1 Aug 2013

tiba ogos


Telah tiba ogos. Ogos dan ramadan yang bergandingan. Tiada lain dari terdampar di laman fikir dan bayang tatap adalah ketibaan ogos bermakna tibanya detik gemilang negara - kemerdekaan negara. Tidak siapa menafikan detik itu cukup  bermakna dan bererti kepada yang bernama warganegara Malaysia. Ia detik kecintaan terhadap sebuah negara. Ia detik kebebasan dan martabat sebuah negara. 

Ogos akan tiba dengan warna dan wajahnya. Bagaimana balut dan rias kita menghadapi detik bermakna itu tiba. Bagaimana kita memperaga rupa dan wajah sebagai bangsa merdeka dan rasa nikmat bernegara dalam sebuah bahtera merdeka. Ia bukan sekadar lagu dan irama menukilkan gerak jiwa dan kesayangan kita. Ia bukan sekadar kibar bendera atau binaan tugu peraga kesayangan kita. Ia bukan sekadar laungan dan kata-kata bahawa kita bahagia dan bangga merdeka. Ia bukan hanya satu titik berlaku pada 31 Ogos sebagai kenangan dan keraian kemerdekaan sebuah negara. Ia jauh lebih dari kata-kata, rias wajah, lakar rupa, dan senandung lagu. Ia adalah bagaimana kita menghargai dan meletakkan setia dan cinta terhadap kejayaan negara  mengecap merdeka.


Patriotisme adalah kecintaan terhadap negara dan mimbar tanah air. Kasih sayang yang tak tertolak walau seinci oleh ragu dan rasa curiga bahawa kita masih belum merasa merdeka. Ia adalah kecintaan yang terlahir dalam dalam jiwa terbentuk oleh keyakinan dan kebangaan emosi serta kebijakan fikir. Patriotisme adalah kasih sayang tanpa batas peraga dan rias wajah. Kalaupun di tangan berkibar bendera tetapi jauh di sudut hati keyakinan dan kesungguhan cinta tidak merekah dan bercambah, untuk apa kibaran itu. Ia hanya peraga palsu dan kelusuhan fikir terhadap kejayaan negara. Ia datang dari keyakinan dan kecintaan yang sejati yang tulus dan tak berbelah bagi. Ia datang bersama luruh airmata dan rasa bangga yang tak terucap kata. Ia datang dalam insaf tentangt bagaimana kepayahan yang pernah kita tunggang dan kepedihan yang pernah kita rasakan. Ia bukan hiruk pikuk sorak sorai yang hanya meriah dalam perdu acara tetapi tak terisi makna dan subur cinta yang mendalam. 

Kalaulah negara ini milik kita bersama, maka bersamalah kita meraikan kejayaan dan merasa bangga sebagai warganegara. Sebagai rakyat sebuah kerajaan berdaulat dan bermartabat. Tidak ada tanda tanya tentang itu dan ini atau mempersoalkan hak kerana semua sudah termaktub dalam perlembagaan yang kita dukung bersama. Ia bukan diraikan oleh sekelompok manusia tetapi semua bangsa. Ia bukan menjadi kebangaan golongan tertentu tetapi semua golongan. Bangga dan meraikan bersama. Jika masih ada yang mempersoal dan mempertikai akan tarikh dan bagaimana kita menggarap merdeka, ia sebenarnya penzahiran kecairan kasih sayang, kecundang harapan, dan ketiadaan kebangaan terhadap merdeka negara kita. Tak pernah kita  dengar ada negara mempersoal tarikh dan bagaimana mereka merdeka. Sebaliknya mereka bersama meraikan kejayaan dengan bangga dan penuh setiakawan.


Ogos datang lagi. Biarlah kali ini kita meraikan sebagaimana yang sepatutnya. Merasa bersama milik negara ini. Kalau benar bagai dikata setia kasihmu pada hanya negara ini, buktikanlah dengan perbuatan bukan sekadar manis kata.

Milik bersama bahagia ini. Milik bersama kita merasa bangga.
Salam kemerdekaan rakyat Malaysia tercinta. 

Related Posts:

  • big giveaway by cikgu fizi, fizgraphic, emasPutih, duniashida & aimanCool   Klik banner untuk ikut serta  Giveaway ini dikelolakan oleh blog fizgraphic.com Sesuai dengan namanya GA ini banyak hadiah yang disediakan untuk para pengunjungnya. Syarat-syarat Untuk Sertai GA ini… Read More
  • gores bagai lukisan pernah barangkali kita bersua dengan citra sebegitu indah terbentang di puncak langit. warna-warna yang bergaris merentang pandang. tebaran yang jarang tertemukan dalam putar harian hidup. warna-warna yang bergabung antar… Read More
  • malala yang berani Malala Yousufzai seorang remaja malala yousufzai yang berasal dari pakistan dicalonkan sebagai penerima anugerah nobel keamanan 2013. malala berhadapan dengan maut setelah ditembak oleh kumpulan taliban kerana … Read More
  • israk mikraj Sebelum Israk dan Mikraj Rasulullah S. A. W. mengalami pembedahan dada / perut, dilakukan oleh malaikat Jibrail dan Mika'il. Hati Baginda S. A. W. dicuci dengan air zamzam, dibuang ketul hitam ('alaqah) iaitu tempat s… Read More
  • keanehan socotrasocotra adalah sebuah pulau yang berada di yaman. pulau ini memiliki keunikan dan keanehan yang luar biasa. keanehan socotra adalah lanskap pulau ini. pohon-pohon yang tumbuhmemiliki bentuk-bentuk yang aneh dan merupakan tu… Read More

1 comment: