18 Jan 2013

bermain kata

bermain  kata



hanyalah hayat hayutan hidupan. jalan jujur jadikan janji. bukan buas buangkan batas
rintih nangis rangkul mangsa. hidup hanya hasta hamparan. tiba tika tinggal tikungan

apa yang terhidang dalam ungkap di atas? hanya kata-kata biasa dan tidak memberi kesan apa-apa?
atau tidak ada apa yang istimewa hanya kata.

saya mencuba sebagaimana pernah diperlakukan oleh seorang penulis dari perancis, georges perec yang menghasilkan novel  la disparition (1969; a void). keseluruhan novel ini ditulis tanpa menggunakan kesemua aksara yang ada. perec  tidak langsung menggunakan aksara e dalam novelnya. dan apabiila   gilbert adair menterjemahkan novel ini ke dalam bahasa inggeris, beliau berupaya mengekalkan ciri asal novel itu tanpa penggunaan sebarang aksara e.

apa yang dikemukakan oleh perec merupakan satu kaedah penulisan yang dikenali sebagai lipogram. lipogram berasal dari kata greek lipagrammatos yang bermaksud hilang aksara. ia merupakan kaedah penulisan berhalangan atau main kata. dalam keadah ini aksara tertentu akan dielakkan dari penggunaannya. kebiasaannya aksara yang dielakkan itu terdiri daripada beberapa aksara vokal yang kerap terpakai dalam sesuatu kata seperti huruf e dalam penulisan bahasa  inggeris.

menulis lipogram merupakan suatu yang mencabar terutama jika huruf-huruf seperti e, t  atau a ditiadakan atau tidak digunakan langsung. banyak kata biasa terpaksa dihilangkan dan penulis perlu memilih kata baru untuk menggantikan kata yang tidak boleh dipakai kerana mengandungi huruf yang dielakkan. misalnya jika huruf u mahu dielakkan dari penggunaannya, maka lipogram yang dihasilkan terpaksa menggunakan semua aksara yang lain melainkan aksara a. penulis memiliki kata yang terbatas untuk digunakan. untuk menghasilkan baris-baris kata lipogram yang menarik, bermakna, dan sempurna dari aspek tatabahasanya bukan kerja mudah. ia mencabar daya fikir dan kreativiti penulisnya. 

lipogram adalah main kata yang menarik dan cukup mencabar. bayangkan sebuah novel terhasil dengan beberapa aksara vokal yang tidak langsung digunakan. antara lipogram terawal yang cukup terkenal adalah yang dihasilkan oleh  ernest vincet wright menerusi novelnya gadsby (1939). novel ini mengandungi 50 000 patah perkataan dan langsung tidak mengguna pakai aksara e. novel ini mendapat kupasan menarik dari para pengkritik. 



penggunaan pangrammatic lipogram atau lipogrammatic pangram merupakan teks yang mengandungi tulisan yang menggunakan pakai kesemua aksara melainkan satu aksara tidak digunakan. kita akan sering bersua dengan kalimat " The quick brown fox jumped over the lazy dog". ia merupakan satu contoh pangram yang  menggunakan kesemua aksara melainkan aksara s. pangram atau ayat holoalphabetic merupakan ayat yang mengandungi kesemua huruf atau aksara tetapi menghilangkan sekurang-kurangnya satu aksara. pangram digunapakai untuk memaparkan typefaces, alat uji dalam mengembangkan kemahiran tulis tangan, kaligrafi dan penggunakan papan kekunci. 

demikian, dengan aksara kita boleh bermain kata. 





 

0 comments:

Post a Comment