aktiviti pembersihan tanah di Lojing dilakukan tanpa permit dan aplikasi yang betul.

"Kebanyakan ladang-ladang di Lojing juga dianggap menyalahi undang-undang kerana mereka tidak mempunyai permit pembangunan yang betul," katanya kepada The Star.

mstar online

Selamatkan tanah tinggi Lojing
SAPINAH AB GHANI
10 November 2014



Bukit digondol di Lojing berhampiran penempatan Orang Asli Kampung Sangwai.


KOTA BHARU - Penghuni tanah tinggi Lojing diingatkan agar turut mengambil tanggungjawab menjaga kawasan sekitar mereka bagi mengelak kejadian tidak diingini sebagaimana kejadian tanah runtuh di Cameron Highlands beberapa hari lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Bio Teknologi dan Teknologi Hijau, Datuk Che Abdullah Che Mat Nawi berkata, kerajaan negeri berharap penghuni di kawasan tanah tinggi itu tidak hanya bergantung kepada penguat kuasa kerajaan semata-mata, sebaliknya bijak memainkan peranan masing-masing.

“Kita turut berdukacita dan bersimpati dengan apa yang berlaku di Cameron Highlands, dalam masa sama mengharapkan ‘pemain’ di Lojing turut merasai keperluan menjaga alam sekitar, bukan hanya mengharapkan penguat kuasa kerajaan semata-mata,” katanya.

Che Abdullah ditemui media selepas Majlis Perasmian Penutup Kursus Keselamatan Penggunaan Jentera Pertanian dan Peralatan Industri Asas Tani, di sini, semalam.

Menurutnya, kerajaan negeri memandang serius isu melibatkan tanah tinggi dan begitu berhati-hati dalam meluluskan projek di kawasan tersebut, bukan sahaja di Lojing, malah di semua tanah tinggi di seluruh negeri.

“Walaupun pertanian dan tanah tidak dapat dipisahkan, namun kerajaan negeri tidak akan meluluskan mana-mana projek pertanian di kawasan berkenaan tanpa mendapat sokongan Jabatan Alam Sekitar dan Jabatan Mineral dan Geosains (biasanya melibatkan kawasan kecerunan yang kritikal)” katanya.

Dalam pada itu, Che Abdullah berkata, kerajaan negeri akan menganjurkan Pameran Bunga dan Tanaman Organik Lojing dalam rangka ‘menjenamakan’ tanah tinggi Lojing sebagai pusat pengeluaran makanan dan pertanian tanah tinggi di negeri ini.

Menurutnya, penjenamaan hasil yang dikeluarkan dari kawasan pertanian di tanah tinggi itu dapat ‘diiktiraf’ berbanding sebelum ini ia dikaitkan dengan Cameron Highlands.

“Ini satu usaha untuk kita menyemarakkan Lojing sebagai satu daerah atau kawasan pertanian, situasi yang berlaku hari ini, boleh jadi tomato dikeluarkan dari Lojing mendapat pensijilan lain, kebanyakan tomato yang dihasilkan di Lojing dianggap hasil dari Cameron Highlands apabila memasuki pasaran luar," katanya.

Che Abdullah berkata, pihaknya berhasrat memperkenalkan Lojing dan mengambil kekuatan kawasan tanah tinggi itu sebagai tempat pengeluaran bunga-bungaan serta pertanian organik di negeri ini selari dengan statusnya sebagai Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) paling berjaya di bawah Jabatan Pertanian.

“Tanaman tomato dan anggur yang diusahakan di tanah tinggi Lojing menjadi projek contoh Jabatan Alam Sekitar sebagai projek tanaman tanah tinggi yang mesra alam dan bakal menjadi penanda aras untuk industri pertanian tanah tinggi di Lojing, dan dalam masa sama akan terus menggalakkan pertanian organik,” katanya.

sinar harian




0 comments:

Post a Comment