langgam pak dogol
banyak karya m. nasir dan yang ini cukup bermakna dan bererti untuk dikupas. jarang ada lagu yang menyempurnakan falsafah dan kehidupan seindah dan sesantun karya besar m. nasir ini.
pak dogol merupakan watak diambil dari persembahan seni tradisional wayang kulit. watak manusia biasa, hidup dalam serba sederhana dan menghabiskan usia menghambakan diri sebagai pengasuh (pembantu) kepada raja seri rama. seorang yang digambarkan sebagai berperut buncit dan berkulit hitam dan bercakap dengan bahasa pelatnya. namun kesetiaan dan kebaktian terhadap raja jauh melampau susuk tubuh dan cara pecakapannya. penuh hemah, berhati-hati, tidak sesekali bertindak menyakitkan hati raja, jauh sekali dari ingin menyanggah baginda. seluruh hidup adalah kebaktian dan kesetiaan terhadap baginda raja sebagai tanda khidmat i untuk kerajaan kuala dua derdap muda diperintah seri rama.
watak pak dogol dalam persembahan wayang kulit kelantan |
ramai menyembut bahawa pak dogol adalah watak badut dan penuh kelucuan. tapi saya melihat bahawa watak ini melampaui garis fizikal dan lelucon yang dizahirkan. ia adalah citra manusia sederhana, hidup dalam segala warna suram gelap untuk tidak menyaingi kehebatan raja yang gemilang dan penuh warna. ia lambang ketaatan dan ketertiban dalam senda gurau dan lucu tetapi bukan tolol dan bodoh. pak dogol bukan badut yang hanya menyerlahkan ketololan semata-mata untuk memikat hati raja. pak dogol adalah manusia biasa yang memancarkan sifat rakyat yang setia akan pemerintah, yang tidak pernah merasa lebih kuat dan angkuh dari pemerintah, pak dogol adalah hamba yang membulatkan tekad dan azam kebaktian bukan semata-mata untuk taksub kepada sang raja tetapi sebagai setia rakyat akan raja dan cinta akan negaranya.
watak sinikal yang memberi nafas manusia biasa yang dekat dengan rakyat atau audien. watak yang mesra audien di mana audien akan merasa diri mereka berada dalam cerita dengan hadirnya pak dogol, wak long dan sebagainya. citra yang dapat mengikat hubungan jiwa antara cerita dan audien beginilah juga diguna pkai oleh seniman agung p ramlee yang membina watak ramlee, sudin dan aziz yang menjadi begitu dekat dengan audien. ia melekat dan membiak dalam fikir audien dan di sinilah pula falsafah, pesan dan kias bermula.
dalam setiap cerita wayang kulit pak dogol menjadi medan cerita tetapi tidak melampaui rajanya. segala konflik yang dialami oleh seri rama, hanuman, dan sebagainya akan berfokus kepada pandangan, buah fikiran, dan nasihat pak dogol. tapi ia tidak langsung terlajak sebagai manusia angkuh dan mengambil kesempatan atas kepercayaan raja dan pembesar. sebalikny semakin merendah dan beralah tetapi sentiasa memberi kata pemutus yang diakuri oleh raja dan pembesar.
begitu pak dogol dalam cetera wayang kulit melayu atau wayang kulit kelantan. watak ini dikembangkan lagi oleh m nasir dengan sudut pandang yang lebih terbuka. dalam hidup moden manusia hari ini barangkali sukr mencari manusia pak dogol yang memperhamba diri hanya untuk mengagungkan raja dan negaranya. tapi sudut-sudut falsafah dan layar hidup pak dogol inilah yang menjadi inti kepada karya m nasir dijelmakan dalam langgam pak dogol ini.
m nasir tidak mahu melihat pak dogol dalam bingkai tradisinya tetapi cuba membangkitkan falsafah, kehidupan, dan sindiran dalam kanvas moden. jelas apa yang mahu dikembangkan m nasir melalui lirik oleh loloq ini adalah menegur penuh hemah dan santun sebagaimana tindak-tanduk pak dogol yang sentiasa menegur dan menasihati raja secara hemah dan jujur tetapi bukan menghina dan memalukan. teguran atau peringatan inilah penting dalam zaman moden ini agar masyarakat kembali mencari falsafah hidup yang lebih memberi makna dan kesan. tidak terdorong oleh falsafah yang akhirnya meruntuhkan.\
kepentingan hidup adalah menjadi manusia yang dapat membina warna bakti yang berguna untuk masyarakat. bukan menjadi penyebab dan pendorong kepada kemusnahan dan kekeliruan. tidak gopoh gapah kerana ia akan membawa kepada kesilapan. menilai dengan kebijakan tentang segenap yang berlaku sebelum mengambil tindakan. kembali kepada masa lalu sebagai pengimbang bagi masa kini. yang penting adalah setiap insan perlu menyempurnakan tugasnya untuk memberi bakti terbaik buat masyarakat atau negara bukannya membangkit keliru dan kacau yang tak berkesudahan.
adat hidup temukan mati. ia adalah jalan akhir manusia. ia perlu diinsafi dan perlu diingati sepanjang hayat. tak ada yang abadi dan dalam kesementaraan inilah pentingnya manusia meninggalkan suatu yang berguna dan memberi imbau manfaat. yang penting adalah setiap manusia memahami akan perintah yang maha esa tentang hidup dan tujuannya. namun manusia tidak harus menyerah dan beralah sebaliknya meletakkan diri pada tempat yang sebaik-baiknya. pak dogol meski hanya manusia biasa tetapi dapat menempatkan dirinya sebagai hamba raja yang turut memberi sengat dan sindir kepada khilaf, susun tindak dan aturan semata-mata untuk martabat negara dan rajanya.
keberanian harus menjadi nafas besar dalam biak hidup. tidk menyerah dan lemah tunduk. pak dogol tidak menunjukkan lemah dan tunduk dalam memberi fikir dan nasihat. tidak sekali-kali membiarkan raja bertindak sesuka hati sebaliknya memberi sindir dan nasihat agar segala tindakan berpaksi di jalan benar. keberanian adalah kesanggupn untuk berhadapan dengan segala kemungkinan tetapi penuh bijaksana. raja seri rama merupakan seorang yang cepat marah, mudah bertindak tanpa berfikir panjang, tetapi seorang yang memiliki kelembutan hati yang tak terbandingkan jika dalam situasi tenang. pak dogol terpaksa mengambil langkah bijak dan aturan yang rapi untuk mengatasi segala itu. bagaimana membuang amarah dengan bijaksana, menyejukkan hati dengan kata-kata nasihat yang halus dan tertib dan terpenting tidak sekali-kali menyakitkan hati baginda raja.
langgam pak dogol adalah bingkai renungan yang mengajak kita berfikir tentang kehidupan pada abad baru ini. tidak memilih kesilapan kerana ia akan merugikan, dan tidak pula menyerah kerana ia akan memberi keburukan. semuanya perlu ditangani dengan kebijaksanaan bukn diledak amarah dan taksub yang membutakan mata fikir dan mata hati. kembali kepada fitrah hidup akan menemukan mati dan dalam hidup menjajarkan sebanyaknya benih bakti.
tak ada yang abadi dan kita pula harus meletakkan setitik yang dapat menjadi manfaat untuk semua.
Penulisan yang sangat menginspirasikan
ReplyDelete